Khamis, 11 November 2010

KALAMAZOO, MICHIGAN:

Oleh Mansor Puteh



Kalamazoo merupakan mukim atau ‘county’ kelima terbesar di negeri Michigan di Amerika Syarikat dengan  seramai suku juta orang penduduk. Pekan terbesar dalam daerah ini pula ialah Kalamazoo. Ia mempunyai lapan-puluh ribu penduduk.

Dan di sini juga terletak sebuah universiti terbesar di situ iaitu Western Michigan University (Universiti Michigan Barat) atau dengan singkatan ‘WKU’ yang juga mempunyai kampus cawangan di beberapa buah pekan lain di seluruh daerah ini. Ia mengambil nama kaum India Amerika atau Potawatomi yang rata-rata menduduki kawasan ini zaman lama dulu.

Nama Potawatomi yang pada asalnya disebut dengan nama ‘KiKalamazoo’ ini bermakna ‘air panas dalam teko’ atau ‘tempat di mana terdapat air panas dalam teko.’

Nama yang agak panjang itu telah disingkatkan oleh orang putih Amerika dengan memanggilnya Kalamazoo sahaja.

Ia terletak empat-puluh-lima minit dari Tasik Michigan, dan dihubungi dengan tasik itu oleh Sungai Kalamazoo. Ia mula dibuka dalam tahun 1830 oleh pendatang keturunan Belanda dari Bandaraya yang mahu mencari kawasan luas yang belum diterokai untuk memulakan penghidupan baru mereka disamping untuk mencari tempat kediaman yang baru berbanding dengan Bandaraya York Baru yang sudah menunjukkan kesesakan.
           
Kalamazoo mengambil nama dari air dalam Sungai Kalamazoo yang mempunyi batu-batu, yang mana telah membuat air yang mengalir seperti mendidih. Sungai ini mengalir melalui pekan ini. Sementara pekan yang kedua penting di dalam daerah Kalamazoo ini ialah Battle Creek.

Ia diberi nama sedemikian oleh sebab terdapat perbalahan diantara kaum Potawatomi dengan dua orang jurukur tanah orang putih yang berlaku di tebing sungai ini. Sementara pekan Portage terletak di persimpangan jalanraya dan sungai yang menghubungi Sungai St. Joseph.

Kawasan ini yang terdapat banyak sungai, tasik dan paya telah menarik ramai orang dari Pantai Timur untuk datang ke sini untuk menerokanya, yang mana sebelum ini tidak disukai oleh mereka oleh sebab ia kawasan yang tidak sempurna untuk dijadikan tanah pertanian.

Peneroka balak dan kulit haiwan merupakan peneroka pertama yang berani datang ke sini untuk mengaup keuntungan. Kemudian itu, mereka diikuti pula dengan masyarakat Belanda yang menjadi kaya-raya dengan menanam sayur-sayuran dengan mengeringkan tanah paya di Kalamazoo dan Portage untuk bercucuk tanam.

Kaum Potawatomi yang tinggal di sini telah meninggalkan kilang tanah liat mereka yang kini disimpan di Taman Bronson di Kalamazoo. Selain dari kaum Potawatomi, terdapat juga kaum India Amerika lain seperti Sioux, Mascoutin dan Miami yang telah membuka perkampungan mereka di kawasan yang kini terletaknya Lapangan Terbang Antarabangsa Kalamazoo/Battle Creek. Mereka telah menyerahkan tanah itu kepada kerajaan Amerika dalam tahun 1827.

Apabila Terusan Suez di Mesir telah dibuka dalam tahun 1825 lalu, perjalanan ke Michigan menjadi lebih mudah untuk kaum peneroka di Kalamazoo.

Dan tidak lama kemudian ramai orang dari luar kawasan ini terdengar dengan kehebatan Kalamazoo dan mereka berduyun-duyun datang ke sini untuk mencari sara hidup disamping kehidupan yang selesa.

Kalamazoo dan Battle Creek telah mula didiami oleh orang dalam tahun 1830, tetapi Portage kebelakangan sedikit dan tidak didatangi oleh orang putih, oleh sebab di sini masih terdapat kaum India Amerika, sementara tanah di sini berpaya dan terdapat nyamuk malaria yang merbahaya kepada kesihatan orang. Cuma mereka yang benar-benar gagah sahaja yang berani pergi ke Portage untuk membuka kilang papan di persisiran Portage Creek, disamping mendirikan rumah dan gedung untuk menyimpan kambing biri-biri untuk mendapatkan kulit yang boleh diguna untuk membuat pakaian musim sejuk. Mereka juga menanam jagung, gandum, kentang dan barli sementara peneroka di Battle Creek dan Kalamazoo membangunkan pekan masing-masing dengan gigih.

Orang yang telah membangunkan Kalamazoo ialah Titus Bronson. Dan nama asal pekan ini ialah Bronson sempena mengambil namanya. Tetapi nama asal Kalamazoo telah diguna semula setelah Titus Bronson tidak lagi digemari oleh penduduk di situ. Nama Kalamazoo mengambil nama lembah Kalamazoo.

Tidak dinafikan bahawa kaum peneroka di Kalamazoo mengambil berat tentang pendidikan. Dan dalam tahun 1833 mereka membuka Kalamazoo College, yang menjadi kolej pertama di negeri Michigan. Dalam tahun 1903 pula Western State Normal School telah didirikan, yang kemudian itu diberi nama Western Michigan University.          

Abraham Lincoln telah membuat perhentian di Taman Bronson di Kalamazoo untuk berkempen tentang penghapusan hamba kulit hitam ketika isiu ini begitu sensitif ketika itu. Dia telah berkempen untuk calon presiden Amerika ketika itu, William Freemont. Ucapan Abraham Lincoln yang terkenal itu telah menjadi kata permulaan terhadap penubuhan Parti Republikan (Republican Party) di Jackson, iaitu sebuah pekan dalam negeri Michigan di timur Battle Creek. Penonton Abraham Lincoln di Taman Bronson ketika itu rasa simpati dengan kedudukan orang kulit hitam. 

Landasan keretapi yang pertama di Kalamazoo telah dibina dalam tahun 1946, dan ini telah menggalakkan penjualan sayur-sayuran ke Pantai Timur Amerika. Menjelang tahun 1900, lebih tiga ribu ekar tanah telah ditanam dengan sayur seleri secara komersil di kawasan Kalamazoo dan Portage, oleh petani Belanda.

Oleh yang demikian Kalamazoo mendapat nama samaran iaitu ‘Bandar Seleri’ sementara sebuah masyarakat kecil di utara diberi nama Parchment oleh sebab pulpa dari seleri telah diguna untuk membuat kertas di sini.

Sementara itu perusahaan pembuatan kertas dan pulpa telah juga memberi nama samaran kepada kawasan ini iaitu Paper City. Di perhujungan kurun kelapan-belas Kalamazoo menjadi kawasan penting dalam bidang pembuatan kertas, dan ini berlaku oleh sebab pembinaan Kalamazoo Paper Company dalam tahun 1866 dengan diikuti oleh beberapa kilang seperti itu yang mana telah menjadikan tempat ini penting sebagai pusat pembuatan kertas.

Dalam tahun 1886 pula, syarikat perubatan gergasi Pharmacia and Upjohn Inc., yang dipunyai oleh usahawan W. E. Upjohn menjadi syarikat perubatan kesembilan terbesar seluruh dunia. Tetapi, mujur pekan ini tidak diberi gelaran ‘Pekan Dadah’ yang mempunyai konotasi yang negatif sekarang ini. 

Apabila negeri California mengatasi Michigan sebagai negeri paling produktif dalam bidang penanaman sayur seleri, Kalamazoo tukar haluan dan mula menanam bunga-bunga sehinggakan mereka dikenali sebagai ‘Pusat penanaman bunga seluruh dunia.’

Pusat ini kini terletak di Comstock, barat Kalamazoo, sementara kawasan penanaman celeri di Portage dulunya, kini menjadi South Westnedge Avenue, iaitu satu koridor pusat membeli-belah yang terkenal.

Dalam tahun 1900, seorang usahawan Dr. John Harvey Kellogg telah memperkenalkan makanan kesihatan sehinggakan Kalamazoo dikenali sebagai ‘Bandar Kesihatan’. Ramai orang ramai dari luar Kalamazoo berpusu-pusu ke Battle Creek Sanitarium yang dibuka oleh Kellogg untuk mendapat makanan kesihatan.

Semasa ‘Zaman Kemelesetan’ atau Great Depression, Kellogg mendapat kejayaan dari luar dugaan, dengan mengeluarkan makanan secara murah sehinggakan Battle Creek dikenali sebagai ‘Bandar Cereal’. Pada suatu ketika terdapat lebih seratus syarikat menjual makanan cereal di sini.

Disamping itu, terdapat juga banyak jenis perniagaan berkaitan dengan pembuatan peralatan muzik seperti biola dan gitar termasuk jenama gitar Gibson yang terkenal seluruh dunia, yang dibuat di Athens, walaupun sekarang ini jenama Gibson kini dibuat di Kentucky dan tidak lagi di Kalamazoo. Selain itu, terdapat barangan seperti curut, pakian dalam wanita, alat melunsur salji, dan jenama kereta seperti Michigan, Cannon Flyer, Barley dan Roamer. Kebanyakan usahawan penting Kalamazoo ketika itu terletak di Stuart Avenue dan South Street, yang mana kini dipulih semula.

Fort Custer yang terletak di sempadan Kalamazoo dan daerah-daerah Calhoun pernah giat sebagai pusat latihan ketika Peperangan Dunia Pertama dan Kedua, disamping menjadi kem tawanan perang. Dan sekarang ini terdapat kubur tentera Jerman di sebahagian Fort Custer National Cemetery (Tanah Perkuburan Kebangsaan Kota Custer.)

Bandar Kalamazoo ini sebenarnya tidak begitu besar, dan tidak juga kecil. Ia boleh dianggap sebagai sebuah bandar yang sederhana tetapi lengkap dengan segala kemudahan dengan sejarah yang menarik dan berwarna seperti bandar-banar besar lain di negara ini.

Dan kesederhanaan besarnya yang membuat pekan ini unik dan begitu selesa dan nyaman untuk tinggal. Kalau dibanding dengan bandaraya utama lain seperti York Baru, Los Angeles, Chicago, Detroit dan lain-lain, kehidupan di Athens ini begitu menyenangkan sekali terutama sekali pada musim bunga, panas dan luruh bila kita boleh bersiar-siar dalam taman yang luas. Dalam musim sejuk, suhunya turun ke paras bawah beku dan salji dan ais meliputi alam untuk beberapa bulan. Sudah tentu dalam keadaan sepeti ini, aktiviti seharian akan berubah dan suasana menjadi sepi.

Tetapi pada musim-musim selain ini, terdapat aktiviti riadah, kesenian dan kebudayaan yang giat. Taraf kehidupan yang tidak begitu tinggi berbanding dengan bandar-bandar besar lain;  disamping itu dengan jarak ke Chicago dan Detroit yang tidak begitu jauh, orang boleh pergi ke sana untuk tujuan-tujuan tertentu. 

Kalamazoo mempunyai sejarah yang agak gemilang, yang kurang diketahui umum, lebih-lebih lagi oleh orang Malaysia, sejak daerah ini didatangi oleh kaum pendatang dari York Baru dalam tahun 1830 sehingga ke perang dunia kedua. Dan banyak pula telah diperkatakan oleh penulis novel, puisi dan muzik yang mengisahkan tentang keindahan dan kemakmuran Kalamazoo. 

Kalamazoo sebenarnya adalah sebuah bandar universiti. Dan di sini terletak Western Michigan University (WKU) yang terbesar sekali di negeri Michigan, dengan sejumlah dua-puluh-lima ribu penuntut, yang mengkaji dalam sebuah kampus seluas empar ratus lima-puluh-satu ekar.

Penduduk di Kalamazoo ternyata sekali beruntung dengan adanya universiti seperti ini sebab ia menambahkan pertumbuhan ekonomi dengan memberi kesan berjumlah empat ratus-empat-belas dolar juta, disamping memberi kemudahan seperti dewan kesenian atau oditorium yang mempunyai tiga ribu kerusi yang mana telah berjaya menarik persembahan terkenal dari Broadway untuk penonton tempatan yang memberi peluang pekerjaan kepada lebih dua ribu-lima ratus orang.

Disamping WMU terdapat juga banyak kolej dan institut pengajian tinggi yang terletak di dalam bandar dan di kawasan persekitarannya, seperti Kalamazoo College yang mempunyai sebuah kampus yang indah di mana terdapat kursus-kursus kesenian kepada penuntut dan aktiviti permentasan untuk orang awam, dan permainan sokan.

Selain dari kemudahan kesenian yang dapat diperolehi dari universiti dan kolej di sini, terdapat juga banyak dewan persembahan dan syarikat teater yang memberi pesembahan sepanjang tahun dan balai kesenian halus di mana pameran kesenian diadakan.

Di kampus WMU inilah di mana terdapat jumlah penuntut dari Malaysia yang terbanyak di seluruh Amerika Syarikat. Jumlah penuntut Malaysia dan ahli keluarga mereka dianggar sekitar enam ratus orang. Dan di sinilah di mana berlakunya kisah dalam filem ‘Kampung Serkam, USA’.