Isnin, 7 November 2011

DAERAH TEATER DI KUALA LUMPUR AMAT DIPERLUKAN.

Oleh Mansor Puteh



Kita tidak perlukan Istana Budaya untuk merancakkan kegiatan teater di Kuala Lumpur yang mana akan menjadi pencetus kepada perkembangan teater di Malaysia. Apa yang telah berlaku sekarang ialah Istana Budaya dianggap tidak penting untuk perkembangan teater di Kuala Lumpur, jauh sekali di Malaysia. Kesannya tidak dirasai.

Malah, apa yang cuma dapat dirasakan tidak berbeza dengan apa yang berlaku semasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menyediakan sebuah dewan dan pentas yang ketika itu dianggap sebagai yang paling canggih dan hebat. Tetapi, kini Oditorium DBKL merupakan cuma sebuah dewan yang tidak berbeza dengan dewan-­dewan lain.

Dan Istana Budaya juga akhirnya nanti akan menjadi cuma salah sebuah dewan dan pentas yang terdapat di Kuala Lumpur.

Sebenarnya apa yang kita perlukan adalah lebih dari dewan untuk memajukan teater di Malaysia. Kita perlukan satu daerah teater di Kuala Lumpur.

Dan daerah teater ini seharusnya terletak di pusat Bandaraya Kuala Lumpur, seperti daerah Broadway di Bandaraya New York dan West End di London supaya ia mendekati khalyak dan tidak meminggirkannya seperti apa yang berlaku dengan Istana Budaya sekarang.

Bangunan mercu tanda tidak diperlukan untuk memajukan teater.

Apa yang diperlukan ialah bangunan-bangunan yang sesuai, tidak membazirkan perbelanjaan pentadbiran atau menaikkan kos penerbitannya supaya ia boleh melibatkan semua orang yang mahu berjinak dengan teater di peringkat mana yang mereka mampu dari amator sehingga ke profesional tempatan maupun luar negeri.        

Dan banyak bangunan berbagai jenis saiz, untuk menampung semua jenis teater, yang memerlukan khalayak yang ramai sehingga yang sedikit.

Tempat yang paling sesuai untuk dijadikan daerah teater di Kuala Lumpur, tidak lain sekitar kawasan Bangunan Bangkok Bank. Kawasan ini begitu ideal sekali untuk dijadikan daerah teater dan kesenian.

Terdapat banyak bangunan-bangunan lama yang boleh diambil alih, dan diubah suai untuk dijadikan bangunan atau pentas.
Saya dapat lihat kalau cadangan ini dapat diambil berat oleh kerajaan, sebuah pentas besar boleh didirikan dengan pentas-pentas kecil dan sederhana.

In juga satu caranya untuk mengurangkan kesesakan di pusat bandaraya atau ‘inner city’dan kawasan ini khas akan dijadikan kawasan pejalan.

Malah seluruh kawasan ini dapat diubah suai dan dijadikan daerah teater dan kesenian di Kuala Lumpur, iaitu dari Pasar Budaya sehingga ke Mesjid Jamek.

Di sini juga terdapat dua stesen LRT yang boleh menumpahkan khalayak dari seluruh pelusuk bandaraya maupun negara untuk menikmati teater dengan mudah tanpa perlu memandu kereta.

Ini yang penting sekali sebab sistem kenderaan yang baik boleh menggalak khalayak untuk berkunjung ke teater sebab ia cuma memerlukan perjalanan yang mudah dan cepat dari seluruh pelusuk bandaraya ke daerah teater ini.

Alangkah hebatnya kalau penjualan tiket untuk teater boleh disetempatkan supaya orang awam boleh mendapat tiket di sini sahaja, termasuk di beberapa tempat lain.

Dan kaunter stesyen LRT dan keretapi boleh menjualkan tiket untuk semua persembahan yang juga mengambil kira kos tiket pulang-balik dari mana-mana mereka berada.

Dengan cara ini orang ramai tidak akan mengalami kesesakan jalan raya, untuk pergi menonton teater.

Saya tidak dapat bayangkan berapa ramaikah orang awam yang mahu ke Istana Budaya, tetapi terpaksa berfikir berkali-kali sebab kenderaan awam sukar didapati. Dan kalau persembahan tamat lewat malam, mereka terpaksa menaikki teksi.

Perkembangan teater sebenarnya bukan sekadar mempunyai bangunan pentas yang hebat, seperti Istana Budaya. Ia memerlukan sistem kenderaan yang cekap dan lain-lain kemudahan untuk menyokongnya.

Dan kanak-kanak sekolah mesti digalak untuk menonton teater dengan mereka dikenakan bayaran minima.

Bangunan Bangkok Bank boleh diambil laih dan dijadikan bangunan untuk menempatkan semua pejabat kumpulan teater, bilik latihan dan syarikat-syarikat yang berkaitan dengan teater atau kesenian, termasuk akademi kesenian dan perfileman dan senilukis, dan sebagainya.

Sebahagian dari bangunan ini boleh dijadikan hotel tiga bintang untuk menempatakan tetamu atau sesiapa sahaja yang terlibat dalam persembahan teater ketika itu.

Dan Akademi Seni Kebangsaan boleh dipindahkan ke sini, bersama semua akademi kesenian dan perfileman supaya akhirnya nanti penuntut-penuntut kesenian dan khalayak boleh disatukan.

Bayangkan kalau ada poster besar dan ‘marque’ atau papan-tanda yang mengumumkan persembahan teater terpampang di tepi-tepi bangunan pentas di sini, tidakkah ia akan menghidupkan bandaraya ini nanti seperti apa yang berlaku di Broadway dan West End.

Tentu sekali ia boleh menjadi tarikan kepada pelancongan tempatan dan luar negeri.

Lebih dari itu, ia boleh memberi semangat kepada aktivis teater untuk terus bergiat.

Dan jenis teater yang boleh digalakkan adalah jenis professional dan separuh professional sehingga amator.

Saya juga dapat banyangkan kalau semua bandaraya utama di Malaysia mempunyai daerah teater mereka sendiri sudah pasti ini boleh mewujudkan satu rangkaian teater yang baik.

Jadi, persembahan yang diadakan di mana-mana boleh berpindah ke semua negeri.

Kerajaan negeri mesti mengambil perhatian dan giatkan teater supaya ia dijadikan perusahaan akhirnya. Dan perusahaan ini bakal memberi peluang pekerjaan kepada banyak muda yang cenderung dalam bidang ini, secara penuh masa.

Sebenarnya peruntukan untuk mendirikan Istana Budaya sudah cukup untuk membangunkan daerah teater seperti yang dicadangkan itu. Dan wang ini boleh memberi peluang kepada lebih ramai pengiat teater lebih giat.

Tiada ulasan: