Jumaat, 1 Ogos 2014

SEHARI DI HOLLYWOOD… DAN BAGAIMANA WATAK ARAB JADI WIRA DALAM FILEM TERBITAN ERA FILEM BISU DI AMERIKA.

Oleh Mansor Puteh



Dua-puluh dolar Amerika dan dua jam… Itu sahajalah harga tiket dan masa perjalanan yang didapati untuk mengenali Hollywood dengan lebih dekat, melalui seluk-beluk sejarahnya yang kini dapat dilihat dengan begitu megah dan berjaya dari bangunan kediaman pelakon dan pengarah filem terkenal yang berjaya dilahirkan oleh Hollywood – yang dikatakan pusat penerbitan filem paling utama di Amerika – atau pusat propaganda Amerika yang paling kejam, kata orang lain. 

Tetapi pusat awal penerbitan filem di Amerika sebenarnya terletak jauh di Pantai Timur negara Amerika – di Bandaraya New York.

Di sinilah dimana terciptanya ribuan filem-filem bisu, yang dipanggil ‘canned theater’ atau ‘rakaman teater’.

Ini disebabkan Bandaraya New York merupakan pusat penerbitan drama pentas atau teater yang terulung di Amerika, dan di sinilah juga bermula bidang penerbitan filem yang mengguna pelakon, penulis skrip serta pengarahnya.

Diantara filem-filem era biru yang terkenal ialah ‘The Sheik’ diikuti dengan ‘The Son of Sheik’.

Kedua-dua filem ini dibintangi oleh Rudolf Valentino, keturunan Itali yang memain watak seorang sheikh Arab. Dan kisahnya adalah tentang masyarakat Arab di padang pasir.

Ya, ketika itu, perusahaan filem di Amerika memprofil watak Arab sebagai wira dan tokoh utama.

Jadi tidak hairanlah apabila Rudolf Valentino meninggal dunia dalam usia yang muda, wanita-wanita di Amerika meratap pemergiannya.

Namun, selepas Peperangan Dunia Kedua, sikap banyak penerbit filem di Amerika yang kini dipindah ke Hollywood bertukar, sehinggakan watak Arab tidak dipandang dan dianggap sebagai utama dan penting.

Jadi pusat penerbitan filem di Amerika bermula di Bandaraya New York oleh sebab ia adalah pusat teater, yang mana menyediakan petugas dan bakat yang diperlukan oleh penerbit dan syarikat filem ketika itu.

Bagaimanapun, faktor cuaca yang telah menyebabkan pusat penerbitan filem di Amerika berpindah ke Hollywood yang menyediakan suasana yang lebih nyaman dengan sinaran matahari yang boleh didapati sepanjang tahun dengan cuaca semasa musim sejuk tidak begitu tinggi dan tidak ada dilanda dengan salji.

Saya mengikuti rombongan dua jam April dulu bersama sekumpulan pelancong dari luar Amerika yang rata-rata tidak faseh berbahasa Inggeris atau tahu-menahu dengan sejarah Hollywood.

Lawatan membawa pengunjung mengelillingi sebuah kawasan yang dianggap utama di Hollywood dimana terdapat puluhan rumah kediaman pelakon, pengarah dan penerbit utama di Hollywood termasuk penghibur dalam bidang nyanyian dan hiburan.

Rumah sewa yang disewa oleh Michael Jackson terletak di Carolwood Drive kini sunyi.

Di hadapan kelihatan tingkap bilik utama rumah ini yang tersorok dengan pokok-pokok, dan di dalam bilik inilah dimana Michael didapati mati pada 25 Jun, 2009 atau lebih lima tahun dahulu dan tidak ada berita tentang apa yang akan dilakukan kepada rumah ini atau rumah asalnya ‘Neverland’.

Sebenarnya Bandaraya Hollywood begitu kecil dan tidak pula mempunyai banyak bangunan pencakar langit dengan yang tertinggi bangunan Capitol Records setinggi tiga-belas tingkat.

Di Hollywood Boulevard terletak bangunan Dolby Theatre yang dulunya dikenali dengan nama Kodak Theatre dibuka dalam tahun 2001; dan disinilah dimana diadakan Malam Anugerah Oscar pada setiap bulan Mac.

Sebenarnya bangunan ini tidak begitu tersergam, terletak dicelah-celah bangunan lain dengan di kiri bangunan Mann’s Theatre.

Ia kelihatan seperti Jalan Chow Kit di Kuala Lumpur dan tidak kelihatan begitu gagah berbanding dengan gambarnya semasa dirakam semasa Malam Anugerah Oscar apabila ia dipancar dengan cahaya terang dan di hadapannya dibentang permaidani merah untuk menjemput ratusan malah ribuan pelakon dan pekerja filem di Hollywood dengan sebilangan kecil yang dicalon untuk menang Oscar.

Semasa saya berada di situ keadaan sunyi. Terdapat ramai pelawat dari luar Amerika yang berlegar-legar di luar dan di dalamnya sambil mengambil gambar sendiri dan dengan rakan-rakan.

Mereka juga tidak bernasib baik pada hari itu sebab tidak ada sebarang bayang mana-mana tokoh terkemuka Hollywood yang kebetulan berada di situ.

Ya, mereka kadang-kadang ada berlegar-legar di situ untuk urusan peribadi, dan apabila ini berlaku sudah pasti semua tumpuan orang yang berada di situ akan mengalih kearahnya, dengan sekumpulan jurugambar dari media mengkerumuni mereka.

Suasana di Rodeo Drive juga sunyi. Jalan ini pula tidak begitu lebar atau panjang, tetapi kadar sewa kedai di sini begitu tinggi. Dan di sini kadang-kadang tokoh Hollywood berlegar-legar untuk membeli pakaian berjenama.

Di sini terdapat kedai pakaian berjenama utama di dunia, dengan tumpuan kepada House of Bijan yang menjahit pakaian yang mahal untuk mereka yang mampu.

Kereta Bugati tuanpunya kedai keturunan Iran itu terletak di hadapan kedainya, yang kini ditadbir oleh anak-anaknya.

Mereka juga tidak bernasib baik pada hari itu sebab tidak ada sebarang bayang mana-mana tokoh terkemuka Hollywood yang kebetulan berada di situ.

Terdapat beberapa orang tempatan yang memakai mekap dan pakaian mirip Michael Jackson dan Marilyn Monroe atau pelakon dan penghibur utama di Amerika.

Ramai yang asyik melihat nama-nama pada bintang pada Hollywood Walk of Fame yang diletakkan di atas kaki-lima untuk mengenal siapa mereka. Ada diantaranya terdiri dari barisan bintang filem dan bidang hiburan lama yang sudah tiada. Tetapi bintang untuk mereka yang masih hidup dan bertenaga.

Mereka tidak berfikir dua kali untuk meletakkan nama-nama barisan penghiburan mereka di kaki-lima untuk dipijak oleh orang awam.

Dan pada hari saya melawatinya, ia kelihatan sunyi. Terdapat ramai pelancong asing yang berlegar-legar di luar dan juga di dalam dimana diadakan lawatan berbayar untuk sesiapa yang berminat untuk masuk ke dalam dewan dimana Malam Oscar diadakan.

Ada juga beberapa pekerja dari Bangladesh di beberapa kedai yang saya pergi untuk beli minuman ringan.

Saya tidak ambil peluang untuk masuk ke dalam dewan ini; saya mahu tunggu sehingga dapat jemputan untuk menghadiri Malam Oscar satu hari kelak.

Seorang rakan sedarjah di sekolah filem saya pernah mendapat pencalonan Oscar untuk lakonlayar terbaik iaitu Ron Nyswaner untuk filem ‘Philadelphia’ dalam tahun 1993.

Sayapun sudah lama tidak bertemu dengan dia. Kali terakhir sekali ialah apabila saya balik ke kampus dan terlihat dia sedang duduk sambil makan di luar Bangunan Dodge dimana pengajian filem terletak.

Tetapi saya tidak perasaankan dia dan tidak bercakap banyak dengan dia juga.

Setelah lama dia pergi dari situ, baru saya teringat yang dia adalah rakan baik saya.

Mungkin Ron tidak kenal siapa saya; kalau tidak dia juga akan menyapa saya.

Saya juga sudah banyak berubah sama seperti dia, seorang penulis terkenal di Hollywood.

Dulu saya memakai dua tongkat selepas menjalani pembedahan pada lutut kiri. Kini saya tidak lagi memakainya.

Alangkah bagus kalau saya dapat berbual-bual dengan dia semula setelah begitu lama berpisah dari sama-sama kami belajar di Columbia dulu?


Dia sahajalah pelajar dan rakan saya di sekolah filem yang kini aktif menerbit filem di Hollywood sekarang, walaupun jenis filem yang dia tulis dan juga arah serta terbit tidak mendapat pengedaran luas di seluruh dunia termasuk ditayang dipawagam di Malaysia. 

Tiada ulasan: