Isnin, 1 Disember 2014

HOLLYWOOD TENTERAMKAN RAKYAT AMERIKA; FILEM MELAYU KINI MEMBUAT MELAYU KELIRU DAN BENCI SESAMA SENDIRI DAN INSTITUSI UTAMA MELAYU

…IA ADALAH ‘FAKE HOLLYWOOD
ATAU ‘HOLLYWOOD TIRUAN’ DENGAN FILEM-FILEM SEKARANG
DIBUAT OLEH ORANG YANG TIDAK ADA LATARBELAKANG
FORMAL DALAM BIDANG PENERBITAN FILEM.
Oleh Mansor Puteh


Kenapa rakyat Amerika yang terdiri dari berbilang kaum tenteram; mereka tidak tertekan dengan paksaan yang dibuat oleh segelintir orang yang suka mencari pasal? Mereka ada pendapat mereka sendiri dan mereka juga tahu hak mereka dan lebih dari itu, mereka tidak mudah diheret untuk ikut percaya dengan temberang orang lain yang suka mencari pasal dengan orang lain di jalanan dan di mana-mana ruang sempit yang dicipta mereka untuk berpidato sepanjang hari dan malam.

Dan kenapa rakyat di Malaysia yang terdiri dari tiga sahaja kaum utama tetapi mereka gemar ikut telunjuk segelintir orang yang semua kenal sebagai pengacau yang tidak ada cara lain untuk tarik perhatian dari menempek bawa isiu dan perbalahan yang sudah lama lapuk?

Sedangkan kaum asli di Sabah dan Sarawak, tidak terperangkap dengan umpan dan janji-janji manis dan kosong mereka berbanding dengan segelintir kaum Cina yang menetap di bandar-bandar besar di kedua negeri di Timur Malaysia yang gemar ikut aliran kiri untuk menegaskan sokongan mereka.

Malaysia bercelaru bukan olehsebab sesiapa; ia adalah olehsebab pihak tertentu telah lama gagal melihat apa yang telah dilakukan di Singapura apabila mereka menubuhkan Sinema Melayu Lama yang beri peluang ramai orang berbilang kaum bersatu, menonton filem sama yang menekan perkara sama yang mereka semua boleh rasakan.

Ketika itu sehinggalah runtuhnya Sinema Melayu Lama berpusat di Jalan Ampas, Singapura tenang. Malah Tanah Melayu juga tenang.

Ketenangan yang dirasakan oleh kaum pendatang ketika itu, terdiri dari Cina dan India juga tenang buat kerja seharian mereka tanpa mereka perlu dibebankan oleh segelintir orang Cina dan India lain yang hanya tahu mencari pasal dengan mereka.

Malah ketika itu kaum Cina dan India tidak ada pemimpin aliran kiri; mereka ada beberapa pemimpin aliran kanan.

Pemimpin Cina aliran kiri terdiri dari mereka yang percaya dengan pergerakan komunis; mereka yang masuk Parti Komunis Malaya (PKM) atau Malayan Communist Party (MCP) yang mempunyai niat untuk merampas Tanah Melayu dari Melayu untuk dijadikan sebuah republik dengan Bahasa Melayu dihapuskan untuk digantikan dengan bahasa Cina.

Memang ramai orang Cina yang muda terpengaruh dengan dakyah mereka dan yang lantas ikut masuk berjuang dengan PKM, tinggal di hutan di sempadan Malaysia-Thailand.

Tetapi jumlah mereka adalah kecil berbanding dengan mereka yang jujur dengan perjuangan untuk mencapai Kemerdekaan untuk Persekuan Tanah Melayu pimpinan Tunku Abdul Rahman.

Amerika juga telah melalui beberapa episod pedih dalam sejarah mereka yang telah banyak beri pelajaran kepada rakyat berbilang kaum mereka.

Dan kalau Perang Dunia Kedua tidak berlaku, maka sekarang ini kemungkinan besar bahasa Jerman adalah bahasa utama dan rasmi untuk Amerika dan tidak bahasa Inggeris yang diguna oleh semua sekarang.

Dan kalau Singapura yang masuk ke dalam Persekutuan Malaysia pada 16 September, 1963 yang kemudiannya dihalau keluar dua tahun kemudian, tidak berlaku, maka Bahasa Malaysia yang menjadi bahasa utama dan terdapat satu aliran pendidikan sahaja tanpa perlu adanya sekolah vernakular Mandarin dan Tamil seperti yang ada sekarang.

Dan kenapa masyarakat Melayu khususnya mereka yang terdiri dari golongan muda terikut-ikut dalam kancah politik-palsu atau ‘pseudo-politic’ sekarang?

Mereka tidak guna akal sendiri; mereka lebih merupakan orang yang suka berkelompok dan buat keputusan atas sebab orang lain sebaya dengan mereka juga berfikiran sama.

Mereka bukan orang persendirian seperti kebanyakan orang di Amerika yang buat keputusan dengan membuat perhitungan sendiri.

Di Malaysia anak-anak muda, Melayu, Cina dan juga India terikut-ikut dengan budaya berkelompok yang berani kerana mereka berkelompok dan takut kalau mereka diasingkan dari kumpulan bayangan mereka.

Sinema di Amerika telah lama memupuk sikap yang baik dikalangan rakyat mereka, berbanding dengan Sinema Malaysia Sekarang yang terikut-ikut dengan cara mereka dapat lihat dalam filem lapok Hollywood yang akhirnya menggalakkan anak muda Malaysia terjerat dengan perasaan emosi secara negatif.

Akhirnya apa yang dapat dilihat ialah filem-filem Melayu sekarang yang kelihatan seratus peratus tiruan dari filem Hollywood yang diterbit lebih awal lagi.

Jadi akhirnya juga apa yang berlaku ialah Sinema Malaysia Sekarang boleh diberi jolokan sebagai ‘Fake Hollywood’ atau Hollywood Tiruan dengan filem-filem yang dihasilkan seratus peratus ditiru dari filem Hollywood.

Dan hampir semua pengarah filem serta penerbit filem yang bergiat aktif sekarang terdiri dari mereka yang tidak berpendidikan khusus dalam bidang ini.

Itulah sebabnya kalaupun ada beberapa filem yang berjaya di pawagam tetapi ia tidak dapat pergi ke mana dengan pengarah dan penerbitnya terperap dalam alam khayalan sendiri sehinggalah mereka diberi tunjuk untuk keluar dari perusahaan filem, kalau mereka mendapat pekerjaan yang lebih baik.

Fake Hollywood adalah jenis filem-filem yang diterbit di Malaysia sekarang.

Dan filem ‘KIL’ adalah filem jenis Fake Hollywood yang utama sekarang apabila ia telah dinobatkan sebagai ‘filem terbaik’ dalam pesta filem tempatan dan kemungkinan besar filem ini tidak akan diterima oleh mana-mana pesta filem antarabangsa lain dan jika bertanding dalam pesta filem serantau ia akan dihumban dengan mudah.

Orang Melayu tidak perlukan filem seperti ‘KIL’ dan penerbit yang suka buat filem seperti ini. Orang Melayu ada budaya tinggi dan sejarah berwarna yang boleh dijadikan ilham untuk pengarah sebenarnya jadikan bahan filem mereka.

Dan orang Cina dan India di Malaysia juga tidak perlukan filem-filem yang membelai khalayan mereka lagi; olehsebab itu mereka rasa sukar untuk menyukai filem-filem Cina dan India tempatan yang diterbitkan.

Filem Cina tempatan ‘The Journey’ yang paling berjaya di pawagam berjaya oleh sebab ia turut memberi ruang untuk penonton Cina berkhayal. Ia tidak berpijak pada bumi nyata.

Kegiatan penerbitan filem di Malaysia telah gagal dimajukan dan olehsebab ini maka terdapat pertumbuhan kegiatan penerbitan filem-filem Melayu, Cina dan India yang memberi hiburan kepada kaum-kaum secara berasingan.

Walhal Sinema Melayu Lama berpusat di Jalan Ampas dulu, semua kaum tonton filem-filem sama; dan tidak ada filem Cina dan India tempatan yang dibuat.

Inilah sebenarnya maka terdapat perbalahan dikalangan masyarakat Melayu, Cina dan juga India sesama mereka dan juga sesama sendiri, sebab mereka mendapat ilham dan pengaruh budaya serta sentiment dari punca yang berbeza, dengan si Melayu dikelirukan dengan filem Fake Hollywood, Cina dengan filem dari Hong Kong dan India dari filem-filem hiburan dan fantasi dari Chennai.

Dan apa yang berlaku dalam pemikiran banyak orang Melayu, Cina dan India sekarang bukan sebenarnya wujud dalam diri dan jiwa mereka; ia adalah bahan-bahan yang telah dimasukkan ke dalamnya oleh sebab jenis filem yang mereka telah tonton selama ini.

Dan tidak ada guna untuk kerajaan guna pelbagai jenis propaganda dan cara untuk menambat hati mereka kalau otak mereka telah diusik oleh filem yang menolak segalanya tentang Malaysia dan sejarahnya serta hasratnya.


Tiada ulasan: