Oleh Mansor Puteh
Perjalanannya seperti tiada akhirnya. Maklum sahajalah menjelajahi padang pasir yang tidak mempunyai batasnya membuat seseorang itu seakan tidak akan tiba di destinasi. Kereta rakan saya keturunan Palestin terus menjelajar melalui sebatang jalanraya yang agak baik dan bersih, menuju ke destinasi yang tidak kunjung tiba.
Saya mengasyikkan fikiran dengan melihat ke arah luar jendela kereta dan perhati pemandangan berubah-ubah mengikut perubahan cahaya matahari yang kian membenam.
Kadang-kala kita akan dapat lihat pokok-pokok yang segar seperti kurma dan semak-semak atau pohon rendang; tetapi biasanya pemandangan cuma sekadar padang pasir yang kering kelontang.
Saya juga sempat mengambil gambar di bahagian-bahagian tertentu. Dan saya juga asyik melihat masyarakat Palestin menjalankan pekerjaan masing-masing. Beberapa pekan dan kampung kecil terletak di sisi jalan.
Tetapi, oleh sebab kesuntukan waktu, kami tidak sempat untuk berhenti berihat sambil minum di kedai kopi dan bersua dengan masyarakat tempatan.
Tambahan pula ini kali perjalanan saya di negara Palestin ini dan kami sudah agak lewat. Dan waktu kian muram, dan tidak lama lagi matahari akan membenam dan suasana akan menjadi lebih gelap.
Rasa seperti perjalanan lain yang pernah saya buat dari Jeddah ke Madinnah dan kembali ke Mekkah di Arab Saudi tidak lama dulu, di mana padang pasir yang luas menhiasi suasana, dan cahaya bertukar dengan begitu lekas dari terang hingga ke malam.
Pemandangan di padang pasir di Palestin ini juga akan turut berubah. Sungguh tenang suasana; sungguh aman sekali.
Tetapi, seperti yang kita ketahui, dalam jiwa dan hati setiap rakyat Palestin bergolak bermacam-macam perasaan – marah, benci, takut, kuatir dan risau…
Walaupun pada wajah setiap rakyat Palestin yang sempat kita temui dan lihat di kaki-lima jalan, atau di bazaar dan pekan kecil atau kampung terpencil, menunjukkan wajah yang riang dan senyuman yang lebar dan mesra, serta perwatakan yang peramah, tetapi, wajah bersahaja itu sudah pasti menyembunyikan seribu perasaan.
‘Asalamulaikum,’ sebut saya apabila berhenti beberapa kali dalam perjalanan. Dan semua mereka yang ketika itu sedang duduk di situ bergema menyambut salam, ‘mulaikum salam waramatullah hiwabarakatuh.’
Walaupun kita tidak kenal sesiapa, mereka akan menyambut kita dengan begitu mesra. Lebih-lebih lagi tatkala waktu sudah agak lewat, cahaya muram dan wajah tidak jelas, tetapi, kita tidak rasa kuatir akan diapa-apakan.
‘Saya seorang Muslimin,’ kata saya, takut-takut mereka sangkakan saya bukan seugama dengan mereka. Mereka rasa lega dan gembira bertemu dengan seorang asing seugama dengan mereka.
Dan apabila saya mahu berangkat dengan dua orang rakan lain dalam satu kereta untuk meneruskan perjalanan, saya akan melambai tangan ke arah mereka. Dan semua mereka akan melambai kembali dan mengucapkan selamat jalan.
Ternyata rakyat Palestin, tidak kira yang muda atau dewasa begitu gembira bertemu dengan sesiapa yang seugama dengan mereka; lebih-lebih lagi kalau dia datang dari jauh dan bukan keturunan Arab seperti mereka.
Inilah Palestin, sebuah negara yang tertindas selama lima-puluh tahun, yang masih tidak mempunyai masa depan yang cerah. Pemerintah Yahudi masih mengawal sempadan mereka. Dan setiap orang yang mahu ke Palestin mesti mendapatkan visa dari kedutaan Israel di Amman sebelum dia dibenarkan masuk ke wilayah Palestin.
Lihat sahaja orang Arab dan Palestin dan lain-lain yang mahu mendapatkan visa di kedutaan Israel di pinggir bandaraya Amman . Mereka terpaksa berdiri di bawah pancaran sinar matahari berjam-jam sebelum mereka dibenarkan masuk ke dalam bangunan kedutaan.
Di sini mereka akan diperiksa, sebelum dibenarkan masuk ke dalam bilik lain di mana permohonan mereka untuk mendapatkan visa diproses. Masa yang mereka habiskan mungkin sehari suntuk.
Ada orang Palestin yang mahu pulang ke kampung sendiri di sana, terpaksa menunggu di luar kedutaan Israel sejak awal pagi, sebabnya ialah kedutaan rejim kejam ini cuma memproses 150 permohonan visa sahaja walhal beratus-ratus, malah beribu-ribu rakyat Palestin yang mahu ke sana sebab ada urusan keluarga atau peribadi. Tetapi, ini sengaja tidak dibenarkan, dan sejumlah kecil sahaja yang diberi kelulusan setiap hari untuk ke sana .
Pihak kedutaan Israel itdak peduli samada musim sejuk atau panas, mereka tetap menyuruh orang awam menunggu di dalam padang luar kedutaan mereka.
Dan kedutaan Amerika di Amman juga sudah mengikut cara seperti ini, dan tidak benarkan orang awam untuk menunggu di dalam kawasan kedutaan mereka.
Kalau kita lihat di kedutaan Amerika di Kuala Lumpur, suasananya tidak berbeza.
Dan di sempadan Jordan dan Palestin, pegawai keselamatan Israel akan memeriksa setiap orang dengan begitu rapi. Kenderaan mereka akan dipandu ke dalam bilik khas di mana ia akan digeladah untuk memastikan barang merbahaya tidak diseludup oleh mereka.
Ketika waktu malam, Palestin kelihatan begitu aman sekali. Suasana ketika ini menyembunyikan banyak bayangan dan sejarah hitam negara ini, yang telah selama 50 tahun kebelakangan ini memberi penderitaan dan keperitan ke dalam hati dan jiwa setiap insan Palestin, yang kebanyakannya tercampak di negara-neara jiran seperti Jordan, Lebanon, Syria dan Israel.
Walaupun perjalanan dari Bandaraya Amman di Jordan ke Ramallah di Palestin tidak begitu jauh, setakat dua jam setengah, tetapi oleh sebab sekatan di sempadan dan pemeriksan oleh pihak imigresyen Israel yang mengawasi sempadan Palestin.
Seseorang itu terpaksa diperiksa beberapa kali di sempadan, dan barang-barang digeladah dan di X-ray.
Pegawai-pegawai keselamatan kebanyakannya terdiri dari wanita yang agak muda. Mereka jarang senyum, dan bertanya bermacam-macam.
Yang anehnya ialah kita bukan mahu masuk ke wilayah Israel , tetapi Palestin!
Ternyata sekali, pihak rejim Yahudi begitu tegas sekali dengan keselamatan, dan sepanjang jalan terdapat beberapa sekatan di jalan.
Palestin sebenarnya mempunyai harapan cerah untuk menjadi sebuah negara yang maju, sekiranya negara ini mencapai kemerdekaan sepenuhnya, dan tidak separuh seperti sekarang.
Tanahnya subur dan hasil semulajadinya banyak. Tambahan pula raknyatnya berbakat dan kuat bekerja.
Sudah pasti ini semua boleh membantu membangunkan Palestin sebagai sebuah negara yang maju di masa depan. Rakyat Palestin berdebar-debar menunggu ketika negara ini akan diberi kemerdekaan sepenuhnya oleh rejim Yahudi.
Sepatutnya detik sejarah ini sudah dapat dicapai Mei lalu, tetapi terpaksa ditangguh sehingga kini oleh sebab rejim lama Yahudi yang diketuai oleh perdana menteri mereka, Benjamin Netanyahu keras kepala dan enggan membenarkan pihak Palestin membuat pengistirahan tersebut.
Sekarang ura-ura Januari tahun depan, Palestin akan menjadi sebuah negara merdeka. Kita sama-sama tunggu detik sejarah ini.
Jalanraya di Palestin, iaitu di kawasan Tebing Barat kelihatan baik dan bersih. Tidak terdapat sebiji lobang dalam jalan, dan perjalanan menjalajah seluruh negara ini selamat. Kita tidak perlu juga kuatir dengan keselamatan peribadi. Kita cuma mesti pastikan bahawa minyak petrol dalam kereta menukupi oleh sebab stesyen minyak tidak terdapat dengan begitu banyaknya.
Kami sempat melalui beberapa bandaraya utama di Palestin seperti Nablus . Ketika itu waktu sudah malam, dan tidak sempat kami untuk melawatnya dengan tekun.
Selain dari itu kami juga sempat pergi ke Ramallah. Ramallah, terletak 16 kilometer dari Baitulmukaddis. Ia adalah sebuah bandaraya lama seperti bandar-bandara utama lain di negara ini dan merupakan salah sebuah bandar terbesar di negara ini.
Ia kelihatan agak usang sedikit, sebab telah dibiarkan akibat peperangan dan keadaan yang tidak menentu di bawah pemerintah Yahudi sekian lama. Sekarang ini terdapat usaha-usaha untuk membangunkannya, dan banyak bangunan baru sedang didirikan.
Dalam perjalanan dari Ramallah, kami bertiga telah sempat melalui Jericho , yang merupakan sebuah bandaraya tertua di seluruh dunia. Papandanda di pinggir bandar ini menyatakan bahawa bandar ini telah wujud sejak 10,000 tahun, dan ia merupakan bandar tertua seluruh dunia.
Apa yang ketara ialah pihak rejim Yahudi telah merampas banyak kawasan tanah di Palestin dan bangunkan tempat penginapan untuk orang Yahudi. Ia biasanya adalah di tempat-tempat puncak bukit di kawasan yang agak selesa dan subur.
Sementara itu kawasan yang tandus tidak diusik mereka.
Di Baktulkumaddis, kami sempat melawat Mesjid Al-Aqsa atau dikenali dengan nama Al-Quds (Yang Suci) di mana terdapat satu bandar bertembuk yang memuatkan penduduk seramai 70,000 orang terdiri dari berbagai ugama, iaitu Islam, Kristian dan Yahudi.
Rumah berhala Yahudi dan Kristen berdiri berhampiran Mesjid, dan orang mengerjakan sembahyang mengikut jadual sendiri.
Kami cuma pergi ke bahagian Muslim dengan memasukkinya melalui pintu yang dikenali dengan nama Bab al-Amud atau Pintu Damsyik. Terdapat tujuh bab atau pintu yang terletak di sekelilling Bandar Bertembuk (Walled City ) di Baitulmukaddis, dan Bab al-Amud inilah yang tertua.
Di dalam bandar bertembuk ini terdapat rumah kediaman dan bazaar di mana barang-barang dijual. Ia adalah bandaraya yang telah wujud sejak beberapa ratus tahun lama yang masih kekal sehingga kini.
Cuma yang kita rasa sedih sedikit ialah kawasan di bahagian Muslim tidak kelihatan baik, oleh sebab usaha pemulihan tidak dibenarkan oleh pihak Yahudi yang mahu melihat ia hancur, supaya mereka dapat menawannya.
Dan Mesjid Al-Aqsa juga tidak dipulih seperti sediakala, dan dinding serta lantainya kelihatan usang. Di sinilah tempatnya kibat untuk semua Muslimin dan Muslimat suatu ketika dulu sebelum ia ditukar ke Mekkah di Saudi Arabia .
Sepanjang perjalanan balik dari Ramallah kami dapat melihat puncak-puncak bukit di kawasan subur dirampas oleh rejim Yahudi. Dan di sini mereka buka kawasan penempatan untuk orang Yahudi yang baru datang dari luar Israel .
Rumah-rumah mewah didirikan oleh rejim Yahudi dan dijual kepada penduduk Yahudi yang baru datang dari seluruh dunia dan mendapatkan kerakyatan negara Israel, supaya jumlah penduduk Yahudi bertambah dengan pesat, dan jumlah Arab di Israel sendiri dapat dikurangkan.
Sekarang ini terdapat jumlah Arab yang besar menjadi rakyat negara Israel . Ini yang membuat rejim Yahudi ini risau sebab jumlah mereka kian meningkat dan kalau usaha tidak dibuat, kemungkinan di masa depan, penduduk Arab akan menjadi kaum majoriti di negara Israel sendiri.
Maka itulah sebabnya rejim kejam ini menjemput dan membawa masuk orang Yahudi dari seluruh dunia untuk menjadi rakyat baru mereka.
Kami sempat lihat sekumpulan masyarakat Cina dan Jepun yang telah menganut ugama ini dan kini menjadi rakyat negara Israel .
Siapa sangkat tidak berapa lama dulu, sebelum keadaan di benua Timur Tengah ini berubah oleh sebab perjanjian damai Kem David di Amerika, Palestin dan semua negara Arab berperang dengan rejim Yahudi.
Sekarang kawasan ini kelihatan agak tenteram dan aman. Tetapi, disebalik ketenangan dan keamanan itu kita masih dapat rasakan ketegangan dan kekejaman yang masih dirasai oleh kaum Palestin yang telah hidup dalam keadaan tidak menentu ini sejak 50 tahun lalu…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan