Sabtu, 1 Oktober 2011

NOVEL - MELAKA: THE GLORIOUS MALAY SULTANATE dan CADANGAN BERBANGKIT

Oleh Mansor Puteh


Saya harap penjelasan yang saya telah beri mengenai dua perkara tentang buku saya dapat
diterima. Disini saya ingin mengemukakan beberapa cadangan untuk menaikkan imej negeri
Melaka dan membetulkan lagi penekanan tentang sejarah Melaka untuk orang awam dan
pelancong.

Saya kesal sebab pakar sejarah yang diiktiraf oleh kerajaan negeri Melaka tidak pernah memberi usul seperti ini untuk dipertimbang dan dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

Penyelidikan dan penulisan novel, MELAKA: THE GLORIOUS MALAY SULTANATE telah membuka mata saya dan saya berharap beberapa cadangan yang saya kemukakan itu dapat dilaksanakan sebab ia tidak melibatkan banyak kos kepada kerajaan.

1    NAMA BUKIT ST PAUL DAN BUKIT ST. JOHN:

Saya cadang agar nama-nama Portugis dan Katolik ini diganti kepada BUKIT SULTAN AZLAN SHAH dan SULTAN AHMAD SHAH.

Tidak ada sebab kenapa orang Melayu mesti jadi penjaga kepada identiti Portugis dan Katholik di Melaka walaupun mereka telah diusir lebih 500 tahun dahulu.

Nama asal bukit St Paul ialah Bukit Melaka.

Oleh sebab Sultan Perak dan Sultan Pahang adalah waris kepada Sultan Melaka dulu, maka adalah sesuai kalau Bukit St Paul dan Bukit St. John ditukar ke nama mereka.
           
2    REPLIKA ISTANA SULTAN MANSUR SHAH:

Saya cadangkan agar sebuah replika Istana Sultan Mansur Shah didirikan di tapak kedai cenderamata di Jalan Merdeka dekat belakang Medan Nusantara. Istana ini mempunyai rekabentuk yang lebih cantik berbanding dengan Istana Sultan Mahmud Shah yang telah dibina dalam tahun 1983 dahulu.

Seorang rakan saya yang mempunyai kelayakan dalam bidang reka bentuk boleh menghasilkan pelan untuk replika istana dan Mesjid Melaka yang pertama. Beliau mendapat pendidikan di peringkat sarjana di Pratt Institut di Bandaraya New York dan telah membuat reka bentuk Makam Sultan Salehuddin Shah, Sultan Selangor yang mangkat dua tahun lalu.

3.    REPLIKA MESJID PERTAMA DI MELAKA:

Parameswara telah membina sebuah mesjid sebaik sahaja dia masuk Islam dalam tahun 1414. Tempatnya ialah di hadapan bangunan Stadhuys. Tetapi sebuah replika mesjid ini boleh dibina di tempat dekat Dataran Pahlawan untuk diguna oleh pelancong dari negeri Arab dan orang Islam lain yang datang ke Melaka.

4    NAMA BUKIT CINA DIGANTIK KE BUKIT CINA-MELAKA:

Saya cadangkan agar nama Bukit Cina diganti ke Bukit Cina-Melaka sebab Cina di sini bukan bererti Cina seluruh dunia atau di negeri-negeri lain di Malaysia, tetapi Cina di Melaka sahaja.

5.    MAKAM SULTAN MAHMUD SHAH DI KAMPAR, SUMATERA:

Saya cadangkan agar Makam Sultan Mahmud Shah yang kini terletak di Kampar, Sumatera dibawa balik ke Melaka. Saya percaya pihak di Sumatera tidak keberatan memandangkan bahawa mereka sendiri tahu bahawa Sultan Mahmud Shah berasal dari Melaka. Makam Sultan Mahmud Shah kini terbiar di kawasan lapang.

Makam ini boleh dibawa ke Melaka dan diletakkan di tempat yang sewajarnya.

Kalau acara pemindahan makam in dapat dilakukan dengan persetujuan dari pihak di Sumatera, saya percaya acara ini akan dapat menarik perhatian media dunia, sebab tidak pernah berlaku makam seorang raja mahu dibawa balik ke negeri asalnya lebih 500 tahun selepas beliau mangkat. Wakil BBC, CNN dan Nationl Geographic boleh dijemput untuk membuat liputan.
           
6.    MAKAM TUN TEJA DI MERLIMAU:

Saya cadangkan agar Makam Tun Teja, yang merupakan permaisuri Sultan Mahmud Shah yang kini terletak di Merlimau di Melaka juga dipindahkan supaya ia dapat diletakkan bersebelahan dengan Makam Sultan Mahmud Shah. Makam Tun Teja kini terletak di tengah kawasan sawah yang terbiar. Tidak lama lagi kawasan ini akan dibangunkan dan makam ini akan kelihatan janggal.

6.    KAWASAN SEKELILLING MAKAM HANG JEBAT DAN HANG KASTURI:

Saya cadangkan agar rumah-rumah di sekelilling Makam Hang Jebat dan Hang Kasturi diambil alih oleh kerajaan supaya ia dapat menjadi pusat kebudayaan dan perniagaan orang Melayu sehingga di sekitar Mesjid Kampung Lapan.

Sekarang ini rumah berdekatan dengan makam ini didiami oleh orang Cina dan ia tidak sesuai.
           
7.     MUZIUM MELAYU DAN ISLAM:

Saya cadangkan agar sekolah di Jalan Parameswara seperti French Convent, St. Francis’ Institution dan High School Melaka diambil alih dan dijadikan sebuah komplek Muzium Melayu dan Islam.

Saya boleh beri cadangan untuk memajukannya. Sementara itu Muzium Melaka yang ada sekarang di Bangunan Stadhuys dipindahkan sebab ia sempit. Bangunan Stadhuys ini dipulih untuk menjadi bangunan asal dengan bilik-bilik pegawai Belanda dikekalkan.

8.    SIRI TELEVISYEN 18 EPISOD UNTUK PASARAN DUNIA:

Saya akan berusaha untuk menjual hak novel saya kepada penerbit di Amerika untuk menarik perhatian mereka untuk menerbit sebuah siri dalam bahasa Inggeris untuk pasaran dunia. Kalau ini berhasil, maka Melaka dan Malaysia akan dapat promosi percuma seluruh dunia selama 18 jam. Saya percaya pihak di Amerika akan tertarik dengan sejarah Melaka sebab ia mempunyai watak-watak seperti Melayu, Sumatera, Jawa, Siam, Cina dan Portugis yang tidak terdapat dalam mana-mana siri televisyen lain.

Kalau rancangan ini berlaku saya percaya semua set, prop dan pakaian yang akan diguna boleh didermakan kepada Muzium Melaka yang baru kelak yang memerlukan ruang yang besar.

Saya percaya perbelanjaan untuk siri televisyen ini ialah US$50 juta yang akan dibiayai oleh penerbit Amerika. Jumlah besar ini tidak mungkin dapat dikeluarkan oleh kerajaan Melaka. Oleh sebab itu satu usaha mesti dijalankan oleh kerajaan Melaka untuk mempromosi buku saya di kalangan penerbit di Amerika. Caranya ialah dengan menghantar buku-buku kepada penerbit oleh pihak Ketua Menteri sendiri yang menjanji akan memberi sokongan semasa penerbitan kelak. Dan kalau perlu penerbit tersebut boleh dipelawa untuk membuat lawatan ke Melaka.

Cara mempromosi Melaka dengan menghantar kumpulan tarian dan nyanyian adalah cara lapuk dan tidak berkesan dan mahal. Saya sanggup untuk pergi ke Amerika dan bertemu dengan penerbit di sana dan bincang tentang perkara ini bagi pihak kerajaan negeri sebab selaku penulis novelnya saya mempunyai kredibiliti. Manalah tau kalau usaha murah dan mudah ini berhasil sehingga terbitnya siri tentang sejarah Melaka.


* * * * * * *

Tujuan saya mencadangkan perkara-perkara 1, 2 dan 3 ialah untuk menukar corak kawasan sejarah di Melaka dari menumpukan perhatian kepada pengaruh penjajah dan Katholik, kepada Melayu dan Islam.

Perlu ditekan di sini bahawa Melaka penting bukan oleh sebab penjajahan Portugis, Belanda dan Inggerisnya, tetapi Melayu.

Melaka adalah pusat utama penyebaran pengaruh Melayu dan Islam di Nusantara, dan ini harus ditekankan. Itulah sebabnya kenapa saya menulis novel saya, iaitu untuk menekankan tentang perkara ini.

Sila baca karangan di muka surat 694 berjudul: ‘Bangsa Melayu: Intermarriage and the creation of the Malay race and language.’

Sebagai seorang berbangsa Melayu yang berasal di Bandar Melaka sendiri, saya terkilan melihat semua tumpuan kerajaan terhadap sejarah Melaka adalah dari segi penjajahan seperti sejarah Melayu itu tidak penting.

Akhir sekali saya berharap pihak kerajaan negeri akan dapat timbangkan cadangan ini supaya orang Melayu di Melaka dan seluruh dunia tahu bahawa bangsa mereka gagah dan orang Islam di seluruh dunia juga akan sedar bahawa Melakalah pusat utama dalam penyebaran Islam di dunia. Sekarang ini terdapat lebih ramai orang yang berugama Islam di Nusantara berbangsa Melayu berbanding di Timur Tengah yang berbangsa Arab.

Oleh itu saya berharap pihak kerajaan akan menghantar salinan buku saya ke penerbit-penerbit di Timur Tengah dan Iran supaya mereka dapat timbang agar buku saya diterjemah dalam bahasa Arab dan Farsi.

1 ulasan:

Pingu Toha berkata...

Salam tuan,

Naskhah Melaka: The Glorious Malay Sultanate masih ada untuk dibeli?