Khamis, 16 Jun 2011

UBUD KOTA TUMPUAN SENIMAN.

…MENGENANG PENGELAMAN PERTAMA KALI KE PEKAN INI.
Oleh Mansor Puteh



(Nota: Rencana ini ditulis selepas lawatan saya ke Ubud, Bali dalam bulan Mei, 1974 dan disiar dalam Mingguan Malaysia dalam tahun 1976. Saya telah pergi ke sana buat pertama kali. Saya terbang dari Kuala Lumpur ke Jakarta dan ambil jalan darat melalui semua bandar besar di Pulau Jawa. Saya telah kembali ke Bali beberapa kali selepas itu untuk bertemu dengan rakan-rakan di sana dan perubahan yang telah berlaku kepada Ubud dan semua tempat di Pulau Bali, khususnya Kuta yang kini rancak berbanding dengan dulunya bila ia cuma sebuah pantai yang agak lenggang.)

Ubud terletak kira-kira dua-puluh-enam kilometer dari Denpasar di Putau Bali. Kenderaan yang membawa kami menjelajah melalui batas-batas padi menguning di kiri dan kanan jalan raya.

Perjalanan dengan kenderaan, bemo mengambil masa lebih, kurang empat-puluh minit untuk tiba di sana.

Sebenarnya Kota Ubud kurang diketahui orang, terutama sekali para pe­lancong kelas pertama, yang tiba di Lapangan terbang Ngurah Rai.

Di Pulau Bali, selain dari Denpasar, Ibutkota Bali, pelancong lebih suka tumpukan perhatian ke Pantai Sanur dan Kuta dan tempat-tempat lain seperti Sangeh dan Tampaksiring yang mempunyai banyak kuil-kuil Hindu-Bali.

Suasana di Kota Ubud memang enak dan ketenangan yang didapati di sana paling sesuai bagi sesiapa yang inginkan ketenangan jiwa. Tidak dapat diduga lagi, ia adalah juga tempat himpunan para seniman, pelukis, penulis dan lain-lain.     

Pelancong-pelancong yang bertumpu di kota ini kebanyakan dari barat dan biasanya mereka tiba di Ubud bukan dengan pakaian kot dan tali leher atupun bas pelancongan tetapi dengan kemeja-tee dan seluar jeans yang telah usur. Biasanya mereka berada di Ubud berbulan-bulan lamanya, sehingakan mereka boleh bertutur dalam Bahasa Melayu. Ini tentu mengakagumkan.

Di sana pelawat-pelawat (mereka lebih senang jika dipanggil pelawat dari pelancong) bebas bergaul dengan penduduk-penduduk sekitar hinggakan kemesraan wujud dalam sekejap masa.

Mereka makan apa saja makanan orang-orang Bali dan mereka tidak kekok-kekok menginap di losmen-losmen (tempat kediaman murah sewanya) yang banyak didirikan untuk menampung kedatangan pelancong yang semakin ramai itu.

Pelancong yang mendarat dan berangkat dari Lapangan terbang Ngurah Rai juga tiba di Ubud tapi dengan bas pelancongan yang hanya sempat melalui kota kecil itu dan hilang dalam debu dan abuk dengan sekelip mata sahaja.

Margaret, dua-puluh-lima tahun berasal dari England. Dia berada di Ubud selamat tiga bulan tahun 1975 ini, tapi sebelum itu semacam kewajipan dia mesti duduk di Bali selama enam bulan. Hal ini diamalkannya tiga tahun berturut-turut.

Baginya, Ubud adalah rumah kedua baginya dan dia lebih senang lagi di sini dari di London, Paris, New York atau kotaraya-kotaraya dunia yang sibuk dan hiruk-piruk itu.

‘Saya lebih aman tinggal di Ubud,’ kata Margaret dalam Bahasa Indonesia yang telah dipelajarinya selama berada di Bali.

Bagaimanapun pelancong-pelancong Barat lain membiayai diri mereka berbulan-bulan tinggal di Ubud.

‘Mudah saja,’ kata Margaret. ‘Saya bekerja enam bulan di negeri saya sendiri dan kumpul seberapa banuyak wang yang dapat dan dengan wang itulah saya baiyai kehidupan saya di Bali.’

Seorang pelawat lelaki berasal dari Negeri Jerman mula tiba di Pulau Bali, singgah ke Pantai Kuta yang selalu didengar dan diidamkan itu. Pemandangan di sekitar pantai itu sungguh memeranjatkan.

‘Saya fikir saya sedang berada di Pantai Riviera,’ ujarnya terpingga-pingga. ‘Sebab Kuta bukan lagi Kuta; ia telah berubah teruk sungguh!’

Hatinya mulai tawar dan keciwa datang ke Bali. Akan tetapi dia disuruh ke Ubud. Siapa sangka dia terus jatuh cinta, bukan sahaja dengan ketenteraman dan kedaiaman suasna di Ubud, bahkan dia telah tertawan akan kejelitan dan kemanisan seorang gadis Bali. Namanya ialah Nurdiana. Jelaslah jodoh sedang menunggu di situ.

Jarang sekali kita bertemu dengan gadis-gadis jelita di Ubud maupun di Bali seluruhnya. Yang kita selalu bertembung hanya dengan gadis-gadis comot yang berkarat kakinya.

Rupanya gadis ayu Bali lebih banyak menyorokkan diri mereka dan jarang-jarang keluar dari kawasan rumah mereka yang berpagarkan tanah liat itu.

Mereka menolong menguruskan rumah tangga dan keluar apabila ada pesta atau keramaian. Mujur di Bali ada banyak pesta dalam setahun; kalau tidak, seorang pelancong atau pelawat itu kempunanlah hendak bersua dengan gadis-­gadis ayu itu, sehingga sele­sai enam bulan mereka berada di situ. Buat pemuda Jerman itu dia sungguh bertuah dan dia tidak lengah-lengah dan terus berkahwin  dengan gadis Ubud itu dan terus menetap di sana. Tamatlah riwayatnya di sana.

Ganjlnya Kota Ubud dari kota-kota lain di Pulau Bali ialah tentang pekerjaan penduduk di kota itu. Boleh dikatakan kebanyakannya adalah pelukis, pengukir ataupun ahli muzik. Dan muzik di sini bukanlah muzik moden yang selalu kita dengar dari kaset, tapi muzik gamelan, sayup-sayup mengusi jiwa.

Ada berpuluh-puluh balai seni lukis persendirian di sekelilling Kota Ubud. Biasanya balai-balai itu dikendalikan oleh melukis itu sendiri, juga sebagai kedai menjual hasil karya mereka.

Pelukis-pelukis bukan sahaja berasal dari Ubud atau Bali seluruhnya, tapi dari pulau-pulau Indonesia. Bahkan ada sebuah balai yang dijadikan muzium seni lukis yang dijalankan oleh seorang berbangsa Eropah yang kini terus menetap di situ.

Pelukis-pelukis muda seperti Sihong, Zainul dan Slamet bukan berasal dari Bali, tetapi merupakan bekas penuntut dari sebuah sekolah seni lukis di Solo (Bengawan Solo mengalir di kota ini). Mereka menyewa sebuah rumah dan membuat studio luisan, tempat tidur dan juga tempat masak di dalamnya.

Selama hampir setahun berhijrah, mereka hidup atas hasil lukisan mereka sahaja dan mereka boleh dikatakan sebagai betul-betul profesional dalam bidang ini.

Ubud sebagai kota seniman dan pelukis bukan sekarang sahaja; sejak dulu lagi Ubud terkenal seluruh Bali kota seniman. Sama juga dengan kota Celuk yang terkenal dengan barang-barang seperti cincin, gelang tangan, rantai leher dan lain-lain yang diperbuat dari perak khasnya.

Seorang pelukis Indonesia yang lebih terkenal di luar negaranya, Zainal Abidin, empat puluh, yang pernah melanjutkan pelajarannya di luar negeri selama tiga tahun juga ‘membuat sarang’ di situ.

Hidup dia lebih mewah dari pelukis-pelukis yang meningkat naik. Dia tinggal seorang di dalam rumah dua tingkat. Tempat tinggalnya boleh disamakan dengan balai seni lukis.

Pelukis-pelukis yang hidup membujang itu melukis sahaja kerjanya, dan kadang-kadang membuat ukiran dan kerajinan tangan lain jikalau ada tempahan dari pelanggannya. Dia juga mengenakan harga yang paling tinggi yang terdapat di seluruh Ubud.

‘Saya pernah membuat luisan untuk bekas Presiden Sukarno, orang-orang kenamaan di seluruh Indonesia,’ kata Zainal. Dan juga banyak lukisan-lukisan seta ukiran lain sedang disimpan di rumah-rumah hartawan di Itali sendiri, di mana saya menuntut selama tiga tahun dulu.’

Selain dari kegiatan lukisan dan kerajinan tangan, Ubud senantiasa dilanda dengan pesta-pesta yang selalunya dilangsungkan pada sebelah malamnya. Sebuah pesta itu sering mengambil dua belas malam berturut-turut.Pada tiap-tiap malam penonton dari ubud dan juga pelawat asing disajikan dengan tarian dan muzik gamelan.

Tarian ketchak, joget bali, dan tarian Ramayana (Ramayana Ballet) sungguh mempersonakan.

Faktor-faktor inilah yang membuat Ubud tempat yang menarik perhatian para pelancong untuk tinggl berbulan-bulan di situ.

But saya, jelas saya hanya sanggup duduk di sana selama sepuluh hari sahaja, sebab saya takut kalau saya duduk lebih sehari lagi manalah tahu, kalau hati saya berubah dan tidak mahu pulang ke negeri sendiri.

Ubud sungguh menarik. Anda harus ke sana jika ada peluang, untuk melihat dengan mata kepala sendiri; betulkah kedaannya seperti yang saya gambarkan.


Tiada ulasan: