Ahad, 25 Disember 2011

KENAPA FILEM MELAYU TIDAK PERGI JAUH: SELAGI KEMENTERIAN DAN FINAS TOLAK KEHADIRAN SARJANA FILEM, PERUSAHAAN TIDAK AKAN MAJU.
Oleh Mansor Puteh







Tajuk ini sebenarnya memberi segala jawapan yang terkandung dalam tulisan saudara hari ini.
            Dan penekanan mesti dibuat terhadap kehendak dan keperluan sarjana filem, khususnya mereka yang telah mendapat pendidikan dalam bidang perfileman di luar negeri.
            Kita sebenarnya tidak mempunyai ramai pakar dalam bidang perfileman, tetapi kenapa kehadiran mereka tidak disenangi oleh kementerian dan Finas.
            Malah ada usaha sarjana filem disabotaj oleh Finas sendiri - maksud saya Finas Lama, bukan Finas Baru.
            Saya telah menghasilkan sebuah filem berjudul, 'Seman'. Ia akhirnya ditayang di Astro.
            Tetapi sebelum itu filem ini telah dijemput ke beberapa buah pesta filem antarabangsa yang tidak pernah menjemput dan menayang filem kita.
            Bagaimanapun Finas Lama tidak bantu dan saya kena membiayai semua perbelanjaan untuk menayang filem saya di sana termasuk kehadiran saya ke pesta filem itu.
            Malah ada beberapa buah pesta filem yang telah menjemput atau mahu menjemput filem saya tetapi Finas Lama menghalangnya.
            Pusat Kebudayaan Soviet di Jalan Ampang mahu hantar filem ini ke Pesta Filem Moskow di Rusia, dan mereka perlu surat pengakuan dari Finas Lama. Tetapi Finas Lama enggan memberinya, walaupun Finas Lama tidak perlu membayar apa-apa untuk menghantar filem saya ke sana.
            Pesta Filem Kolkata (dulunya Calcutta) mahu menayang filem saya dan mereka telah hantar surat ke Finas Lama tetapi Finas Lama tolaknya.
            Yayasan Jepun atau Japan Foundation di Tokyo mahu membeli satu salinan filem saya untuk ditayang bersama beberapa buah filem Melayu lain di lima buah bandaraya di Jepun dengan menjemput saya, tetapi Finas Lama tolak dan suruh pilih filem lain.
            Walhal, saya mendapat pinjaman RM50,000 untuk membuat filem ini.
            Dan filem saya juga tidak jemput untuk menyertai Pesta Filem Malaysia dalam tahun 1989 dahulu. Saya senyap-senyap memasukannya terus kepada pihak penganjor. Ini memeranjatkan Finas Lama.
            Jadi bukan filem Melayu tidak ada tempat di luar negeri, cuma sikat pegawai dan Finas sahaja yang menghalang perusahaan filem kita dari maju.
            Dan sehingga kini Finas dan kementerian tidak menyenarikan nama mereka yang pernah mendapat pendidikan dalam bidang perfileman dari universiti di luar negeri.
            Kenapa agaknya, sedangkan jumlahnya tidak besar, setakat satu dozen orang sahaja.
            Tidakkah kementerian dan Finas mahu bertemu dengan mereka dan minta pandangan mereka?
            Kenapa kementerian dan Finas asyik dengan persatuan pengeluar filem sahaja dan mahu pandangan dari mereka sedangkan penerbit filem tempatan rata-rata tidak berkelayakan dalam bidang ini.
            Perlu ditekankan di sini bahawa filem tempatan hampir semuanya memaparkan pemikiran setakat Tingkatan Tiga sahaja. Kalau dalam bidang penulisan novel, ia boleh dianggap sebagai novel picisan. Jadi filem tempatan hampir semua jenis filem picisan yang tidak mempunyai pemikiran tinggi.
            Malangnya mereka yang tidak pakar dalam bidang ini tidak tahu menilai filem dan tertarik dengan adegan luarbiasa dan terlupa ia adalah biasa di barat. Oleh sebab itu filem mereka tidak diterima di luar Malaysia maupun di dalam negeri.
            Selagi Kementerian dan Finas Baru tidak adakan satu rancangan khas untuk mengembeling tenaga dikalangan pakar dan sarjana filem khususnya dari mereka yang telah mendapat pendidikan dari universiti ulung di luar negeri, selagi itu perusahaan filem kita tidak akan maju.
            Sebab akhirnya orang yang boleh memajukan perusahaan filem adalah sarjana dan pakar, dan bukan pengusaha biasa yang menyamar sebagai penerbit filem.
            Perlu diingatkan di sini bahawa sarjana filem telah mendapat pinjaman dari agensi kerajaan untuk membiayai pendidikan mereka di Amerika dan negara asing, dan sekarang merekapun mesti mendapat pinjaman lain untuk menerbit filem mereka.
            Alangkah sedihkan sebab kelayakan mereka dipandang sepi. Dan kehadiran mereka tidak diiktirafkan. Jadi sukar untuk orang awam menyatakan bahawa kementerian dan Finas Baru beria-ia mahu memajukan perusahaan filem sedangkan mereka tidak mengiktiraf kehadiran sarjana filem kita.
            Saya bertuah sebab permohonan saya untuk mendapat pinjaman penerbitan dari Finas Baru dan kementerian telah disokong oleh Pejabat Perdana Menteri. Dan kementerian juga telah memberi saya biasiswa untuk menyiapkan filem saya yang berjudul, 'Malaysian Snow' untuk membolehkan saya daftar filem saya sebagai tesis.
            Dan saya juga gembira universiti saya di Bandaraya New York sanggup menerima filem ini tanpa meminta skrip untuk dinilai.
            Ini bererti mereka menaruh harapan dari saya untuk menghasilkan sebuah filem yang lain dari yang lain.
            Oleh sebab filem ini dijadikan tesis untuk ijazah maka ia layak untuk masuk bertanding dalam pesta Student Academy Award. Saya juga yakin ia boleh dapat pengedaran di Amerika.
            Saya percaya penonton dan sokongan padu untuk filem Melayu/Malaysia bukan di Malaysia dan dikalangan orang Melayu, tetapi di Amerika dan Barat. Sebab profil Malaysia kian meningkat dan mereka mahu tonton filem kita. Tetapi malangnya kita tidak ada filem yang sesuai untuk mereka tonton.

Tiada ulasan: