Selasa, 11 Mei 2010

MEDIA CINA DAN INDIA TIDAK GALAK MUHIBBAH - PUNYAI SIKAP

Oleh Mansor Puteh  



Sejak kebelakangan ini isiu perkauman dan perbezaan kaum tonjol lagi. Tapi apa yang dibincangkan oleh pihak tertentu dan orang awam sebenarnya bukan isiu baru; ia adalah isiu lama yang sudah basi tetapi belum lagi diatasi.
           
Kenapa menjelang kita menyambut hari Kemerdekaan ke45 kita dihadapi dengan masalah seperti ini? Sepatutnya sekarang ini masalah perkauman dan perpisahan kaum tidak wujud lagi.

Kenapa agaknya berlaku masalah seperti ini?

Ada banyak sebab, tetapi salah satu dari masalah utama ialah media Cina dan India.

Apakah yang telah dilakukan oleh akhbar dan majalah Cina dan India di Malaysia yang boleh dianggap sebagai tidak menggalakkan perpaduan dan semangat muhibbah?

Sebabnya ialah isikandungnya seratus-peratus mengenai Hong Kong dan India. Semua bahan hiburan dan sosial yang dimuatkan dalam akhbar dan majalah Cina adalah tentang Hong Kong sedangkan akhbar dan majalah India tempatan pula adalah mengenai dunia hiburan di Mumbai dan Chennai.

Sebenarnya ini tidak salah, tetapi apa yang menjadi persoalan sekarang ialah kenapa mesti akhbar dan majalah Cina dan India ini sering menaik-naik dan mengempar-gempurkan bahan hiburan dari negara asing?

Dan kenapa pula sehingga sekarang tidak ada sebuah akhbar dan majalah Cina dan India yang telah menyiarkan berita tentang dunia hiburan dan kesenian Melayu.

Malah penolakan kesenian dan kebudayaan Melayu oleh media Cina ini boleh dianggapkan sebagai salah satu sebabnya masyarakat Cina dan India di Malaysia tidak terdedah dengan kehadiran kesenian dan kebudayaan Melayu yang menjadi teras kebudayaan dan kesenian Malaysia.

Adalah tidak munasabah kalau akhbar dan majalah Cina dan India ini memboikot filem, teater, muzik dan kesenian Melayu dan tidak dedahkan pembaca dan masyarakat mereka untuk mengenalinya.

Ini juga dapat dilihat dalam penerbitan siri drama Cina dan India tempatan di mana watak-watak Melayu tidak wujud langsung.

Tidakkah ini juga boleh dijadikan alasan kenapa masyarakat atau penonton Cina dan India rasa masyarakat Melayu sebagai sebuah masyarakat asing?

Sepatutnya stesen televisyen tempatan sudah lama tidak menggalakkan penyiaran siri drama dari Hong Kong atau India. Apa yang harus dilakukan ialah semua drama televisyen tempatan dalam bahasa Cina dan ndia mesti dikeluarkan oleh penerbit tempatan.

Sudah tiba masanya drama dari Hong Kong dan India tidak disiar oleh televiysen tempatan.

Dan semua siri drama mesti mempunyai watak-watak berbilang kaum supaya penonton dari kecil lagi dapat melihat masyarakat Malaysia dalam siri-siri drama.

Ini boleh mencorakkan pemikiran mereka untuk berfikir sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan tidak sahaja sebagai orang Cina atau India.

Drama-drama dan filem Melayu sering menampilkan watak-watak Cina dan India dan ini telah sedikit-sebanyak menggalakkan perpaduan kaum.

Dalam awal dekad 1980an dulu saya pernah melihat anak-anak Cina dan India menonton filem-filem Melayu di pawagam tetapi oleh sebab mereka telah tidak digalakkan oleh media yang dikuasai oleh Cina dan India yang mengempar-gempurkan bahan hiburan dari Hong Kong dan India tanpa memberi publisiti kepada filem-filem Melayu, maka minat orang Cina dan India terhadap filem tempatan sudah berkurangan.

Saya berani berkata di sini bahawa media bukan Melayulah yang merupakan salah satu faktor kenapa terdapat masalah perpecahan kaum di Malaysia sekarang.

Jadi saya syorkan kepada kerajaan supaya memaksa akhbar dan majalah Cina dan India di Malaysia supaya tidak memberi publisiti meluas kepada bahan hiburan dari Hong Kong dan India, dan beri ruang lebih banyak kepada filem-filem tempatan khususnya filem Melayu.

Dalam konteks ini saya syorkan semua suratkhabar dan majalah mempunyai ruang khas untuk membincangkan kebudayaan dan kesenian, muzik dan filem tempatan supaya pembaca dan masyarakat Cina dan India terdedah dengan kegiatan seni dan kebudaay kita.

Ini dapat dilihat dalam akhbar dan majalah Melayu yang sering menyiarkan berita tentang kebudayaan dan kesenian Cina dan India. Tetapi sebaliknya tidak berlaku.

Cuma dengan memahani tentang kebudayaan dan kesenian tempatan kita boleh wujudkan satu masyarakat Malaysia yang mempunyai semangat muhibbah.