Isnin, 27 Mac 2017

HOLLYWOOD, MAKANAN HALAL…PELARIAN DAN PENDATANG…

Oleh Mansor Puteh


Saya sampai di Los Angeles pagi 24 Februari dengan penerbangan dari Kuala Lumpur yang bersinggah sehari di Guangzhou, Negeri Cina.


Dan tidak sempat beberapa ketika setelah tiba di apartment rakan saya di Los Angeles, saya sudah mahu ke Hollywood, yang dua hari lagi akan menyaksikan acara penuh gemilang iaitu Malam Oscar atau Malam Anugerah Akademi yang ke-lapan-puluh-sembilan.

Mujur apartmen rakan saya yang terletak di daerah Inglewood tidak jauh dari Lapangan Terbang Los Angeles dan Hollywood yang saya dapat pergi dengan hanya menaikki satu bas mengambil satu jam-setengah. Ini lawatan saya yang ke-empat di Hollywood, jadi saya tidak risau kalau tersesat.

Saya turun dari bas di persimpangan Hollywood dan Vine, dua jalan utama di Hollywood. Cuaca agak nyaman dengan berjalan di kaki-lima yang dikenali dengan nama ‘Hollywood Walk of Fame’ yang memaparkan nama-nama bintang Hollywood dan dunia hiburan di Amerika.

Namun sebuah bintang yang agak unik dipunyai oleh Muhammad Ali, yang tidak benarkan bintangnya diletak atas kaki-lima tetapi pada dinding sebab dia tidak mahu nama besar Nabi Muhammad, s.a.w. yang dipakainya dipijak oleh sesiapa.

Dan dari sini saya sudah dapat lihat khemah yang telah didirikan di luar bangunan Dolby Theatre dimana Malam Oscar ke-lapan-puluh-sembilan akan diadakan dengan jalan di hadapannya ditutup.

Mujur penganjur masih membenarkan orang ramai pergi dekat dengan dewan itu dan dapat melihat permaidani merah yang telah dibentangkan dari luar bangunan hingga ke dalam dewan, tetapi ditutup dengan plastik dengan patung besar piala Oscar didirikan.

Saya sempat buat lawatan ke dalam dewan ini bersama pelancong lain November tahun lalu dan mendapatinya tidaklah sebegitu besar seperti yang dilihat dalam televisyen. Dan pentasnya juga tidak besar.

Saya bandingkannya dengan Istana Budaya di Kuala Lumpur yang lebih besar.

Ramai orang tahu apa itu Hollywood, sebuah pusat pembuatan filem terkenal seluruh dunia. Tetapi tidak ramai tahu akan sejarah yang membuat ia menjadi sedemikian.

Dan ramai orang yang berpusu-pusu di kaki-lima di bndar hiburan ini asyik mengambil gambar dan beli cenderamata dan lain-lain, dan ternyata hampir semua terdiri dari pelancong dari Eropah dengan sedikit dari Asia.

Saya tidak pernah tersempak mana-mana pelancong dari Malaysia, kecuali beberapa orang dari Indonesia yang terkejut bila saya tegur dengan berkata ‘Apa khabar?

Malah saya juga terkejut bila orang di sini, keturunan Myanmar menegur saya dengan berkata sedemikian, Dia pernah menetap dan bekerja di Malaysia.

Dan amat menghairankan juga bahawa sekarang ini terdapat banyak restoran yang menghidangkan makanan halal dengan dari negara Arab dan Asia bekerja di situ.

Saya juga rasa amat hairan melihat papantanda iklan memaparkan nama Aziz Ansari semasa saya ke Hollywood tiga tahun dahulu. Saya selidik dan mendapati dia adalah orang Tamil-Muslim-Amerika yang bekerja sebagai pelawak yang boleh diterima oleh khalayak di Hollywood dan Amerika yang mahu dengar lawaknya.

Dan jauh sekali mereka termasuk orang tempatan yang tidak sedar bahawa Hollywood telah dibangunkan oleh pelarian dan pendatang.

Isiu ini saya timbulkan dan terfikir apabila tiba di sini dengan mengambil kira pembicaan oleh ramai orang tentang pendatang dan pelarian atau ‘immigrant’ dan ‘refugee’ dengan terdapatnya perintah Presiden Amerika baharu, Donald J Trump.

Presiden Trump mahu sekat kedatangan orang dari tujuh buah Negara Arab, saya tertarik untuk membawa khalayak di Malaysia khususnya pembaca Utusan Malaysia bahawa sebenarnya, Hollywood tidak boleh wujud tanpa penyertaan pelarian dan pendatang dari segala pelusuk dunia.

Dan ramai tentu terkejut kalau saya beritahu bahawa Hollywood pada mulanya tidak mempunyai pandangan serong terhadap Ugama Islam dan Orang Islam.

Ini jelas kalau kita lihat filem-filem awal semasa Zaman Filem Bisu seperti ‘The Sheik’ dan ‘Son of Sheik’ yang memaparkan masyarakat Arab, dengan dibintangi oleh pelakon keturunan Itali iaitu Rudolf Valentino.

Ramai wanita Amerika ketika filem-filem ini ditayang terpikat dengannya yang memakai pakaian Arab yang menggelarnya sebagai ‘wira romantik’ atau ‘romantic hero’.

Dan apabila dia meninggal dunia dalam masa yang muda, wanita-wanita meratapinya dan berkabung, sehinggakan namanya masih diingat sehingga kini.

Ada bukti yang menunjukkan bahawa penerbit dan pengarah filem serta studio besar dalam Zaman Filem Bisu tidak mempunyai pandangan serong terhadap Ugama Islam dan Orang Arab yang mereka lihat sebagai manusia yang berperikemanusiaan.

Malangnya, sikap seperti ini kemudiannya mahu ditukarkan agara Ugama Islam dan Orang Arab dan Muslim dipandang serong, apabila tokoh bidang perfileman zaman kemudian dari itu rasa resah sebab mereka tidak mahu rakyat Amerika terpengaruh dengan Islam, jadi mereka ambilalih kuasa sehinggakan watak Arab akhirnya menjadi watak jahat atau ‘crook’.

Berbalik kepada pengaruh yang dibawa oleh pelarian dan pendatang ke Hollywood ia terus berlaku dan ramai pengarah filem dibawa dari negara Eropah dan Turki.

Ramai tidak sedar bahawa pengarah dan pelakon filem Hollywood terkenal seperti Alfred Hitchcock, Richard Burton, Elizabeth Taylor, Bob Hope berasal dari England sementara Milos Forman dari Czechlosvakia.

Malah Bob Hope berlakon dalam siri filem yang dibuat dibeberapa negara di Asia seperti Bali iaitu ‘Road ke Bali’ (Perjalanan ke Bali) dan ada filem lain yang mengguna pelakon Melayu dari Studio Shaw Brothers di Jalan Ampas, iaitu Ibrahim Pendek yang berlakon bersama Rock Hudson.

Dan tidak lupa pengarah Elia Kazan dari Turki yang mengarah filem terkenal seperti ‘On The Waterfront’ dan ‘East of Eden’.

Dan banyak sekolah filem di Amerika sehingga sekarang mengguna teori filem yang diasaskan oleh pengarah filem awal dari Rusia dan negara Eropah.

Jadi apa agaknya kalau kita tolak penglibatan dari pelarian dan pendatang dari luar Amerika terhadap pembentukan Hollywood? Ternyata tidak ada sangat yang boleh kita bincangkan sebab Amerika pada asalnya sebuah negara untuk pendatang dari seluruh pelusuk dunia yang melarikan diri dari negara asal untuk ke sini bagi memulakan penghidupan baru.

Dan semua perusahaan dan kemajuan yang berlaku di negara ini menggunakan kepakaran dan kebijaksanaan pendatang dan pelarian yang akhirnya membentuk sebuah masyarakat dan negara tersendiri.

Jadi adalah salah untuk Presiden Trump bercakap tentang pelarian dan pendatang sedangkan datuk dia sendiri adalah pelarian dari Jerman, dan dia rakyat Amerika generasi ketiga.

Kata akhir: Malah rakan saya di Los Angeles sebenarnya juga pelarian dari Rohingya yang telah lama menetap di Malaysia dimana saya kenal mereka. Sebuah keluarga baharu sampai November tahun lalu. Dan terdapat sebuah masyarakat Rohingya dan Islam di Daerah Inglewood dimana ada sebuah masjid dan tidak jauh, sebuah restoran bernama Mutiara yang dibuka oleh orang Rohingya. 

Tiada ulasan: