Isnin, 1 Julai 2019

PASAR BORONG SELAYANG DAN PENDERMA DARAH TERBANYAK MALAYSIA…LIEW CHIN YAP YANG TELAH MENDERMA 569 KALI

Saya pergi ke Pasar Borong Selayang DBKL Minggu lalu, 16 Jun, buat pertama kali. Tidak sangka ia begitu besar yang menjual sayur-sayuran dan ikan.

Saya pernah ke sebuah pasar borong lama yang terletak tidak jauh dari pasar borong ini, dan dapat lihatnya semasa dalam perjalanan ke sini.


Saya rasa seperti orang asing di sini sebab kecuali beberapa orang peniaga Cina tempatan, yang lain terdiri dari warga asing khususnya mereka dari Bangladesh dan Myanmar.

Saya tidak lihat seorang Melayupun di sini.

Dan dengan berbekalkan kamera vidio dan pegun, saya cuba mencari seorang rakan saya di gerainya. Kegiatan ini menyebabkan ramai peniaga di sini rasa cemas; mereka tidak kenal saya dan syak saya mungkin merakam kegaitan haram.

Malangnya, saya terlupa nombor gerainya dan cuba untuk pergi dari hujung pasar ke hujung lain. Tetapi dalam keadaan yang kecoh dengan orang menolak barang-barang dengan pengusung, dan dengan peniaga hampir kelihatan sama, saya gagal mencarinya.

Bau cili dan semua jenis sayur-sayur bertambah dengan bau hancing dari kencing membuat hidung saya meragam sedikir. Mujur saya ada bawa tisu yang banyak untuk hembus hidung beberapa kali.

Saya terus rakam vidio dan ambil gambar tanpa menghiraukan orang yang perhati.

Saya pergi ke beberapa orang peniaga Cina dan tunjuk gambar rakan saya dalam kamera, tetapi mereka tidak kenal mereka.

Saya syak, kesemua mereka fikir saya dari pihak berkuasa dan saya mahu mencarinya untuk sesuatu hal rasmi atau mahu menuntut wang pinjaman.

Tetapi saya tidak pergi ke sana untuk beli apa-apa., kecuali mencari rakan saya bernama Liew Chin Yap.

Ada seorang lelaki Cina yang kenal dia dari gambar yang saya tunjuk dan dia suruh saya pergi ke gerai sana – C20, katanya.

Sayapun pergi ke sana dan terlihat dia sedang bekerja seorang diri. Dia tidak ada pembantu lagi sekarang. Dan isterinya juga bantunya tetapi untuk awal pagi bila kedua mereka datang ke Pasar Borong itu dari Kepong di mana mereka tinggal, dari pukul dua pagi hingga lapan pagi, sebelum balik.

Chin Yap akan datang ke gerainya pada pukul 4.30 petang hingga enam petang. Dan ketika itulah saya sempat berjumpa dengan dia.

Siapa Liew Chin Yap?

Orang di Pasar Borong itu tidak kenal latarbelakang dia yang membuat saya mahu berjumpa dengan dia di tempat kerjanya.

Saya biasanya berjumpa dengan dia di Pusat Darah Negara (PDN) sejak berapa tahun lalu semasa saya menderma darah di situ juga.

Saya tidak sedar dia adalah penderma darah terbanyak di Malaysia dan telah menderma darah sebanyak 569 kali yang dibuatnya pada 13 Jun lalu, iaitu sehari sebelum Hari Penderma Darah Sedunia.

Saya sendiri sudah menderma 527 kali, yang saya buat pada hari Isnin, 10 Jun lalu atau pada Hari Raya Puasa keenam, dan enam kali lagi di dua buah hospital di Petaling Jaya dan sebuah lagi di Melaka, yang menyebabkan saya menjadi penderma darah kedua terbanyak di Malaysia.

Saya akan menderma sekali lagi pada 24 Jun sementara Chin Yap akan menderma pada 27 Jun, dan seterusnya setiap dua minggu sekali sehinggalah tiba usia dimana setiap penderma darah akan berhenti menderma.

Sekarang ini rekod dunia penderma darah terbanyak di dunia ialah 1,173 oleh seorang lelaki dari Sydney, Australia yang berhenti dari menderma pada usia 81 tahun. Dan dia telah diberi sijil dari Guiness Book of World Records.

Pada 3 November, 2018 semasa upacara khas Kementerian Kesihatan di adakan di Setia City di Shahalam, lima penderma darah terbanyak Malaysia telah diberi sijil pengiktirafan khas dari Menteri Kesihatan, Dato Dr Dzulkefly Ahmad, yang ditandatangani oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad.

Sebagai penderma kedua terbanyak Malaysia, saya juga sering ditanya soalan-soalan yang saya tanyg Chin Yap seperti kenapa dan hila mula derma dan isiu-isiu berbangkit dengan proses menderma dan lain-lain…dan saya juga dapat jawapan dari dia yang sama seperti jawapan yang saya beri kepada orang lain yang tidak pernah derma darah walau sekalipun.

Chin Yap beritahu, dia pertama kali derma olehsebab adik dia yang telah derma sebelum ini; tetapi semasa dia pergi ke hospital untuk derma pertama kali dia rasa ragu dan tidak jadi sebab rasa takut melihat jarum yang dicocok dalam lengan tangan penderma yang dia lihat.

Dia kembali ke hospital dan terus derma – iaitu masuk dua-puluh-lapan tahun lalu dalam tahun 1992.

Saya pula mula derma darah semasa dalam Tingkat Enam di Petaling Jaya dan rakan sedarjah bernama Alex yang sudah derma beberapa kali, ajak saya. Dan saya terus ikut dia untuk pergi ke Hospital Universiti dan derma buat pertama kali.

Saya kemudian derma dengan sendiri di beberapa hospital termasuk di Hospital Besar Melaka, iaitu semasa saya bekerja sebagai wartawan di Utusan Melayu dan kali terakhir sebelum pergi ke Amerika untuk sambung pelajaran.

Tetapi apa yang saya rasa ganjil samasekali ialah, dan saya tidak sangka penderma darah terbanyak di Malaysia bekerja di pasar borong ini.

Dan tidak menghairankan juga kalau tidak seorang di sini yang tahu ‘kerja’ lain yang Chin Yap buat selain dari membuka gerai sayur. Ia bukan kerja yang mudah seperti yang saya dapat lihat hari itu.

Dari penampilannya, dia kelihatan sihat dengan tubuh yang ramping dengan berat badan yang tegap. Chin Yap beritahu sejak dia mula derma darah pada tahun 1992, dia tidak pernah jatuh sakit walaupun demam biasa, jadi dia tidak pernah bercuti dari kerja. Bayangkan, dia kerja di gerainya setiap hari tanpa henti sakit, kecuali semasa perayaan Tahun Baru Cina dan Hari Raya sahaja setiap tahun!

Satu lagi perkara yang saya dapat tonjolkan di sini ialah kenapa tidak ada orang Melayu yang membuka gerai di sini sedangkan terdapat ramai orang asing dan orang Cina tempatan yang sudah lama menjalankan perniagaan mereka dan mereka juga kelihatan seperti maju dan mendapat pendapatan yang lumayan.

Chin Yap beritahu dulu ada dua orang pengawal, dan kejadian curi-mencuri langsung tidak ada; tetapi bila pengawal diganti dengan orang sepuluh pengawal keturunan Cina, tetapi kejadian ini menjadi-jadi, walaupun pasar ini ditutup selepas pukul lapan malam untuk elak kecurian.  

Saya tertarik dengan tempat ini; ia mempunyai warna dan bukan sahaja bau. Ia bagus untuk dijadikan tempat penggambaran untuk filem atau drama televisyen ataiupun dokumentari.

Tetapi penerbit mana yang berminat untuk buat penggambaran di sini? Mereka tidak sedar pelbagai jenis cerita boleh didapati di sini, selain dari kisah seorang penderma darah yang telah menderma paling banyak kali di Malaysia!


Dan darah seperti yang diderma oleh Chin Yap dan rakan-rakannya yang berpusu-pusu di PDN, hospital dan tempat pendermaan bergeraklah yang satu hari nanti akan membantu beri mereka peluang untuk terus hidup tatkala mereka mengidap penyakit…

Tiada ulasan: