Sabtu, 7 April 2012

ISTANA BUDAYA GUNA KONSEP ELITIS (PERLU DIWUJUDKAN DAERAH TEATER DI KUALA LUMPUR).

Oleh Mansor Puteh





Jadi Istana Budaya yang dulu dikenali dengan nama Panggung Negara sudahpun dirasmikan dengan megahnya setelah beberapa dekad ia terbengkalai sementara pihak berkenaan menentukan samada mahu guna bumbung Minangkabau atau yang lain.
            Dan beberapa buah persembahan teater sudahpun selesai dipersembahkan.
            Soalan yang boleh ditanya sekarang ialah:  Adakah Istana Budaya ini relevan kepada pembangunan teater di Malaysia sebagai satu perusahaan? Bolehkah istana budaya ini mewujudkann kesan sampingan secara positif?
            Bolehkah is juga menggiatkan kegiatan teater di Kuala Lumpur dan sekaligus seluruh negara dan jadikannya sebuah perusahaan?
            Jawabnya tidak.
            Istana Budaya telahpun boleh dikatakan gagal segagalnya untuk menggiatkan kegiatan teater di Kuala Lumpur, jauh sekali seluruh negara.  Kesan sampingana tak ada.
            Istana Budaya tidak berbeza dengan Oditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang pada ketika disiapkan dulu memberi seribu harapan. Tetapi sekarang ini ia tidak berbeza dengan dewan lain, termasuk Dewan Sivik Petaling Jaya yang pernah dikatakan sebagai paling canggih seluruh negara.
            Memang istana budaya kini dianggap canggih. Tetapi kecanggihannya akan pudar oleh sebab teknologi berkembang dan istana ini akan terus berlapuk, sama seperti Dewan Sivik dan DBKL.
            Konsep yang dipaparkan oleh istana ini terlalu elitis. Ini yang menjadi masalah utamanya.
            Kenapa mesti kita ghairah dengan bangunan yang mahal untuk dirikan, sedangkan sebuah dewan yang lebih murah juga sudah boleh didirikan dan memberi kesan yang sama, bahkan lebih hebat dari itu.
            Dari beberapa persembahan teater yang telah dipersembahkan di istana budaya ini saya dapat mengesan tentang kepincangan yang berlaku terhadap teater kita.
            Pertamanya, ialah perbelanjaan telah melambung. Tetapi, sayangnya hampir separuh perbelanjaan tidak pergi kepada persembahan teater, dan artis, tetapi kepada kumpulan muzik.
            Kedua, persembahan di istana ini terlalu mahal. Tidak mungkin mana-mana syarikat teater atau kumpulan bebas dapat menyewa dewan ini untuk membuat persembahan.  Sewa untuk mengguna dewan ini ialah RM30,000 satu hari.
            Walhal suatu ketika dulu, mana-mana kumpulan teater boleh terbitkan sebuah permentasan dengan kos ini sahaja, dan persembahan berlangsung satu hingga dua minggu.
            Jadi, persembahan di istana ini ternyata tidak boleh menguntungkan.
            Dan masalah ketiga ialah, istana budaya tidak dapat mewujudkann teater sebagai satu perusahaan yang ‘self-sustaining’ dengan maksud mana-mana persembahan di istana ini sudah pasti tidak menguntungkan.
            Jadi, ini membuktikan bahawa istana budaya ini tidak berkesan untuk melahirkan teater sebagai satu perusahaan yang kukuh dan dapat berdiri di atas kaki sendiri, tanpa penajaan.
            Saya tidak percaya istana budaya dapat mewujudkann dan mngalakkan satu tradisi teter pofesional di Malaysia yang mana syarikat-syarikat sanggup melabur dalam teater sebab mereka percaya dapat memperolehi keuntungan darinya, sama seperti perusahaan dagang lain.
            Keempat, ruang di istana budaya ini tidak berbaloi dengan kosnya. Kebanyakan kos pergi ke bumbung dan ruang legar yang tidak boleh diguna untuk tujuan-tujuan berteater, sekadar untuk membuat istana ini mirip sebuah hotel enam bintang sahaja.
            Kelima, cuma terdapat satu dewan yang memuatkan 1,500 penonton dalam istana budaya ini.  Dan kerusinya sempit di bahagian belakang, oleh sebab arkitek tidak memikirkan tentang perlunya membuat ruang untuk berjalan di belakang penonton, dan terpaksa mendekatkan kerusi terakhir supaya ada lorong sempit dibuat untuk tujuan ini.
            Dari apa yang saya dapat lihat, dewan dalam istana budaya ini agak ganjil.  Ia sudah pasti bukan untuk persembahan teater tetapi opera.  Lihat sahaja kerusi khas dalam bilik-bilik kecil di kiri dan kanan dewan, dan kita sedar bahawa ia ditiru langsung dari dewan opera lama di Eropah.
            Saya tidak percaya bahawa dewan ini baik.
            Lihat sahaja pentas yang sebegitu sempit, walhal ia begitu dalam, sehingga penonton tidak dapat melihat wajah pelakon yang bercakap, sebab wajah mereka terlalu kecil di pandangan mata.
            Ini sebenarnya adalah satu kesilapan besar. Sebabnya sesebuah istana budaya semestinya mempunyai lebih dari satu dewan persembahan.
            Sebaik-baiknya istana budaya sudah mempunyai lima            atau enam dewan dari yang besar ke kecil, supaya kumpulan-kumpulan besar dan kecil dapat memberi pertunjukan mengikut kemampuan masing-masing serta tahab.
            Dan dewan latihan tidak sesuai. Ada latihan dibuat di dalam ruang menunggu.
            Kenapa agaknya pihak berkenaan meniru bulat-bulat konsep Sydney Opera House, dan Lincoln Center di New York atau Kennedy Center di Wasliington DC?
            Pusat kebudayaan di tiga buah bandaraya dunia ini memainkan peranan yang agak lain berbanding dengan istana budaya di Kuala Lumpur.
            Tidak salah kalau di Sydney, New York dan Wasliington mempunyai dewan seperti itu, sebab mereka memerlukan dewan atau puksat kebudayaan bersifat elitis, khusus untuk menemui selera masyaraka atasan di sana.
            Dan di tiga buah bandaraya ini sudah terdapat daerah teaternya sendiri di mana terdapat aktiviti teater yang tidak mengenakan bayaran terlalu mahal.
            Dan persembahan di Broadway atau West End misalnya berlangsung setiap hari, di beberapa panggun serentak.
            Sementara persembahan di tiga pusat kebudayaan itu cuma berlangsung untuk beberapa hari, dan ia biasanya adalah bersorak elitis, seperti balat, opera dan sebagainya.
            Berbanding dengan persembahan di Boadway dan West End yang bercorak biasa, seperti musikal dan lain-lain, yang boleh berlaku beberapa tahun lamanya.
            Dan apakah yang boleh kita lakukan untuk mengatasi masalah teater kita sekarang?
            Saya tau: Kita mesti mewujudkan satu daerah teater di tengah-tengah pusat Bandaraya Kuala Lumpur di mana terdapat beberapa buah dewan dari yang kecil hingga besar.
            Tempat yang paling sesuai ialah di kawasan sekitar Pasar Seni dan Bangunan Bangkok Bank, di mana terdapat banyak bangunan lama.
            Bangunan ini boleh diubah suai untuk dijadikan dewan teater, dan Akademi Seni Kebangsaan dan akademi kesenian dan filem lain dapat ditempatkan di sini juga.
            Syarikat-syarikat atau kumpulan teater boleh menyewa ruang untuk pejabat dan latihan mereka.  Dan bangunan bank itu boleh dibeli dan diubahsuai untuk dijadikan hotel dan pusat pejabat dan latihan ini.
Kalau sebuah daerah teater ini dapat dimajukan di kawasan ini saya percaya lampu neon dan papantanda mengumumkan persembahan teater boleh terpampang setiap hari, dan anak murid bidang teater berkeliaran di sini untuk memberi semangat kepada masyarakat.
            Apatah pula, daerah ini sebenarnya sudahpun dibudayakan dengan wujudkan Pasar Seni.
            Kuala Lumpur akan menjadi berseri kalau daerah teater dapat diwujudkan, berbanding dengan daerah bank berhampiran. 
            Pengangkutan LRT dan bas melalui kawasan ini boleh memberi kemudahan kepada penonton untuk pergi menonton drama dan persembahan lain.
            Sebuah balai senilukis juga boleh diadakan di sini untuk memberi peluang kepada mereka yang berminat dengan teater meminati lukisan.
            Kenapa agaknya pihak berkenaan dan kementerian berkenaan tidak dapat memikirkan tentang daerah teater, dan mahu sedaya-upaya untuk mendirikan istana budaya?
            Sebabnya ialah di kementerian dan di kalangan aktivis teater di negara kita, tidak seorangpun yang sedar dengan sejarah perkembangan teater di New York dan London untuk tahu bagaimanakah teater di sini boleh berkembang sedemikian.
            Akhir sekali, istana budaya sudah pasti bukan caranya untuk kita memajukan perusahaan
 teater.  Peranannya tidak berbeza dengan Finas yang telah gagal untuk memajukan perusahaan filem walaupun sudah wujud sekian lama. Ini disebabkan tidak seorang di Finas yang mempunyai ijazah bidang perfileman.

Tiada ulasan: