Sabtu, 12 Disember 2015

YEMEN DALAM BULAN MAC, 2011…DAN SEKARANG…DENGAN PEPERANGAN SAUDARA BERLAKU DAN DENGAN ARAB SAUDI.

Oleh Mansor Puteh


Saya tiba di Sana’a, ibukota negara Yaman sehari sebelum sekumpulan lebih dua ratus pelajar Malaysia tinggalkan negara ini dalam bulan Mac, 2011, semasa pergolakan yang dinama ‘Arab Spring’, olehsebab keadaan di bandaraya dan negara itu dikatakan tidak selamat untuk mereka.


Mungkin ia tidak selamat untuk mereka sebab mereka belajar dibeberapa buah universiti dan tinggal pula dibeberapa rumah sama dan mereka boleh jadi sasaran sesiapa yang mahu cederakan mereka.

Sedangkan untuk saya, saya tinggal bersama rakan dan keluarganya dan dalam kawasan yang terkawal dan agak eksklusif dan bergerak dipandu oleh pemandu rakan saya bernama Mohammad, orang Yaman tetapi berasal dari Bandaraya Taif.

Dan tujuan asal saya iaitu untuk menerbit sebuah dokumentari kesampaian dan saya berjaya terbit dokumentari yang saya beri judul, ‘Writing in the Sand…on how the Jasmine Revolution of the Arab Spring, Part I could have been avoided!’ yang dijemput oleh Pesta Filem Fajr di Tehran, Iran dalam bulan Februari, 2012.

Inilah juga kali pertama saya terbit sebuah video atau dokumentari dengan menyuntingnya sendiri. Dan ia menjadi lebih mudah bila saya berusaha mengguna perisian yang saya telah beli dengan harga yang agak mahal sehinggakan ia dapat dijemput untuk ditayang disebuah pesta filem antarabangsa pula.

Saya ditahan oleh pengawal keselamatan di lapanganterbang sebab saya mengambil gambar pelajar-pelajar yang berkumpul di luar bangunan terminal, sebab mereka tidak fikir saya juga dari Malaysia tetapi jurugambar atau wartawan dari Jepun. Mujurnya saya dibebaskan setelah setengah jam disuruh duduk dalam bangunan terminal oleh rakan-rakan Melayu yang bercakap dalam bahasa Arab dengan pegawai pegawal keselamatan.

Kawasan perumahan ini ternyata adalah untuk mereka yang berada dan dikawal oleh ramai pemuda Arab untuk Sheikh Hamed yang membawa senapang panjang dan ia terletak tidak jauh dari kediaman rasmi presiden dan masjid paling besar di Sana’a yang baharu sahaja disiapkan.

Saya ke Yaman atas jemputan rakan saya yang bekerja di sana dan kebetulan pula rumahnya terletak disebuah kawasan yang agak penting bersama dengan rumah ketua penentang atau pembangkang Presiden Ali Abdullah Salleh, iaitu Sheikh Hamed, yang dapat saya lihat di sebelah kiri dari bilik tingkat tiga saya menginap.

Saya juga sempat membuat lawatan ke bandaraya lain seperti Taiz dan Manakha dengan menaikki kenderaan yang dipandu oleh pemandu Arab tempatan rakan saya termasuk membuat lawatan ke pejabat dan studio televisyen Yaman yang dikawal rapi dengan kereta kebal terletak di sekelilling komplek penyiaran kebangsaan negara ini.

Sebabnya ialah saya dikenalkan dengan seorang petugas kanan yang bekerja di sini yang mendapatkan saya kebenaran untuk masuk ke dalamnya.

Tidak lama selepas saya tinggalkan Yaman untuk pergi ke Dubai dan balik ke Malaysia, saya mendapat tahu dari rakan saya bahawa rumah Sheikh Hamed dan rumah sewanya telah dibom sehingga hancur.

Ini akibat dari serangan ke atas Presiden Ali Abdullah Salleh yang sedang bersembahyang yang menyebabkan beliau mengalami kecederaan parah dan terpaksa diterbangkan ke Arab Saudi untuk mendapat rawatan di sana. Lama selepas itu baharu beliau muncul dikhalayak ramai.

Rata-rata rakyat Yaman peramah dan mudah terima kehadiran tetamu dari jauh, walaupun semua mereka fikir saya orang Jepun. Mereka tegur, ‘Japan, Japan…’ bila terserempak dengan saya dan mahukan saya rakam gambar mereka dan bersama dengan saya.

Tempat yang menjadi tumpuan saya dan mana-mana pelawat ke Sana’a tidak lain dari Istana Batu atau ‘Rock Castle’ dan Bandaraya Lama Sana’a, yang telah diiktiraf sebagai kawasan warisan UNESCO.

Di sini terdapat bangunan bertingkat yang telah wujud ratusan tahun dimana masih didiamni dan di dalamnya juga terdapat kedai menjual semua barang sehinggakan ia adalah sebuah bandaraya yang boleh wujud dengan menampung keperluan penduduknya.

Terdapat juga sebuah masjid lama yang besar yang sudah dibaikpulih.

Di sebelahnya terletak sebuah jalanraya yang lebar yang merupakan saliran air untuk diguna semasa musim tengkujur dengan air disalurkan dalam jalan ke kolam atau tasik yang terletak jauh dari bandaraya.

Ia sama seperti terowong SMART yang terdapat di Bandaraya Kuala Lumpur.

Malangnya, sekarang keadaan di Yaman menjadi lebih buruk dengan banyak bangunan dibom dan nyawa terkorban walaupun pada tahaun 2011 dahulu ia kelihatan tenang dan pelawat ke negara ini masih boleh membuat lawatan ke bandar dan pekan luar Sana’a, walaupun mereka kena mendapat permit khas yang mesti ditunjuk kepada pengawal yang diletakkan dibeberapa tempat sepanjang perjalanan.

Bandaraya Taif terletak agak jauh dan perjalanan dalam MPV rakan saya mujur selesa; dan jalan dari Sana’a ke sana adalah di atas jalan yang selesa dan licin dan tidak pula berlubang.

Di kiri-kanan jalan terlihat bukit-bukau dan pemandangan padang pasir dengan rumah-rumah batu terletak di cerun.

Di Taiz juga terdapat rumah rasmi presiden.

Sementara perjalanan ke Manakha pula tidak mengambil masa yang agak lama dan pemandangan sepanjang jalan menampakkan tumbuh-tumbuhan dan mendaki sehingga tiba ke sebuah pekan di mana terdapat masyarakat Islam mahzab Ismailia.

Memang tidak ramai orang dari Malaysia yang mahu datang ke Yaman, sebab ia bukan pusat pelancongan yang terkenal dikalangan mereka.

Mungkin ada sejumlah kecil rakyat Malaysia yang pernah ke sana iaitu dengan membuat perhentian beberapa hari sebelum ke Jeddah untuk membuat kerja Umrah.

Yaman sebenarnya merupakan sebuah negara Arab yang berkaitan dengan tanah dengan negara Arab Saudi dan di sinilah dimana juga Nabi Muhammad, s.a.w. pernah datang untuk berdagang.

Namun demikian pemerintah Arab Saudi tidak pula rasa perlu untuk berganding dengan pihak di Yaman untuk sama-sama bangunkan negara ini termasuk Somalia di Afrika yang rata-rata terdiri dari kaum Afrika yang telah menerima Islam dan mengguna bahasa Arab sebagai bahasa sendiri.

Ini yang malangnya sehinggakan perbalahan tercetus membabitkan Arab Saudi yang terpaksa mengambil keputusan untuk menyerang pihak Houthi di Yaman semata-mata kerana pemimpin awal kedua buah negara tidak bertindak untuk merapatkan perhubungan sesama sendiri dan mereka mudah terpedaya dengan dakyah barat yang mengambil tindakan untuk memecah-belahkan mereka.

Aman malang buat Yaman yang tidak yaman sehingga kini dan berita yang dapat dilihat dalam televisyen dan FB menunjukkan banyak tempat di Sana’a dan Taiz telah musnah akibat serangan oleh puak Houthi dan Arab Saudi.

Dan tidak tahu pula bila keadaan di Yaman akan reda dan rakyatnya akan dapat memulakan penghidupan yang baru dan tenteram.


Sudah pasti saya mahu balik ke Yaman apabila keadaan di sini menjadi lebih tenteram dan keamanan dapat dirasai oleh rakyatnya. 

Tiada ulasan: