Ahad, 11 Oktober 2015

MAZIAH OMAR DAN SUAMINYA BERBAHASA INGGERIS BERNAMA ALAN, DUTA KEBUDAYAAN TIDAK RASMI MALAYSIA DI UNITED KINGDOM…BUAT PERSEMBAHAN DI MALAYSIA OKTOBER DAN NOVEMBER DEPAN.

Oleh Mansor Puteh


Siapa sangka bunyi lunak gamelan boleh berkumandang jauh dari Tanah Air, dengan lelaki dan perempuan para pemuzik asyik mengalunkan muzik irama gamelan…dan terdapat juga sebuah restoran yang menghidangkan pelbagai jenis masakan Melayu tulis – semuanya dua-belas kilometer dari Malaysia.

Kumpulan gamelan Kayu Gangsa dan Restoran Nada Budaya di Bandaraya Nottingham, England atau United Kingdom.

Ramai di Malaysia mungkin tidak kenal dengan nama-nama ini, tetapi ia sudah menempahkan nama mereka jauh dari Tanah Air, di Bandaraya Nottingham di England dimana tidak terdapat masyarakat Melayu dengan jumlah yang banyak kecuali dari kalangan pelajar-pelajar Melayu dan bukan-Melayu lain yang belajar di Universiti Nottingham dan universiti berhampiran dengan Bandaraya Nottingham ini.

Dan orang yang mengusahakannya ialah Maziah Omar bersama suaminya keturunan Inggeris bernama Alan yang boleh dianggap duta kebudayaan Malaysia di Nottingham dan juga England atau United Kingdom.

Saya tidak sangka bila tiba buat kali kedua di Nottingham dalam musim sejuk bulan Mac, 2010 dulu dan mendapat tahu tentang kumpulan gamelan dan restoran ini.

Dan saya sempat juga berkenalan dengan kedua pasangan yang mengusahanya yang menjemput saya dan anak saudara saya, Shahreza Mustafa untuk berdatang ke rumah mereka dengan dihidangkan makanan Melayu.

Nottingham sebuah bandaraya kecil terletak dua jam lebih dari Lapangan Terbang Stansted dimana ketika itu menjadi tempat pendaratan penerbangan AirAsia. Dan dari situ saya dan Shah memandu ke Nottingham untuk acara tayangan dokumentari ‘The Residency Years’ atau ‘Bertahun di Residensi’ kepada pelajar-pelajar Malaysia.

Kami berdua sempat juga melawat Liverpool, Cambridge, Oxford, Luton, Hitchin dan London tetapi terlupa untuk pergi ke Wales yang terletak tidak jauh dari Nottingham.

Segalanya mudah dengan mengguna GPS yang saya bawa dari Malaysia yang tunjuk tempat yang kami mahu pergi dengan tiba di sana dengan cepat dan muda mengambil jalan sampingan melalui kawasan terpencil dan pekan kecil.

Dan kebetulan pula terdapat acara tahunan pelajar-pelajar Malaysia di United Kingdom yang datang ke bandaraya ini dari seluruh pelusuk United Kingdom.

Ada acara sukan. Ada juga acara kesenian seperti teater dan tayangan khas dokumentari saya tentang Tunku Abdul Rahman.

Saya rasa kagum dengan penglibatan Maziah dalam bidang kesenian yang telah mengambil masa begitu lama sejak beliau masih menjadi penari Kumpulan Budaya Negara (KBN) yang berpusat di Kampus Aswara sekarang.

Dan setelah tinggalkan kumpulan ini yang terbubar lama kemudian, Maziah berhijrah ke England dimana beliau tidak teragak-agak untuk membuka sebuah kumpulan gamelan.

Ianya tentu sekali satu cadangan yang agak pelik, sebab yang mahu ditarik terlibat dengan kumpulan ini bukan orang Melayu yang menetap di England atau Nottingham tetapi dari kalangan penduduk tempatan, orang Inggeris, lelaki dan perempuan, tua dan muda.

Jadi kumpulan Kayu Gangsa merupakan satu kumpulan gamelan yang paling unik di United Kingdom maupun dunia.

Disamping itu Maziah juga beri kelas tarian Melayu kepada anak-anak muda Inggeris dan untuk mereka yang lebih dewasa beliau mengguna gerak-geri tarian Melayu kepada orang dewasa sebagai senaman.

Maziah juga beri latihan tentang permainan wayang kulit.

Kumpulan Kayu Gangsa sering membuat persembahan untuk awam termasuk acara Pesta Malaysia di Medan Trafalgar di London dan juga acara semasa Sukan Komanwel di Kuala Lumpur 1998 dahulu.

Persembahan kumpulan ini dalam bulan Oktober dan November depan sudah pasti boleh menarik perhatian awam khususnya dari kalangan Melayu dan juga bukan-Melayu dan pencinta seni.

Apa agaknya mereka akan kata kalau mereka lihat sekumpulan pemuzik gamelan keturunan Inggeris yang memakai pakaian tradisional lengkap Melayu mendendangkan lagu-lagu gamelan, yang kebanyakan mereka tidak ada sebarang kepakaran untuk bermain?

Lebih-lebih lagi dikalangan anak muda Melayu yang begitu asyik dengan lagu pop dan rap barat mereka yang sudahpun tidak kenal dengan lagu jenis gamelan yang dimainkan oleh orang putih dan dari England?

Saya juga harap DBKL akan jemput mereka untuk buat persembahan di Dataran Merdeka dan juga di RTM untuk lebih ramai orang menyaksi persembahan mereka.

Sebabnya ialah mereka jarang sekali buat persembahan di Malaysia dan kali terakhir mereka datang ke Malaysia buat persembahan ialah dua tahun lalu.

Kumpulan ini mesti diberi sokongan oleh kerajaan supaya ia boleh berkembang dengan cabang ditubuh di bandaraya utama diseluruh United Kingdom untuk menarik minat anak-muda Inggeris dalam tarian dan muzik traditional Melayu.

Dan ada juga baiknya kalau Kementerian Kebudayaan lantik kumpulan ini menjadi duta kebudayaan bukan sahaja di United Kingdom tetapi di seluruh dunia dan hantar mereka buat persembahan di seluruh dunia untuk memberi sesuatu kelainan kepada mereka yang akan rasa kagum dan hairan tentang adanya sebuah kumpulan gamelan sedemikian rupa yang tidak terdapat di tempat lain.

Dan sudah tiba masanya juga untuk kerajaan beri sedikit penghargaan kepada Maziah dan Alan kerana telah menunjukkan kegigihan mereka untuk membawa kebudayaan Malaysia di United Kingdom selama ini.

Dan untuk mereka yang berminat tonton persembahan mereka, di bawah adalah jadual kumpulan ini untuk bulan Oktober dan November depan.

Dan saya juga harap akan dapat peluang untuk merakam kegiatan mereka untuk terbit sebuah dokumentari khas tentang kumpulan ini, dengan meliputi kegiatan mereka di Nottingham dan di Malaysia selama mereka berada di sini kelak.

Ianya sudah pasti akan menjadi sebuah dokumentari yang lain dari yang lain; tentang sebuah kumpulan tradisional Melayu yang berada jauh dari perantauan.

* * * * * * *

Kumpulan Gamelan Kayu Gangsa seramai sepuluh anggota diketuai oleh Maziah sendiri akan datang ke Malaysia dari 22 Oktober hingga 9 November depan dalam rangka persembahan atas jemputan kerajaan Negeri Terengganu dan Muzium Terengganu, juga untuk menyertai Pesta Gamelan Sedunia Terengganu dari 24 hingga 26 Oktober.

Dan kumpulan ini akan mengadakan bengkel di Universiti Malaysia Perak (UniMAP) di Teronoh, Perak dan juga di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjong Malim, Perak sebelum ke Kuala Lumpur dari 3 hingga 9 November dimana mereka akan buat persembahan di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Adalah juga bagus kalau kumpulan ini dapat dijemput untuk mengadakan persembahan khas di Dataran Merdeka dengan kerjasama DBKL dan juga di RTM kelak sebab ia merupakan sesuatu yang agak ganjil dan pelik melihat sekumpulan pemuzik gamelan terdiri dari orang Inggeris yang berpakaian tradisional Melayu begitu asyik memberi persembahan tradisional Melayu Nusantara yang kini sudah kurang dipersembahkan kepada khalayak ramai.


. .


Tiada ulasan: