Sabtu, 14 April 2012

MESJID SHABAZZ DI HARLEM…

Oleh Mansor Puteh





Tidak banyak pelancong mahu pergi ke kawasan ini. Kalau adapun mereka akan menaikki bas pelancong dan pergi ke sana tanpa berhenti dan melihat sekilas pandang dari luar jendela dan mengambil gambar.
            Jarang terdapat pelancong tempatan maupun luar negeri yang pergi ke sini untuk bersiar-siar dan melihat di sekitar kawasan dengan lebih rapat, walhal sejarahnya tidak kurang gemilang. Di sini terdapat banyak pertempuran berlaku di masa silam diantara pasukan Inggeris dan Belanda. 
            Keenganan pelancong untuk bersiar-siar di sini disebabkan kawasan ini mempunyai jumlah penduduk yang hampir semuanya kulit hitam atau Afro-Amerika seperti yang mahu dikenali mereka sekarang.
            Nama kawasan ini ialah Harlem. Ia terletak di utara Pulau Manahattan. Dan ia dianggap ramai sebagai sebuah kawasan yang merbahaya, dan kadar jenayahnya jauh lebih tinggi berbanding dengan kawasan-kawasan lain seluruh Bandaraya New York dan Amerika.
            Saya tidak perlu memberanikan diri untuk pergi ke sana seorang diri.  Ini bukan kali pertama saya ke sana. 
            Pertama kali saya ke sana ialah dalam tahun 1978 dulu, sewaktu saya baru tiba di Bandaraya New York untuk menuntut.
            Dari atas tebing bukit di Morningside Park berhampiran dengan kampus saya dapat melihat ke kawasan ini. Ia kelihatan usang, sebab kawasan ini rata-rata terbiar.
            Orang awam tidak mahu ke sini sebab mereka anggap ianya suatu kawasan merbahaya. Tetapi, saya terus berjalan menyeberangi sempadannya dan pergi ke sana dengan seorang rakan keturunan India dari Malaysia. 
            Saya mahu melawat Mesjid Shabbazz yang terletak di 123 Street, di tengah-tengah kawasan Harlem. Dari sudut tinggi itu di Morningside Park saya dapat lihat kubah mesjid ini. Warnaya emas yang bersinar dipancar matahari. 
            Dua orang penuntut dari universiti sama berkulit hitam dan berugama Islam menggesa saya untuk lawat kawasan Harlem. Mereka juga mahu ke sana, sebab jaraknya tidak begitu jauh.
            Tidak sampai beberapa minit saya sudah tiba di luar mesjid ini. Cuaca yang baik tidak membuat seseorang itu letih atau berpeluh.
            Di sini saya sempat bertemu dengan Haji Rasliid, imam mesjid itu. Dalam biliknya kedengaran nyanyian Al-Koran yang dimainkan oleh kaset sepanjang pertemuan saya.
            Kali kedua saya ke sana ialah April 1999 lalu. Saya menaikki keretapi bawah tanah atau ‘subway’ Nombor 1 dari Times Square setelah bersiar-siar di daerah Astoria, Queens di mana saya pernah menetap dulu bersama rakan dari Malaysia lain. Saya mahu pergi ke kedai buku di mana saya sering pergi untuk mendapatkan bahan tulisan dan bacaan termasuk akhbar tempatan seperti New York Times dan New York Post.
Cuaca agak dingin. Musim sejuk belum berakhir akhir April. Tetapi di dalam stesyen bawah tanah angin tidak begitu kencang.
            Ini pertama kali saya kembali ke Harlem setelah begitu lama. Saya ikut keretapi Nombor 1 sehingga ke stesyen 123 Street. Tetapi, ternyata ia terletak agak jauh dari mesjid itu.  Saya seharusnya menaikki keretapi Nombor 2 atau 3 yang berhenti di stesyen di hadapan mesjid itu. 
            Saya lihat ramai orang berkulit hitam melakukan kerja sendiri. Dan saya tidak rasa gentar berada di sini seorang diri dengan membawa kamera di tangan. 
            Saya lihat sebuah bas pelancong berwarna merah membawa berpuluh-puluh pelancong kulit putih yang berasal dari luar New York dan luar Amerika bersiar-siar di jalan Lennox Street yang kini dikenali juga dengan nama Malcom Shabazz Street sempena nama Malcolm X, seorang pemimpin Islam Afro-Amerika yang telah ditembak semasa memberi ceramah di Dewan Auborn di salah sebuah hotel di Manhattan.
            Saya berjalan menuju ke mesjd yang terletak agak jauh. Saya perhati jalanraya luas dan penghuni di kawasan Halem ini, yang sedikitpun tidak menunjukkan muka bengis atau wajah yang menunjukkan niat jahat mahu merompak.
            Waktu siang. Orang ramai. Dan cuaca dingin. Saya berjalan seorang diri, seperti ‘rusa masuk kampung’ lagaknya. Saya tidak kuatir tentang keselamatan saya; cuma saya mahu segera tiba di sana supaya saya dapat berihatkan tumit saya yang sudah hampir melecet oleh sebab berjalan begitu lama sepanjang berada di bandaraya ini.
            Saya berhenti dan tanya beberapa orang tentang arah untuk ke mesjid itu, sebab pada awal selepas keluar dari stesyen ‘subway’ saya agak keliru dan tidak tahu ke mana terletaknya mesjid itu.  Ia tidak kelihatan dari jarak ini.
            Mereka memberi jawapan dengan mesra. Ternyata mereka sedar kehadiran mesjid itu. Ia adalah sebuah mercu tanda yang penting di Harlem.
            Bangunanya setinggi tiga tingkat dan di atasnya terletak sebuah kubah. Warnanya kini sudah dituakr ke hijau. Ia adalah emas semasa saya ke sana 22 tahun dulu.
            Dan di bawahnya pula terletak kedai-kedai termasuk restoran dan kedai gunting rambut yang dijalankan oleh masyarakat Islam di sini.
            Ada dua orang lelaki dewasa yang berdiri di muka pintu, dan seorang lelaki yang lebih muda. Kedua-dua lelaki dewasa itu merupakan penganut Islam diantara yang pertama yang telah memeluki Islam dalam dekad 1960an dulu. Sementara pemuda ketiga adalah pengawalnya.
            Orang awam yang mahu ke sini mesti diperiksa terlebih dahulu sebelum dibenarkan masuk.
            Saya juga diberitau bahawa Imam Haji Rasliid sudah meninggal empat tahun dahulu.  Jadi, hasrat saya untuk bertemu dengannya tidak sampai. Saya cuma sempat memberi gambar dia yang telah saya ambil dalam tahun 1978 dulu.
            Mesjid ini telah didirikan dalam dekad 1960an dulu, dan merupakan diantara mesjid yang awal dibina akibat dari kesemarakan pertubuhan Islam Afro-Amerika dulu.
            Selepas itu saya ke restoran berhampiran dan makan tengahari.
            Walaupun restoran ini dijalankan oleh orang Islam, tetapi ternyata ramai pelanggannya terdiri dari orang Afro-Amerika yang berugama lain.
            Saya dapat rasakan bahawa masyarakat Islam di kawasan Harlem ini sudah banyak berkembang sejak saya ke sini dua-puluh-dua tahun dahulu. Dan mereka hidup di sini tanpa rasa ragu sebab masyarakat bukan Islam lain sudah menerima kehadiran mereka. Ini disebabkan mereka hidup dalam aman, dan mereka tekun bekerja.
            Kadang-kadang kita akan terserempak dengan lelaki Islam yang memakai kopiah putih dan jubah. Mereka begitu bangga sekali memakai pakaian seperti ini sebab ia lebih mencerminkan keperibadian dan ugama mereka.
            Ada juga penganut Islam lain dari kalangan muda yang memakai pakaian biasa.
            Saya perhatikan sekumpulan pemuda Afro-Amerika berjalan sesama sendiri. Wajah mereka lebih cerah dan mempunyai cahaya ‘nur’ yang boleh dibaca. Mereka berjalan dan terus masuk ke dalam restoran berhampiran di mana saya pergi untuk makan tengahari.
            Sememangnya pemuda dan pemudi Islam di sini mempunyai lagak yang tenang di wajah mereka. Kebanyakan mereka berpendidikan tinggi dan berdisplin.
            Kawasan Harlem ini mempunyai sejarah yang agak gemilang semasa zaman penjajahan Belanda dan Inggeris dahulu. Tetapi keadaannya bertukar dengan drastik apabila kaum Afro-Amerika berpindah dengan banyaknya, sehingga seluruh kawasan ini dimilikki mereka.

Tiada ulasan: