Oleh Mansor Puteh
Ini sebenarnya kali kedua saya pulang ke kampus. Yang pertama dulu ialah dalam tahun 1990 setelah lapan tahun saya tinggalkanya dan kali terakhir ialah dalam bulan April lalu, semasa saya pergi ke Amerika untuk menyertai pesta filem di St Paul/Minneapolis di Mennesota dan Taos, di New Mexico untuk menayang filem saya di situ dengan menaiki bas Greyhound supaya dapat melihat negara ini dengan lebih dekat dan jelas.
Bas Greyhound melalui jalanraya yang membawa penumpang ke seluruh pelusuk Amerika dan berhenti di stesyen-stesyen di pekan dan bandar penting. Inilah cara yang paling baik sekali untuk seseorang itu melihat Amerika dengan dekat dan jelas.
Dan saya juga ambil kesempatan untuk membuat lawatan sampingan ke tempat-tempat yang pernah saya tinggal dahulu seperti di Astoria, Queens dan seluruh New York, termasuk Boston di utara bandaraya ini.
Tempat pertama yang saya sering kunjung apabila saya sampai ke kampus lama saya ialah di Dodge Hall, di mana terletaknya ‘School of the Arts’ (Sekolah Kesenian Halus) di mana terdapat enam jenis sekolah yang bersangkut-paut dengan kesenian termasuk perfileman, penulisan, senitari, seni muzik, senilukis dan sebagainya.
Di sinilah di mana saya dan rakan-rakan lain datang awal pagi hingga lewat malam untuk menuntut selama saya berada di kampus.
Untuk menukar selera saya ambil kursus piano untuk tiga semester di jabatan muzik, walaupun pada asalnya saya mahu ambil kursus psikologi di jabatan psikologi. Tetapi, oleh sebab keperluan masa untuk membuat pengajian dan kertas kerja yang banyak, saya terpaksa lupakan hasrat untuk mengambil kursus ‘elektif’ di jabatan psikologi.
Seberang jalan dari sekolah ini ialah Sekolah Kewartawanan (School of Journalism ). Sekolah inilah yang memberi Anugerh Pulitzer atau Pulitzer’s Prize untuk bidang kewartawanan pada setiap tahun.
Tempat kedua yang saya selalu pergi ialah Earl Hall yang terletak tidak jauh dari Dodge Hall. Di sini ditempatkan pejabat persatuan penuntut universiti untuk semua ugama. Bersebelahan pejabat Persatuan Penuntut Islam di universiti ini ialah persatuan penuntut Yahudi.
Di sini kita sering dapat melihat tupai berlari-lari di atas rumput. Walaupun kampus ini terletak di tengah-tengah Bandaraya New York , tetapi masih terdapat binatang seperti itu hidup dengan selamat.
Penuntut berugama Islam akan datang ke Earl Hall untuk bersembahyang Jumaat secara berjemaah atau berbincang dengan ahli persatuan lain. Imam untuk sembahyang jumaat sering bertukar-tukar.
Acara keugamaan lain seperti menyambut Hari Raya Puasa dan Haji juga diadakan di sini.
Semasa saya menuntut dulu, Internet belum lagi digunakan; malah ia tidak disebut oleh sesiapa lagi. Di kampus saya tidak pernah melihat sebuah komputer digunakan.
Tetapi, sekarang ini kita boleh lihat komputer diletakkan di mana-mana. Dan yang lebih menarik sekali ialah penuntut boleh mengguna komputer untuk melayar Internet secara percuma.
Saya juga sempat membuka e-mel saya di Earl Hall dan membalas e-mel yang datang dari seluruh dunia setelah lama tidak dapat melayar Internet sambil membaca berita dari negara.
Yang menghairankan ialah di Amerika ini sukar sekali untuk seseorang itu mencari kedai-siber atau ‘cybercafe’ seperti yang banyak didapati di bandar-bandar di negara kita.
Ini mungkin disebabkan hampir semua rumah mempunyai komputer dan mereka tidak perlu untuk menyewanya di kedai-kedai seperti itu. Jadi pengusaha tidak rasa ada permintaan terhadapnya. Puas saya mencari kedai-kedai seperti itu, sebab sudah lebih seminggu saya tidak membaca e-mel.
Setiap kali saya berada di kampus lama saya terkenang peristiwa-peristiwa pahit dan manis yang dialami selama saya menuntut di situ.
Entah kenapa; tapi saya akan senantiasa pergi ke semua kedai dan tempat-tempat yang pernah saya kunjungi dahulu, dan duduk di situ sambil mengenang peristiwa lama.
Yang menghairankan ialah apabila berada di situ, saya terasa seperti masih menuntut, dan masa langsung tidak bergerak.
Kadang-kadangkala saya rasa seperti mahu pulang semula ke zaman silam dan cuba sekali menuntut di situ. Kalaulah ini boleh dilakukan, saya percaya banyak perkara akan berubah. Sudah pasti saya akan menghabiskan masa dengan lebih cermat dan bergaul dengan lebih rapat dengan rakan-rakan yang saya tidak kenal secara dekat ketika itu.
Sayang sekali, masa tidak boleh diputar kembali; ia telah berlaku. Dan yang tinggal cuma kenangan sahaja.
Setiap kali saya ke kampus lama saya, saya terkenang dengan Hilary yang telah menjaga saya sewaktu saya terlantar di hospital. Gadis Yahudi-Amerika ini berhati mulia; hampir setiap hari datang menjenggok saya di Hospital Sloan-Kettering dan St. Luke dan membawa berita dan maklumat untuk menghihurkan saya. Dia adalah penuntut di sekolah filem yang mempunyai pengkhususan penulisan skrip.
Saya tidak tahu apa dah berlaku kepada skrip tesisnya berjudul, ‘Fern’ samada ia sudah diterbitkan atau tidak. Mungkin dia sudah tukar nama dan guna nama pena, atau judul itu ditukarkan mengikut selera pengarah dan penerbit.
Saya juga terkenang pensyarah-pensyarah dan penuntut-penuntut satu darjah lain, yang ini sudah hilang entah ke mana.
Dan saya teringat peristiwa saya dan rakan-rakan Melayu lain semasa di Boston pergi ke kebun buah epal. Seseorang dikenakan bayaran US$5 dan dia boleh bawa pulang satu bakul buah epal. Ini tidak termasuk epal yang dia boleh makan di situ.
Saya tidak tahu beberapa rakan saya yang sudah berjaya sebagai pengkarya filem di Hollywood . Dan yang lain-lain itu, mungkin menjadi pensyarah atau eksekutif di studio dan syarikat perfileman di Amerika.
Sebenarnya jumlah penuntut di sekolah filem saya tidak begitu besar; ramai pula terdiri dari penuntut dari luar Amerika seperti saya.
Mungkin satu hari nanti, saya harap akan dapat bertemu mereka.
Siapa sangka bekas presiden Amerika Dwight Eisenhower pernah menjadi presiden universiti ini dalam dekad 1940an dahulu, sebelum dia bersara dan bertanding sebagai presiden dalam tahun 1952.
Pengarah filem seram terkenal, Alfred Hitchcock juga pernah mendapat ijazah kedoktoran kehormat bidang kesenian dari universiti ini awal dekad 1970an dulu.
Atau dalam dekad 1940an dulu pakar sains atau saintis nuklear dari universiti ini telah berjaya membuat penyelidikan tentang kuasa nuklear sehingga Amerika berjaya meletupkan bom Atomnya yang pertama.
Dalam tahun 1968 penuntut-penuntut berdemonstrasi dan rampas pejabat pentadbiran. Mereka bertindak demikian untuk menentang penglibatan Amerika dalam peperangan di Vietnam .
Inilah pertama kali penuntut-penuntut dan orang awam telah berbuat demikian. Selepas itu gerakan menentang peperangan Vietnam tercetus di banyak kampus yang akhir telah menyebabkan kerajaan Amerika menukar sikap mereka terhadap peperangan di Vietnam yang telah mengakibatkan kematian berpuluh ribu anak muda Amerika.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan