FILEM MALAYSIA: DIANTARA PATROTISME DAN LIBERALISME.
Oleh Mansor Puteh
Tajuk kertas kerja ini ialah, ‘Filem Malaysia: Diantara patriotisme dan liberalisme’.
Sebenarnya kertas kerja ini boleh dibahagikan kepada dua, iaitu patriotisme dan liberalisme dalam filem dan ia boleh dibincang secara tersendiri. Tapi ianya juga boleh dijadikan satu bahan perbincangan sebab terdapat banyak filem yang mempunyai percampuran jenis atau genre, dan jenis yang mempunyai nilai patriotisme ini kadang-kadang boleh mempunyai elemen liberalisme dan sebaliknya dan kedua-dua jenis ini pula boleh dibuat sebagai sebuah kajian perbandingan – iaitu diantara patriotisme dan liberalisme seperti yang mahu dibincang sekarang.
Dan biasanya patriotisme yang dimaksudkan ialah – kepekaan; sementara liberalisme pula boleh diertikan keterbukaan dan kebebasan. Ia biasanyamempunyai konotasi yang tidak baik atau negatif.
Untuk saya filem yang dibuat dengan penuh kepekaan bererti sesebuah filem yang mempunyai nilai artistik yang tinggi, yang mulia, murni dan yang boleh menaikkan imej ugama, bangsa dan negara; sementara filem yang mempunyai nilai liberal secara tidak baik atau negatif pula adalah jenis yang secara kasar dianggap sebagai lucah dan anti-sosial dan anti-ugama, dan yang dibuat oleh mereka yang tidak bermaruah dan berdidikan tinggi dalam bidang perfileman.
Bagaimanapun, kita masih boleh anggap bahawa liberalisme itu juga mempunyai maksud atau konotasi yang tidak negatif tetapi yang baik, mulia dan murni, iaitu kalau keterbukaan pemikiran yang berlaku itu adalah dari segi pemikiran si pembuat filem yang mahu menerima pengaruh dari filem-filem yang telah diterbit sebelum ini di daerah lain di seluruh dunia, yang tidak mempunyai pengaruh lucah.
Dan mereka yang membuat filem dengan penuh kepekaan adalah mereka yang memandang tinggi bidang seni filem; berbanding dengan mereka yang membuatnya dengan kurang kepekaan atau terlalu liberal dari segi nilai ugama, moral dan kemasyarakatan atau sosial mereka.
Sebenarnya tahab keterbukaan atau liberalisme seseorang pengarah itu ada kena-mengena dengan pegangan diri dan nilai moral serta ugama dan pendidikan formal mereka dalam bidang perfileman dan bidang-bidang yang berkaitan dengannya seperti sosiologi, psikologi, sejarah dan isiu semasa yang mempengaruh pengkarya menghasilkan karya mereka.
Ini juga memberi erti bahawa orang yang tidak mempunyai pendidikan formal dalam bidang perfileman yang tinggi dan yang tidak faham tentang aspek seperti tadi, masih boleh menghasilkan filem. Tetapi filem mereka biasanya tidak lengkap dan rendah tahab pemikirannya. Dan perbalahan atau kontroversi yang mampu ia timbulkan adalah sekitar seks dan nilai moral dan ugama sahaja. Dan mereka sering terbabit dengan perbalahan dan kekecuhan dengan masyarakat umum dan Lembaga Penapisan Filem.
Orang yang mempunyai nilai moral yang tinggi sudah pasti tidak mahu membuat filem yang mempunyai elemen lucah di dalamnya, walaupun sedikit – dan walaupun ia kononnya bertujuan untuk mengajar dan memaparkan keadaan yang sebenar atau realiti kehidupan.
Pendek kata, filem yang lucah atau kotor itu hanya boleh dibuat oleh mereka yang mempunyai pemikiran yang kotor dan dipengaruh oleh syaitan dan iblis jahanam. Mungkin ia dibuat oleh pengarah yang mewakilli syaitan dan iblis di dunia ini.
Atau secara yang lebih halus, kita boleh kata ia dibuat oleh mereka yang tidak peka dalam bidang pembuatan filem dan yang mempunyai niat yang dajal.
Mereka tidak ada landasan yang kukuh untuk membuat filem. Maksudnya di sini ialah mereka tidak mempunyai landasan yang kukuh dan tahu cara-cara yang ada yang mereka boleh guna untuk menyampaikan sesuatu idea dalam filem. Ini berpunca dari kekurang pendedahan mereka tentang bidang filem dan latihan mereka dalam bidang sejarah dan tradisi membuat filem amatlah terhad.
Di Malaysia, mereka yang sering membuat filem yang dianggap sebagai kotor adalah mereka yang tidak pernah belajar bidang perfileman dimana-mana universiti. Mereka buatnya ikut sesuka hati dan sering fikir serong terhadap khalayak yang mereka fikir akan tertarik dengan adegan lucah dan kemungkaran yang mereka mahu paparkan dalam filem mereka. Mereka sebenarnya pandang rendah kepada masyarakat sebab mereka fikir penonton sanggup membayar lapan ringgit untuk menonton sesebuah filem dan melihat pelakon membuat kerja tidak senonoh dalam filem.
Alasan mereka tidak lain; apa yang mereka mahu papar itu adalah kebenaran, atau realiti, dan mereka mahu kemukakan kebenaran ini dalam filem mereka sendiri, seperti ia adalah sesuatu yang hebat dan lain dari yang lain. Fahaman liberalisme secara tidak baik atau negatif ini sebenarnya dipelajari mereka dari menonton filem-filem yang serupa dibuat di barat dimana mereka mempunyai nilai sosial yang berbeza dengan kita. Dan pegangan ugama mereka juga tidak sama. Malah, kebanyakan mereka yang membuat filem seperti ini di barat tidak percayakan kepada ugama, jadi mereka tidak rasa segan-silu atau bersalah kalau mereka sengaja adakan adegan sumbang dan lucah dalam filem mereka.
Inilah masalahnya kalau orang tidak faham dan dapat membezakan apa itu realisma sosial dan realisme seksual dan mahu anggap kedua-duanya sama, dan apa yang bagus di barat mesti bagus di sini. disini
Saya tidak peduli sangat tentang filem-filem yang diterbit di luar negeri sebab mereka telah mengguna liberalisme secara luas sehinggakan ia telah menyebabkan kehancuran masyarakat di sana dan filem yang diterbitkan bukan lagi filem sebenarnya tetapi filem yang terletak dalam kategori sendiri, iaitu filem lucah. Tapi, kita masih boleh belajar sedikit-sebanyak darinya – iaitu tentang bagaimana kita boleh guna filem dengan betul supaya ia tidak menjadi salah satu punca atau sebab bagaimana sesebuah masyarakat dan tamaddun itu boleh runtuh, iaitu bila nilai hidup jatuh seperti yang terdapat dalam kerajaan silam Rom dan di barat sekarang.
Dan dari semua negara yang menghasilkan filem, tidak banyak yang menghasilkan filem bercorak patriotik. Sebabnya ialah ia menghadkan filem tersebut kepada keperluan sesebuah negara dan bangsa sahaja. Jadi, mereka kini lebih suka untuk menganggap filem mereka sebagai filem yang memaparkan tema anti-perang supaya walaupun ia tentang pengelaman mereka, tetapi ia juga boleh diikuti dan dirasai oleh penonton di negara lain supaya kesengsaraan mereka adalah juga kesengsaraan kita. Tetapi malangnya, kesengsaraan kita bukan kesengsaraan mereka.
Amerika juga pernah menerbit filem seperti ini selepas peperangan Vietnam, tetapi penekanan mereka bukan patriotisme seperti ‘Apocalypse Now’, ‘Deer Hunter’ dan lain-lain, tetapi kononnya filem yang memaparkan isiu kemanusiaan segajat. Tetapi saya lebih suka menganggapnya sebagai filem-filem tentang kekalutan masyarakat dan pemerintah Amerika dengan menguna tema anti-perang lebih dari filem patriotik sebab di Amerika orang jarang guna semangat patriotik dari negara lain – yang hanya dilaungkan oleh pemimpin kanan mereka sahaja dan bukan orang awam, jauh sekali dikalangan seniman mereka dalam semua bidang. Sebab jarang sekali mereka mengguna bidang kesenian untuk melaungkan slogan seperti itu.
Boleh dikatakan, hampir semua filem Melayu yang telah diterbitkan mempunyai elemen atau pengaruh liberalisme sebab si pembuatnya sering menerima elemen-elemen baru dari filem yang mereka telah tonton atau kaji masuk ke dalam filem mereka secara rela hati untuk mempelbagaikan nilai dalam filem mereka.
Malah perkembangan sesebuah perusahaan filem itu, tidak kira di Malaysia atau di manapun, berlaku oleh sebab pembuatnya mempunyai pandangan terbuka. Ini adalah proses pembelajaran yang diamalkan oleh banyak pengarah filem; lebih-lebih lagi mereka yang menganggap diri mereka sebagai tidak lengkap, dimana bidang yang mereka ceburi itu adalah baru, dan mereka hanya menjadi pengarah ‘bidan terjun’ tanpa mendapat pendidikan yang lengkap dalam bidang ini dan mereka telah dipelawa untuk mengarah filem atau menulis skripnya.
Tetapi fahaman liberalisme yang sering kita dikelirukan oleh beberapa pengarah yang giat sekarang berlaku bila mereka tersalah anggap dan mengambil fahaman yang lain tentang libralisme yang boleh dikatakan sebagai terpesong. Pada mereka liberalisme itu bukan dari segi keterbukaan atau kerelaan mereka untuk menerima pengaruh kesenian dan kebudayaan dari luar atau dari filem-filem yang telah disanjung.
Apa yang mereka faham dengan liberalisme itu sebenarnya tidak lain iaitu – liberalisme seksual dan kebebasan hidup. Itulah sebabnya kenapa kini terdapat ada beberapa pengarah filem tempatan yang dengan tanpa segan-silu berani membuat filem yang mempunyai adegan yang kita anggap menjolok mata dengan ada yang sengaja dibuat khusus untuk mempersenda nilai ugama dengan menampilkan isiu-isiu ugama dan kemasyarakatan yang boleh dianggap remeh atau dalam bahasa Inggeris ia adalah ‘petty social and religious issues’. Tujuan sebenar orang yang mahu membuat filem yang memparkan isiu-isiu seperti ini tidak lain untuk menunjukkan adegan yang boleh dianggap sebagai kurang sopan dan lucah. Cara pembuatannya sering terus atau ‘direct’ dan ia adalah hanya dalam bentuk mendedahkan tubuh, menunjukkan adegan di ranjang dan dalam bilik dan sebagainya.
Saya tidak tahu apakah pembincangan hari ini mahu membuat pentafsiran tentang adakah filem dalam jenis patriotisme dan liberalisme itu baik atau tidak baik. Sebenarnya yang baik itu bukan dari segi genrenya, tetapi apa yang tersirat di dalamnya.
Tentu sekali filem yang mempunyai nilai patriotisme dan dibuat dengan semangat mahu naikkan ugama, bangsa dan negara itu adalah baik. Dan tentu sekali juga liberalisme itu kalau diguna secara salah dan bertujuan untuk mencemar budaya dan menghina mana-mana norma hidup dan nilai masyarakat serta ugama, sudah pasti tidak baik.
Dan kalau ada sesiapa yang tidak berapa gemar mengguna perkataan patriotisme, dia boleh guna perkataan citarasa bangsa dan negara, dan ugama, sebab maksud patriotisme sekarang sudah berubah berbanding dengan dulu, bila ia hanya terhad kepada kecintaan kepada negara. Sekarang ia sudah mengambil makna yang lebih luas dan lebih murni.
Sekarang ini terdapat ramai pengarah filem sekarang yang tidak lagi membuat filem untuk mana-mana negara atau bangsa dan mereka tidak rasa selesa mengguna perkataan patriot atau patriotisme dan mahu membuat filem yang mempunyai nilai-nilai ini. Jadi mereka lebih suka untuk bercakap tentang nilai sejagat yang murni, mulia dan sejati.
Sebab manalah tau di masa-masa akan datang kalau ada pengarah Melayu dan Malaysia yang dapat peluang membuat filem di Hollywood, sudah pasti dia tidak boleh berfikir dengan cetek dan melihat karyanya sebagai filem Melayu atau Malaysia sahaja, tetapi filem antarabangsa. Namun demikian dia masih menyerapnya dengan nilai seperti yang disebut di atas.
Namun kita mesti terima hakikat bahawa apa yang mereka kena buat itu sebenarnya berpunca dari semangat patriotisme yang asas tadi - dan luhur kepada keperibadiannya dan kepatuhan kepada prinsip yang mulia.
Nampaknya fahaman liberalisme melulu atau salah itu sebenarnya dipegang oleh sebilangan kecil pengarah filem tempatan; dan mereka terdiri dari orang yang tidak mempunyai pendidikan formal dalam bidang ini. Mereka tidak mempunyai sebab yang mulia untuk membuat filem. Mereka kata filem mereka jujur tetapi kejujuran mereka adalah hanya kepada kejujuran yang salah; mereka jujur kepada fahaman yang terpesong dan terikut-ikut dengan cara pembuatan filem di barat yang sudah lapuk.
Dan sejak kebelakangan ini terdapat beberapa buah filem yang memaparkan liberalisme yang melulu. Ia mendapat sokongan dan liputan yang meluas dari media bukan Melayu khasnya, sebab mereka memegang nilai yang tidak sama dengan orang yang pentingkan nilai ugama, budaya dan negara yang tinggi.
Dan kita juga rasa gembira ada penentangan terhadap pengarah yang membuat filem-filem yang boleh dianggap kurang sopan, sebab mereka mengamalkan fahaman liberalisme secara salah dan masyarakat umumnya memandang rendah terhadap filem seperti ini, walaupun ia dikatakan dapat sanjungan di luar negeri. Namun sanjungan yang diterima itu bukanlah disebabkan ia filem yang hebat, tetapi oleh sebab ia mempunyai nilai anti-Islam.
Ada beberapa buah filem yang memaparkan nilai yang kita anggap sebagai terlalu liberal sehingga ia lucah tidak mendapat sambutan yang hangat dari penonton tempatan. Dan di luar negeri ianya juga tidak mendapat sokongan yang kuat, sekadar dijemput untuk ditayang dalam beberapa buah pesta filem antarabangsa sahaja.
Mahu tidak mahu, kita kena ambil pendirian dan lihat pembuatan filem itu, khususnya di Malaysia sebagai satu usaha yang murni yang bertujuan untuk meluaskan pandangan masyarakat tentang isiu-isiu tertentu dan tidak sahaja dengan mengguna elemen seks sebagai daya penarik untuk filem yang dibuat.
Malah saya mahu menganggap bahawa sesebuah filem itu baik atau tidak baik dari segi relevannya kepada masyarakat, negara dan ugama untuk sesuatu ketika. Dan tidak ramai pengarah filem tempatan yang sedar tentang hakikat ini dan terus menghasilkan filem-filem yang langsung tidak ada kena-mengena dengan apa yang berlaku di negara kita sekarang.
Sebenarnya apa yang mahu dibincangkan di sini tidak lain satu pengajian tentang genre, atau jenis dan tidak lain, dan bagaimana ia telah diguna untuk mempelbagaikan penerbitan filem tempatan dari filem-filem remaja yang berkisar kepada masalah kemasyarakatan dan gelagat mereka, mengharung kehidupan yang serba moden dari kehidupan dalam kampung yang terkawal, kepada kehidupan yang bebas.
Sebab dalam bidang filem, maupun bidang lain seperti penulisan, senilukis dan sebagainya terdapat bermacam-macam jenis atau genre, dan genre filem yang mempunyai nilai patrotisme dan liberalisme merupakan dua dari banyak yang ada.
Dan seperti yang kita tahu bahawa kebanyakan filem-filem Melayu yang telah dibuat pada zaman dulu hampir semuanya adalah jenis drama masyarakat, tidak kira, drama moden atau purba. Dan ia adalah juga dalam bentuk drama muzikal sehinggakan terdapat beberapa genre yang dicampurkan untuk menjadi sebuah genre khas untuk filem Melayu.
Ini sebenarnya adalah pengaruh dari filem-filem dari India yang telah diserapkan ke dalam filem Melayu oleh pengarah dari Madras yang telah didatangkan oleh pihak studio di Singapura.
Malah filem awal yang dibuat di Hong Kong juga mengguna cara seperti ini dan terdapat banyak adegan nanyian dan tarian dalamnya, tetapi lama-kelamaan pembuatan filem seperti ini telah diberhentikan. Ini disebabkan cara pembuatan filem seperti ini dianggap tidak sesuai untuk penonton Cina di negara tersebut, walaupun ia mendapat pengaruh dari opera kelasik Cina yang sering mempunyai adegan tarian dan nyanyian.
Semua filem Melayu yang diterbitkan sejak dulu lagi mempunyai sedikit-sebanyak pengaruh baru atau asing dalam pemikiran kita. Ini selalunya diadakan secara sengaja atau tidak sengaja. Dan kalau kita cuba untuk melihat semua filem-filem tersebut kita akan mendapati bahawa kebanyakan pengaruh atau elemen tersebut seperti yang baru dalam dunia kita. Dan ‘pembaruan’ inilah yang selalunya membuat ramai penonton mahu menonton filem.
Malah kalau kita lihat filem Melayu yang pertama iaitu ‘Laila Majnun’ sekalipun, kita akan mendapati elemen-elemen yang boleh dianggap sebagai liberal. Ia telah mempunyai adegan yang dulunya tidak boleh diadakan dalam persembahan pentas seperti bangsawan yang tidak menggalakkan pelakon lelaki dan wanita dalam keadaan yang tidak sopan.
Walaubagaimanapun, bila pelakon bangsawan diterima masuk ke dalam bidang filem, kesopanan dalam bangsawan seperti itu tidak diamalkan dan masyarakat tidak memandang serong kepada filem-filem yang mempunyai adegan sepasang lelaki-perempuan dalam keadaan yang kurang sopan itu.
Liberalisme dalam filem Melayu khsusunya berlaku oleh sebab pengarah filem yang membuatnya ketika itu tidak mengambil kira nilai sosial yang diamalkan oleh masyarakat ketika itu yang telah mempengaruhi kebudayaan Melayu amnya, yang juga memastikan pelakon perempuan memakai pakaian yang sopan juga dan tidak mendedahkan tubuh mereka.
Pengarah filem ketika itu telah terpengaruh dengan filem-filem yang mereka telah tonton dari Amerika dan menirunya bulat-bulat, dan juga.
Malangnya, mereka tidak mendapat tentangan dari mana-mana pihak Ini disebabkan ketika itu Malaya dan Singapura dijajah oleh Inggeris dan merekalah yang telah menentukan sikap dan filem yang macam mana yang boleh ditayangkan, walaupun terdapat banyak filem Melayu yang dibuat di Singapura yang boleh dianggap sebagai tidak sopan dan terlalu liberal lebih-lebih lagi dalam filem sosial yang mengguna tema kemasyarakatan dan yang membincangkan tentang nilai masyarakat seperti yang terdapat dalam filem seperti ‘Jiran Sekampung’ arahan Hussain Hanif dan sebagainya.
Sekarang ini filem-filem seperti yang menunjukkan lelaki dan perempuan Melayu mandi dalam sungai sebagai biasa, tetapi ia tidak dianggap biasa ketika itu; cuma yang tidak ada ketika itu ialah kawalan masyarakat ke atas pembuatan dan penayangan filem seperti yang ada sekarang. Dan ketika itu juga tidak mempunyai amalan kritikan dan analisa filem seperti yang kita ada sekarang. Ini memberi pengarah filem di zaman dulu kebebasan untuk menghasilkan karya mereka tanpa dikawal oleh sesiapa.
Dan sekarang fahaman liberalisme telah dihadkan dengan adanya Lembaga Penapisan Filem dan sebuah tradisi kritikan dan analisa filem dan individu-individu dan pihak lain yang memberi pentafsiran terhadap filem-filem yang dibuat, sehinggakan ada beberapa buah filem yang telah mencetuskan perbalahan bila pengarahnya dengan sengaja atau tidak, cuba untuk membuat sesuatu secara berlebih-lebihan.
Sebenarnya liberalisme dalam filem seperti yang berlaku sekarang berpunca dari kejahilan mereka yang menghasilkan filem-filem tersebut. Mereka tidak mempunyai asas ugama yang kuat, maupun asas pembuatan filem yang kukuh. Mereka boleh dikatakan membuat filem secara suka-suka dan menerima bulat-bulat fahaman liberalisme dari barat yang menekankan liberalisme seksual sahaja. Dan yang menyedihkannya ialah beberapa buah filem-filem seperti ini yang telah dibuat oleh pengarah filem Melayu sendiri.
Oleh itu sekiranya pengarah filem mahu menghasilkan apa-apa filem, tidak kira jenis atau genrenya, dia kena angkat fahaman patriotisme dan liberalisme secara halus dan tidak secara membuta-tuli atau melulu sehinggakan mereka terlupa daratan dan menghasilkan filem-filem yang membuka tubuh dan bukan pemikiran supaya ia luas.
Biar terbuka atau liberal dalam pemikiran dan bukan liberal atau terbuka dari segi lagak dan pakaian. Dan patriotisme mesti juga dianggap sebagai semangat mahu majukan diri sendiri, supaya filem yang dihasilkan itu halus dan mendekati jiwa masyarakat dan ia tidak kelihatan seperti filem-filem yang ditiru bulat-bulat dari filem yang telah lama dulu diterbitkan di barat yang menunjukkan adegan sumbang dan watak-watak dengan perangai mereka yang menjolok mata.
Jadi inilah yang bakal menentukan samada sesebuah filem itu boleh diangkat sebagai filem tempatan yang penting walaupun ia tidak diberi sebarang anugerah dalam pesta filem antarabangsa yang rata-rata mengguna kayu ukur yang berbeza dan berlainan dari kayu ukur kita sendiri.
Dan tidak menghairankan bahawa semua filem kelasik dunia adalah jenis filem yang liberal dari segi pandangan tetapi tidak dari segi nilai yang tidak bermoral atau ‘kelucahannya’.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan