Jumaat, 12 Februari 2021

EMPAT-PULUH TAHUN PENUBUHAN FINAS – DAN AKTA FINAS 1981 YANG TIDAK BERLANDASKAN PENYELIDIKAN...

Oleh Mansor bin Puteh


Siapa sangka, Finas sudah berusia 40 tahun; Akta Finas 1981 atau Akta 244 telah dilulus oleh parlimen pada 12 Februari, 1981 dan diwartakan oleh Yang diPertuan Agong seminggu kemudian pada 19 Februari dengan Finas sebagai sebuah agensi kerajaan ditubuh pada 26 Jun pada tahun yang sama.

Pejabat pertama Finas adalah di dalam sebuah rumah banglo zaman British di Ampang Hilir yang kini merupakan sebuah sekolah tadika; dan pejabat kedua juga bertempat di sebuah banglo zaman Inggeris di Jalan Ampang yang kini sudah roboh dengan tapaknya terdiri sebuah bangunan tinggi.

Pada tahun 1985 Finas telah membeli Studio Merdeka di Hulu Kelang bersebelahan dengan Zoo Negara dengan harga RM1.5 juta yang kini menjadi pusat pentadbirannya yang kemudian, turut mengambilalih pejabat dan studio Filem Negara Malaysia (FNM) di Jalan Utara di Petaling Jaya.

Kalau menurut cara fikikalnya Finas mempunyai pasarana atau ‘infrastructur’ dalam bentuk binaan dan bangunan, yang amat besar berbanding dengan banyak syarikat perfileman di Hollywood;.

Tetapi malangnya, berbeza dengan Hollywood, yang mempunyai falsafahnya sendiri, Finas tidak pentingkan segi falsafah; oleh yang demikian filem dan rancangan lain yang mereka terbit dan sokong dengan memberi dana, tidak menunjukkan yang ia tahu akan peranan dan pengaruh filem dalam pembentukan jatidiri rakyat berbilang bangsa dan juga pemikirannya dengan mengambilkira pelbagai segi dan bidang yang ada di dalam bidang perfileman dan drama televisyen yang semuanya mencerminkan apa yang disanjung dalam Perlembagaan Malaysia Rukunegara.

Ini yang amat malangnya sebab perusahaan filem kita sejak tiadanya Studio Merdeka dan sebelum ini kedua buah studio besar di Singapura iaitu adik-beradik Shaw Brothers iaitu Runme Shaw dan Run Run Shaw, yang mempunyai Malay Film Productions dan Cathay-Keris yang dibuka oleh Loke Wan Tho dan Ho Ah Loke.

Yang menghairankan, kedua-dua studio besar di Singapura yang dibuka dan ditadbir dan dikembang oleh empat orang usahawan Cina, dua yang datang dari Shanghai di Negeri Cina dan dua lagi anak kelahiran Tanah Melayu dari Kuala Lumpur, berjaya membangunkan sebuah perusahaan filem dari ‘kosong’; ini bermakna mereka tidak mempunyai sebarang sokongan dari kerajaan Singapura mahupun Tanah Melayu ketika itu dan mereka yang harus buka pawagam dan terbit majalah filem sendiri untuk mempromosi filem-filem yang diterbit mereka yang mana mendapat sambutan bukan sahaja di kalangan orang Melayu bahkan dari bukan-Melayu sendiri.

Dan sekarang ini filem-filem Melayu yang diterbitkan hanya untuk penonton Melayu sahaja; dan tidak ada sebarang usaha untuk menarik penonton di kalangan bukan-Melayu.

Seorang pengarah filem tahun 1970an dahulu, iaitu Yassin Salleh ada beritahu dalam sebuah forum diadakan di FNM tidak lama dahulu bahawa beliau dan dua orang karyawan telah berjumpa dengan Menteri Pembangunan Bandar dengan membawa cadangan untuk kerajaan tubuh sebuah perbadanan perfileman.

Cetusan idea ini diambilalih oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, iaitu Datuk Seri Dr Mahathir Mohammad yang mana telah melantik seorang pegawai untuk mengubal sebuah Akta yang akhirnya dipanggil Akta Finas atau Akta 244 seperti yang kita tahu sekarang.

Dan.kebetulan pula saya baharu sahaja mula pengajian dalam bidang pengarahan filem diperingkat sarjana di Columbia University di Bandaraya New York; dan saya ada tulis sepucuk surat kepada beliau untuk bertanya tentang perkembangan tentang cadangan untuk bangunkan sebuah perusahaan filem di dalam negara.

Saya dapat surat jawapan dari beliau yang dihantar ke asrama saya iaitu Harmony Hall yang terletak berhampiran dengan kampus; tetapi isikandungannya amat menghampakan sebab beliau hanya beritahu bahawa kerajaan sedang mengubal sebuah Akta.

Yang saya mahukan ialah agar kerajaan lantik saya sebagai pakar perunding untuk bantu bentuk dan gubalkan Akta tersebut, tetapi ini tidak berlaku.

Akhirnya Akta Finas atau Akta 244 yang dilulus oleh parlimen pada 12 Februari, 1981 menghampakan.

Dan seperti apa yang saya telah cakap tadi, Akta ini langsung mengenepikan saranan dan cadangan dan data dari penyelidikan dan pendidikan dari sarjana bidang perfileman, sehinggakan Akta setebal 38 mukasurat itu amat mengeciwa dan menghampakan.

Bayangkan, kalau empat usahawan Cina dari Shanghai dan Kuala Lumpur dapat bangunkan studio filem mereka dan menerbit filem yang sehingga kini kita tahu dan terasa kesannya, dengan mengguna sumber kewangan mereka yang terhad, masakan sebuah kerajaan yang mempunyai segala kemudahan dan punca kewangan yang besar masih gagal membungkan sebuah perusahaan filem Malaysia yang baharu dan juga sebuah Sinema Baru Malaysia.

Saya tertarik dengan bab ‘Fungsi’ dalam Akta ini yang merupakan bab pertama, tetapi malangnya ia terletak pada mukasurat ke-12 sahaja dan apa yang ada dalam bab ini menghampakan.

Seperti yang saya katakana awal tadi, Akta Finas 1981 tidak mempunyai falsafah; dan ia tidak ambilkira dan sokong jiwa dan semangat terkandung dalam Perlembagaan Malaysia dan Rukunegara yang kuat dengan saranan dan hujahan tersurat dan tersirat.

Akta ini juga gagal untuk mengambilkira bahawa untuk memajukan sesebuah perusahaan filem ia bukan yang dapat dan boleh dibuat dengan tersendiri sebab bidang ini berkaitan rapat dengan banyak bidang lain yang memerlukan ilmu dan kepakaran tersendiri seperti psikologi, sejarah, anthropologi, sastera dan ekonomi dan lain-lain.

Dan saya tidak mahu sentuh bagaimana Hollywood itu sendiri bukan semata-mata pusat hiburan paling penting di Amerika dan Barat, tetapi lebih dari itu ia adalah pusat propaganda kebudayaan dan kesenian, yang akhirnya berjaya memaksa orang bukan-Amerika dan bukan-Barat untuk sanjung karya yang mereka terbit yang mempunyai unsur propaganda.

Akhirnya untuk pendekkan ungkapan dan analisa saya, saya pasti ramai orang dalam bidang perfileman dan lain seperti yang disebut di atas mahu tahu apakah Finas akan melalui zaman yang sama pada 40 tahun sebelum ini, atau apakah ia akan belajar dari segala kesilapan yang mereka telah buat, agar kerajaan pusat sendiri dan pemikir budaya, sastera dan bahasa dan juga ugama dan pakar ekonomi dan yang ada dalam kumpulan pemikir dan pendesak dapat tuntut agar Finas digubal.

Tindakan pertama yang perlu dan wajib dilakukan ialah dengan Akta Finas 1981 itu ditolak ketepi dan sebuah Akta baharu yang perlu diwujudkan, untuk menjadi punca yang boleh sokong dan sanjung Perlembagaan Malaysia dan Rukunegara untuk membangunkan perusahaan filem Malaysia supaya akhirnya dan dalam masa terdekat dan singkat dapat menjadi pusat perusahaan paling penting di rantau ini dan di seluruh dunia untuk mengalihkan pandangan penonton di Nusantara Melayu dan Dunia Islam kepada karya sendiri. Ini sebenarnya adalah yang sepatutnya terkandung di dalam Akta Finas 1981 dulu tetapi tidak sebab yang mengubal Akta itu tidak ambilkira banyak perkara, segi dan bidang untuk dijadikan pengaruh yang ada dalam Akta tersebut.

Nota akhir:

Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Bapak Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman, dengan sendiri telah pergi ke Kanada untuk mendapat bantuan dari pakar mereka untuk membangunkan stesen televisyen kita. 

Tetapi untuk membangunkan sebuah perusahaan filem, tidak sesiapa yang teragak untuk pergi ke Hollywood atau mendapatkan mereka dan pakar dalam bidang perfileman yang kita ada untuk membuat penyelidikan menyeluruh sebelum Akta Finas itu digubal.