Ahad, 11 September 2011

MENARA BERKEMBAR WORLD TRADE CENTER DULU – SIMBOL KEHEBATAN AMERIKA YANG AKHIRNYA RUNTUH DALAM SEKELIP MATA.

…APA PELAJARAN YANG BOLEH AMERIKA BELAJAR DARI PERISTIWA INI?
Oleh Mansor Puteh


Bangunan Menara Berkembar World Trade Center di Bandaraya New York dibina dengan mengguna teknik pembinaan yang terkini ketika itu.

Dan kemusnahannya juga telah dilakukan dengan cara yang tidak pernah dilakukan oleh sesiapa; dengan ia dirempuh oleh dua buah pesawat perdagangan, yang langsung tidak terfikir oleh sesiapa sebelum ini termasuk penulis skrip dan pengarah filem dari Hollywood yang sebelum ini sering menerbit filem dimana bangunan dimusnahkan dengan pelbagai cara.

Pertama kali tiba di Bandaraya New York, orang sudah pasti dapat melihat Menara Berkembar World Trade Center dari semua sudut. Ia tercegat dengan begitu megah dan tinggi di Taman Battery di selatan Pulau Manhattan.

Dan dari sini juga pelawat boleh menaikki feri atau bot untuk ke Pulau Liberty dimana Arca Liberty atau Statue of Liberty terletak.

Dari pulau ini pelawat boleh melihat ke seluruh Pulau Manhattan dengan Menara Berkembar tercacak di selatan pulau itu.

Di bahagian tengah pulau ini pula terletak Empire State Building yang mempunyai reka bentuk yang dianggap kelasik, yang dibina lebih awal dengan ketinggian 82 tingkat, sementara World Trade Center mempunyai 110 tingkat.

Di bahagian bawah Empire State Building ada museum yang menceritakan bagaimana bangunan ini dibina dan serangan atau hempasan pesawat kecil yang telah melanggarnya.

Oleh seba ia kecil pesawat ringan ini tercacak pada tingkap bangunan ini.

Dan ada sebiji batu bata yang juga dipamirkan; dan ia dikatakan batu bata yang tidak sempat diguna untuk membina bangunan ini yang semuanya mempunyai 9,999,999 batu bata semuanya.

Rekabentuk World Trade Center, menara berkembar yang telah mengalih pandangan pelawat ke bandaraya ini kelihatan seperti kotak. Ia tidak ada cirri-ciri yang menarik seperti dua tiang yang tercacak meluru ke langit.  

Yang membuatnya menarik ialah ia 110 tingkat, yang merupakan bangunan paling tinggi di dunia ketika itu.

Dalam tahun 1976 ia telah dibuka setelah lebih lima tahun dalam pembinaan.

Dan saya sempat melihatnya buat pertama kali dalam bulan Ogos, 1978 dulu, dua tahun selepas ia siap dibina.

Saya tidak begitu berminat untuk melawatnya sebab saya ada banyak masa untuk ke sana sebab belajar dua-tiga tahun.

Saya juga percaya ramai penghuni di bandaraya ini yang tidak sempat melawatnya sebab mereka anggap ia akan terus kekal dan mereka yang menetap di situ ada masa untuk melawatnya.

Jadi tidak hairan kalau ramai pelawat ke sana adalah dari kalangan mereka yang tinggal di bandaraya lain di Amerika atau pelancong luar negeri.

Akhirnya, mereka kecundang; menara berkembar ini musnah dan mereka tidak dapat menjejak kaki ke puncak bangunan tersebut.

Tentu semua penghuni bandaraya ini terkejut melihat bagaimana ia boleh runtuh dan musnah dalam abuk di hadapan mata mereka sendiri.

Ia kelihatan seperti dalam filem Hollywood yang gemar memusnahkan bangunan-bangunan penting di Amerika termasuk rumah kediaman rasmi presiden mereka iaitu White House di Washington DC seperti yang dapat dilihat dalam filem ‘Independence Day’.

Ketika itu, pemandangan seperti ini amat melucukan sehinggakan presiden Amerika ketika itu, Bill Clinton yang menonton filem ini boleh berjenaka tentangnya.

Padanya White House yang dikawal rapi tidak mungkin boleh ranap dengan sedemikian rupa.

Mujur ini tidak berlaku pada 11 September, 2011 dulu, tetapi Menara Berkembar di Bandaraya New York telah ranap, dan ibupejabat Pentagon di Washington DC telah dirempuh dan hampir musnah.

Presiden Amerika ketika itu, George W Bush terpaksa dilarikan dalam pesawat khas, Air Force One menjelajah ke Amerika dengan perjalanannya dilakukan dengan membuat beberapa lencongan untuk mengelak ia dari diserang.

Kesempatan itu akhirnya dimunafaatkan apabila rakan-rakan pelajar Malaysia dari Boston yang mahu melawatnya dalam tahun 1979 dan 1981 bila saya terpaksa menemani mereka.

Ini adalah gambar-gambar di luar dan dalam bangunan ini yang kini sudah tidak ada lagi apabila ia telah musnah ranap pada 11 September, 2001 dulu.

Sesiapapun tidak dapat bayangkan bangunan yang begitu teguh dapat runtuh dan musnah sehingga hilang dari pandangan dalam beberapa saat sahaja.

Saya masih ingat ketika menaikki lif dari tingkat bawah hingga ke tingkat tinjau pada pertama kali ke sana dalam bulan Mac, 1980.

Cuaca sejuk tidak membenarkan pelawat untuk ke puncak bangunan di bumbung. Kesempatan ini saya dapat dalam bulan Ogos, 1981, dalam musim panas bila bahagian bumbung ini dibuka kepada pelawat.

Dan dari sudut tinggi ini saya dapat melihat pemandangan sekelilling Bandaraya New York sehingga ke New Jersey.

Ia kini sudah menjadi suatu pemandangan yang hilang dari pandangan.

Yang tinggal hanya perasaan pihak berkuasa Amerika yang masih berdendam kepada mereka yang dikatakan dalang kepada kemusnahan yang telah mereka lakukan di negara Amerika, yang mana mereka sering anggap sebagai benteng keamanan dan kesejahteraan buat rakyatnya.

Amerika tidak teragak-agak musnahkan negara lain khususnya negara Arab dan Islam demi menjaga kepentingan mereka.

Tetapi Amerika tidak sedar bahawa orang lain juga ada pilihan seperti itu, dan mereka juga ada keupayaan sama untuk menghancurkan kepentingan Amerika di seluruh dunia dan juga di Amerika sendiri

Amerika bukan negara terpencil; ia ada kepentingan di seluruh dunia. Dan dikalangan rakyatnya ada masyarakat Arab dan Islam lain.

Ini yang membuat kerja untuk menjaga keamanan untuk rakyat Amerika sukar, selagi mereka tidak jaga mulut dan kawal sikap pemimpin mereka khususnya dikalangan pihak pelampau dalam kerajaan dan dikalangan kelompok-kelompok tertentu.

Kalau Menara Berkembar itu boleh hancur dan musnah dengan begitu mudah, masakan Amerika juga tidak boleh mengalami kejadian yang sama?

Apa pilihan Amerika? Adakah mereka mahu hidup dalam keadaan aman dengan semua khususnya dengan kaum Arab dan Islam, atau mereka mahu berdegil dan cuba menawan mereka? 

Tiada ulasan: