Ahad, 20 Mei 2012

KALAU INSTITUSI KEWANGAN BOLEH DIGABUNGKAN KENAPA TIDAK PERSATUAN PERFILEMAN DAN MUSIK?

Oleh Mansor Puteh





Beberapa hari lalu ada sekumpulan aktivis filem dan hiburan telah bergabung untuk mencadangkan penubuhan sebuah persatuan dengan nama Persatuan Karyawan Malaysia (PKM). Bertempat di Istana Budaya, ramai aktivis datang untuk memberi pendapat.
          Sebenarnya persatuan yang mahu mengabungkan semua persatuan filem, musik dan hiburan adalah amat perlu sekarang.
          Dan kalau presiden persatuan-persatuan lain rasa terkilan saya percaya ini disebabkan kelemahan mereka sendiri untuk tidak berjaya mentadbirkan persatuan mereka.
          Sekarang ini terdapat bermacam-macam jenis persatuan, tetapi yang sedihnya ialah tidak sebuah persatuanpun yang boleh dikatakan giat.
          Dan yang ironinya ialah kalaupun terdapat keahlian dalam mana-mana persatuan termasuk Seniman, Persatuan Produser Filem Malaysia dan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (Fdam) dan lain-lain ini adalah disebabka mereka dipaksa.
          Finas telah memaksa karyawan filem yang mahu giat supaya berdaftar sebagai ahli. Dan kalau peraturan ini tidak dikuatkuasakan, saya tidak percaya seorangpun yang berminat menjadi ahli mana-mana persatuan.
          Dan produser cuma masuk dalam PPFM semata-mata supaya filem mereka dapat ditayang di bawah skim wajib tayang yang memberi pulangan kepada cukai hiburan.
          Atau mereka mahu supaya layak bertanding dalam Pesta Filem Malaysia dan Pesta Filem Asia-Pasifik sahaja, dan sekaligus dapat mengheboh-hebohkan status mereka sebagai produser yang diiktiraf oleh Finas dan persatuan.
          Malah kalau kita lihat, kesemua mereka yang giat dalam persatuan PPFM ini merupakan produser yang sudah boleh dikatakan pencen dari menerbit filem khususnya Kamarul Ariffin dan Jins Shamsuddin. Tetapi, mereka bergiat dalam persatuan ini seperti mereka menerbit dua-tiga filem setahun.
          Sepatutnya mereka berdua ini tidak boleh bertanding dalam jawatan, sebab mereka bukan lagi produser.
          Dan Fdam juga bukanlah persauan yang boleh dikatakan giat juga, termasuk Persatuan Karyawan Filem Malaysia (PKFM) yang mempunyai keahlian terbanyak dikalangan persatuan yang ada.
          Saya syorkan semua persatuan ini disatukan supaya dapat ditubuhkan satu persatuan iduk seperti PKM yang dicadangkan itu.  Sebabnya kalau semua mereka yang terlibat dalam perusahaan hiburan dapat digabungkan, maka persatuan ini boleh menjalankan aktiviti dengan lebih berkesan, dan pemimpinnya boleh didatangkan dari pakar-pakar dan tidak dikalangan mereka yang ghairah bertanding untuk mendapat jawatan, tetapi tidak tahu mentadbirkan persatuan dan mengemukakan cadangan bernas untuk memajukan perusahaan filem.
          PPFM dan Seniman dan lain-lain persatuan perfileman cuma hidup bila pesta filem Malaysia dan Asia-Pasifik dianjurkan, dan mereka akan terkubur sebelum dan selepas itu.
          Kalau mereka mahu menganggap persatuan mereka berjaya, saya nak tanyakan kepada mereka, kenapa pula perusahaan filem meleset?  Tidakkah mereka juga yang boleh dipersalahkan kalau perusahaan filem kita meleset?
          Kalau perusahaan kewangan yang berjumlah lima-puluh-lapan yang kukuh, boleh digabungkan, kenapa pula persatuan perfileman dan hiburan yang tidak kukuh itu tidak?
          Sudah tiba masana semua persatuan bergabung di bawah PKM supaya ahli dapat ditambahkan, dan kalau boleh pejabat rasmi diadakan dan pegawai berkenaan didatangkan dari kalangan peguam dan akauntan dan sebagainya, dan tidak lagi dikalangan aktivis filem dan muzik, yang mana mempunyai kepentingan sendiri.
          Sebab PPFM sudah pasti tidak pedulikan masalah ahli biasa dan cuma tahu jaga kepentingan diri sendiri.  Sehingga ini saya tidak pernah melihat presiden PPFM turun ke padang dan minta pendapat ahli atau cuba menjaga kepentingan ahli.
          Malah ada filem Melayu yang telah dipilih ke pesta filem antarabangsa, tetapi presidennya tidak membenarkan Finas menghantarnya?
          Akhir sekali, sudah tiba masanya semua persatuan filem dan musik yang ada lihat kebelakang dan nilai prestasi sendiri.  Kalau mereka tidak beran berbuat demikian, saya syorkan supaya mereka anjorkan forum dan jemput pakar menilai prestasi mereka.
          Dan dalam konteks ini saya mahu cabar Finas supaya menjemput pakar untuk menilai prestasi Finas selama Finas ditubuhkan. Beranikah wahai presiden persatuan dan Finas?

Tiada ulasan: