Sabtu, 3 September 2011

ROCK DAN HEAVY METAL DI MALAYSIA; GAMELAN DI ENGLAND: BUNYI

Oleh Mansor Puteh

Ia pasti sesuatu yang amat pelik, melihat pemuda-pemudi Inggeris di England begitu asyik
bermain muzik gamelan dalam sebuah kumpulan, untuk khalayak tempatan yang rata-rata orang
tempatan keturunan Inggeris.

Mereka berminat untuk memain lagu dan buat persembahan gamelan dan menontonnya.

Dan anak-anak kecil mereka juga dihantar oleh emak dan bapa mereka untuk belajar jenis muzik ini yang telah dibawa datang ke negara mereka, dari jauh – sebuah negara di daerah yang mereka tidak pernah dengarpun sebelum ini, jauh sekali pernah melawatinya.

Mungkin sehingga kini ada diantara mereka yang masih tidak kenal dengan nama ibukota Malaysia. Namun, mereka masih tetap mengalunkan lagu-lagu gamelan yang begitu nyata sekali mempunyai cara yang lain dari muzik barat yang mereka lebih kenal dan serasi.

Lihat sahaja pakaian baju kurung dan Melayu dari kain songket, dengan pemuda Inggeris yang memakai songkok beldu hitam.

Dan teringat saya dengan gelagat anak-anak muda Melayu yang begitu asyik dengan muzik barat seperti ‘heavy metal’, ‘rock’ serta ‘pop’ dan lain-lain.

Kenapa ada persimpangan diantara tabiat dan sikap kumpulan di England dan Malaysia dalam hal ini? Ia sebuah persoalan sejarah, saikologi, maupun sosiologi yang amat menarik kalau ia dapat dijadikan bahan kajian oleh sarjana.

Tetapi buat sementara waktu, biarlah kita terhibur dengan adanya sebuah kumpulan gamelan di tengah-tengah negara England yang terdiri dari sebuah kumpulan pemuda-pemuda Inggeris.

Setakat ini kita cuma hanya dapat lihat gambar-gambar mereka giat bermain muzik dan membuat persembahan gamelan di England.

Tetapi, tidakkah kita mahu bayangkan satu hari kelak kumpulan ini dijemput untuk mengadaan persembahan di Dataran Merdeka dan di tempat-tempat awam lain seluruh negara.

Kalau ini boleh berlaku, tidakkah ‘tersinggung’ orang Melayu sendiri yang kini asyik dengan jenis muzik barat? Tentu sekali.

Ia satu pengelaman yang pelik yang saya alami semasa dalam lawatan ke Nottingham tidak lama dulu.

Kumpulan gamelan Nusantara di Bandaraya Nottingham telah ditubuhkan lama dulu. Tetapi sehingga ini nama ini tidak dikenali oleh peminat seni tradisional di Malaysia.

Di England, kumpulan ini telah membuat persembahan di merata tempat di bandaraya besar termasuk Kotaraya London sekali.

Dan kumpulan ini unik; ia mempunyai ahli muzik hampir semuanya terdiri dari anak tempatan keturunan Inggeris.

Ketua kumpulan ini ialah Maziah Omar dan suaminya, Alan, seorang pemuda Inggeris. Dia pernah berkhidmat di Balai Senilukis Negara semasa ia terletak di Jalan Hishamuddin dulu selama enam tahun. Dan Maziah pula ketika itu seorang penari kumpulan Komplek Budaya Negara (KBN) yang sering membuat persembahan di seluruh negara dan di luar negara.

Mereka berkahwin dan kini menetap lebih 13 tahun di Nottingham, sebuah bandaraya dua-setengah jam dari London.

Ia bukan sebuah  bandaraya yang terkenal dengan kegiatan seni dan kebudayaan tetapi di sini kedua mereka pilih untuk menubuhkan Kumpulan Nusantara mereka.

Selain dari membuat persembahan gamelan dan tarian tradisional Melayu lain, Maziah juga memberi latihan kepada orang dewasa dan kanak-kanak Inggeris, yang rata-ratanya melihat persembahan gamelan ini sebagai seuatu yang unik dan baru.

Ada diantara pemain muzik dalam kumpulan ini mempunyai latar belakang muzik kelasik Inggeris, jadi tidak hairanlah kalau mereka menyatukan irama kelasik barat dengan gamelan dan beri sebuah persembahan yang memikat.

Sayangnya, kumpulan Nusantara dan jurutarinya, Maziah ini yang sudah bergiat di England sekian lama dan sering dijemput bergabung dengan Pejabat Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia (TM) untuk kempen penggalakan pelancongan Malaysia di England dan Eropah, tetapi mereka tidak pernah diberi peluang untuk membuat persembahan di Malaysia.

Tentu persembahan oleh sebuah kumpulan gamelan Inggeris seperti Nusantara ini boleh menarik perhatian kepada penonton dan penggemar muzik tradisional di Malaysia.

Lebih dari itu, mereka boleh beri sedikit tunjuk-ajar kepada masyarakat kita yang nampaknya sudah mahu melupakannya.

Mereka boleh beri kesedaran kepada kita tentang apa itu gamelan kepada kita. Dan mereka juga boleh beri sebuah persembahan yang lain dari yang lain.


Tiada ulasan: