Penerbitan bangsawan 'Sang Nila Utama' ini dipersembahkan oleh kumpulan Anggerik Temasek Bangsawan di Singapura dari beberapa buah persembahan dalam Pesta Bangsawan Singapura sempena menyambut perayaan Hari Kebangsaan Singapura ke-lima-puluh-tujuh pada tahun 2022 ini.
Kebetulan saya menontonnya pada malam akhir 9 Ogos apabila Singapura merai Hari Kebangsaan mereka dan terdapat acara rasmi diadakan pada hari dan juga malam yang sama.
Terlihat juga beberapa pesawat pejuang melitasi ruang udara atas Taman Warisan Melayu (TWM) yang menempatkan Istana Kampung Gelam yang dulunya menjadi istana untuk Sultan Singapura dan kemudian warisnya sebelum ia diambilalih oleh kerajaan untuk dijadikan TWM seperti yang ada sekarang.
Memang hebat, sebuah usaha menerbit sebuah kisah yang bukan hikayat tetapi sejarah sebenar, berkaitan dengan penubuhan atau pembukaan sebuah pulau bernama Temasek dengan judul yang mengguna nama pengasasnya, Sang Nila Utama.
Penulisan skripnya sahaja mengambil banyak masa sebab banyak bahan mungkin tidak tertulis dengan selengkapnya; dan perekaan pakaian yang ditampilkan juga perlu menepati jenis yang dipakai ketika itu.
Kebetulan sebab ia adalah persembahan untuk sebuah pesta bangsawan, maka nampak sangat bahawa babak pertempuran dan persengketaan diubah untuk menepati cara 'bangsawan' sebenarnya dengan kebanyakan cerita diluahkan oleh sepasang 'penglipur-lara' dengan cerita dibahagikan kepada beberapa 'babak' dengan diselang-seli dengan babak selingan yang dikenali dengan nama 'extra turn'.
Dan secara kebetulan saya seberang Selat Tebrau dari 'Hujung Tanah' yang kini dikenali dengan nama Johor ke Singapura yang dulunya dikenali dengan nama Temasek sebelum ia bertukar ke Singapura atau Kuil atau Kota Singa pada Hari Kebangsaan Singapura pada 9 Ogos yang berpisah dari Persekutuan Malaysia.
Persembahan bangsawan itu pula berlaku dalam sebuah ruang empat-segi berukuran tidak lebih lima-puluh kaki persegi pula menjadi tempat di mana persembahan pada malam akhir berlaku di hadapan ruang penonton yang hampir penuh, setelah tiga hari sebelum ini ia dipersembahkan dengan sambutan yang menggalakkan.
Kisah tentang Sang Nila Utama sebenarnya bukan sebuah kisah kecil; ia sebuah nama besar, anak Raja Palembang yang diarah oleh bapanya Raja Palembang Sang Sapurba yang dianggap sebagai keturunan Iskandar Zulkarnain atau 'Alexander the Great' yang mana telah menghantar empat anaknya untuk pergi ke empat buah wilayah di Tengara Asia, untuk 'melihat laut' yang bermaksud 'untuk pergi menggembara' ke benua yang belum diteroki untuk buka negeri baru.
Dan tradisi inilah yang juga diguna oleh Sang Sapurba untuk mengarah empat anaknya sendiri untuk 'melihat laut' untuk membawa diri dan khususnya San Nila Utama diarah ke sebuah pulau yang tandus tanpa penghuni yang ketara yang akhirnya di beri nama Temasek pada tahun 1299.
Nama Temasek ini pula ditukar ke Singapura oleh Parameswara, seorang suami puteri Palembang yang telah juga terpaksa 'melihat laut' atas sebab peribadi dana tindakannya yang mendatangkan padah kepada dirinya sendiri. Beliau tinggalkan Palembang di Sumatera semasa zaman Srivijaya dalam tahun 1398 dulu tanpa tahu apa yang bakal menanti sepanjang jalan dan khususnya di Temasek yang kini dikuasai oleh wakil Siam iaitu Raja Tamogi, samada dia dapat menerimanya atau tidak.
Parameswara akhirnya berhenti di Temasek di mana beliau membuat angkara dengan membunuh Raja Tamogi, seorang pemimpin wakil Raja Siam yang murka yang menyebabkan Parameswara terpaksa menyeberang Selat Tebrau untuk berhenti di beberapa tempat sehingga tiba di sebuah kawasan dan bertedur di bawah pokok Melaka yang diguna untuk membuka Negeri Melaka untuk dia menjadi rajanya yang pertama.
Parameswara juga orangnya yang telah menukar nama Temasek kepada Singapura apabila dia terserempak dengan binatang itu, yang disangkakan 'singa' walhal ia mungkin 'harimau' sebab di Singapura atau Temasek tidak ada singa dan yang ada hanya harimau.
Semuanya ini terdapat dalam buku sejarah Melayu dan Hikayat Melayu berkaitan dengannya yang telah diperturunkan sejak berkurun lalu.
Biar ia satu permulaan; yang mungkin kalau diberi peluang dapat dihasilkan dengan lebih dramatik untuk penonton Melayu khususnya dan juga masyarakat lain, sebab ia adalah kisah induk pembinaan Bangsa Melayu itu sendiri yang akhirnya menyebabkan pembukaan Negeri Melaka itu sendiri; jadi dengan lain perkataan ia adalah juga kisah penubuhan dan sejarah Melaka, dengan Parameswara yang 'melihat laut' pada hari kemudian hingga sampai ke Melaka untuk membukanya dalam tahun 1400.
Dari persembahan keseluruhnya saya rasa kagum melihat sebuah kumpulan dari Singapura yang giat membuat persembahan teater untuk masyarakat setempat khususnya yang saya harap dapat dibawa ke Malaysia pada satu hari walaupun kemungkin ini agak sukar memandangkan kebanyakan mereka yang terlibat dalam kumpulan ini melakukannya secara suka-rela yang semestinya memakan banyak masa.
Disamping itu ada juga beberapa kumpulan bangsawan lain di Singapura yang turut bergiat membuat persembahan bangsawan ada yang mempunyai persembahan dalam Pesta Bangsawan yang diadakan dari 8 Ogos hingga 27 Ogos secara bergilir-gilir dengan bahan yang berbeza.
Malangnya kumpulan bangsawan yang dulunya ada di beberapa negeri di Semenanjung Tanah Melayu, kini sudah pupus; kalau ada persembahan bangsawanpun ia diterbit oleh kumpulan pelajar Aswara sebagai sebahagian daripada kursus senilakon yang diadakan untuk tontonan sendiri dan jarang untuk orang awam untuk menikmatinya.
Mungkin kemuncak persembahan dalam Pesta Bangsawan ini ialah 'Sang Nila Utama', yang pada saya amat tepat diadakan bukan sahaja pada perayaan Hari Kebangsaan Singapura tetapi lebih dari itu, sebab kisah Sang Nila Utama dan penubuhan Temasek sebenarnya tidak pernah diadakan lagi sehingga kini; dan ini yang menarik perhatian saya sehinggakan saya sanggup datang ke sini dari Kuala Lumpur untuk menontonnya; juga dengan niat untuk tulis sedikit-sebanyak tentangnya untuk akhbar dan majalah dan blog saya.
Memang kalau nak dikatakan kisah sejarah seperti ini memang sesuai untuk dipersembahkan dalam apa carapun, termasuk dalam bentuk sebuah persembahan bangsawan atau filem biasa yang sudah pasti akan dapat menarik jumlah penonton yang lebih besar.
Sehingga kinipun kita tidak pernah menonton sebuah filem tentang sejarah silam Melayu iaitu tentang Sang Nila Utama; kalau adapun ia adalah kisah sejarah yang kemudian dari itu sekitar sejarah kerajaan Melaka, yang sememangnya penting.
Penerbit eksekutif untuk kumpulan Anggerik Temasek Bangsawan ini ialah Noor Azhar yang dibantu oleh rakan-rakannya. Saya tidak bertanya apa kerja yang mereka lakukan sepenuh masa; saya hanya mahu tahu apa yang mereka buat untuk kumpulan bangsawan mereka yang saya juga tahu telah membuat beberapa permentasan sejak ia ditubuh dalam tahun 1986 dahulu oleh seorang tokoh lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan