Sabtu, 22 Jun 2013

PUSAT KEBUDAYAAN MALAYSIA DI JALAN BUDIKEMULIAAN, JAKARTA?

…DAN MASALAH MALAYSIA YANG GHAIRAH JEMPUT SENIMAN DARI INDONESIA YANG TIDAK MENDATANGKAN FAEDAH KEPADA PERHUBUNGAN DIANTARA KEDUA BUAH NEGARA YANG CUMA BERI ANDAIAN MEREKA ITU HEBAT DARI KITA.
Oleh Mansor Puteh.



Pusat Pelajar Malaysia (PPM) terletak di Jalan Budikemuliaan di Jakarta merupakan tempat yang pertama saya pergi sebaik sahaja saya tiba di Lapangan Terbang Halim-Perdanakasuma dalam bulan Mei, 1974 dahulu.

Di Indonesia perkataan ‘penuntut’ bererti orang yang menuntut dalam mahkamah dan bukan seperti di Malaysia ia mempunyai makna pelajar.

Jadi setiap kali saya kata saya seorang ‘penuntut’ orang di sini tanya, ‘Mahu tuntut apa?’

Ia terletak berhampiran dengan jalan yang lebih terkenal dan lebar iaitu Jalan T. H. Thamrin, nama seorang tokoh Kemerdekaan Indonesia dulu.

Dan tidak jauh dari PPM terletak menara Monumen Nasional yang dikenali dengan singkatannya, ‘Monas’, yang terpacak di tengah Laman Merdeka, dan dari tingkat tinjau, kita boleh lihat seluruh Kota Jakarta.

Dalam lawatan kedua saya ke Jakarta dalam tahun 1997, saya singgah ke PPM di Jalan Budikemuliaan. Tetapi bangunan dua tingkat PPM yang saya kenali dulu dimana saya menginap dengan kos yang begitu rendah, sudah ditutup.

Kerajaan Malaysia telah pindahkannya ke sebuah tempat yang lebih tersorok.

Dalam lawatan ketiga saya ke Jakarta, saya juga singgah di PPM lama tetapi saya mendapati bangunan yang kosong itu sudah dirobohkan dan terlihat hanya halamnya sahaja.

Seberang jalan darinya tersergam bangunan Bank Negara Indonesia.

Sebenarnya tempat dimana PPM lama terletak adalah di sebuah kawasan yang agak tinggi nilainya, di Jakarta Pusat.

Saya tidak tahu apakah rancangan yang kerajaan Malaysia ada untuk mengguna kawasan yang dulunya terletak PPM, yang kini terbiar.

Ia tidak diceroboh oleh orang tempatan sebab ia adalah kawasan atau hartanah yang dipunyai oleh kerajaan Malaysia, seperti dua papantanda yang dipacak di hadapan kawasan ini.

Tetapi saya terfikir tidakkah baik kalau kerajaan Malaysia bangunkan hartanah ini dengan mendirikan sebuah pusat kebudayaan.

Pusat Kebudayaan Malaysia Tunku Abdul Rahman di Jakarta memang kena pada tempatnya.

Ia boleh mentransformasi perhubungan diantara kedua buah negara untuk ditingkatkan ke suatu tahab yang lebih tinggi dengan pengaruh yang luas dan berkekalan. 

Ia boleh dijadikan sebuah komplek kebudayaan dan serbaguna yang juga boleh mempunyai galeri, dewan dan hostel untuk para seniman dari Malaysia yang berkunjung ke Jakarta dalam rangka lawatan membuat persembahan.

Dan ia boleh juga mempunyai beberapa pawagam yang boleh tayang filem-filem Malaysia untuk penonton di Jakarta yang sudah pastinya ingin menonton filem kita, yang mempunyai persamaan dan perbezaan yang jelas supaya akhirnya nanti, pembuatan filem di Malaysia dan Indonesia boleh bertukar corak yang mengambil kira pengelaman dalam sejarah kedua buah negara yang sejak dulu terikat dengan cengkaman penjajahan dari negara benua Eropah, dan sebagainya.

Tidakkah bagus kalau pusat kebudayaan seperti ini dibangunkan di Jakarta, dan kalau ia berjaya, maka sebuah pusat kebudayaan lain dapat dibangunkan di Jogjakarta dengan nama Pusat Kebudayaan Malaysia Tun Abdul Razak dan seterusnya di bandaraya-bandaraya utama lain seluruh Indonesia yang mengambil nama kesemua perdana menteri Malaysia, sehinggalah ke yang sekarang.

Masalah sosiologikal, psikologikal dan kebudayaan serta kesenian dan juga keilmuan dan keintelektualan boleh diatasi dengan adanya pusat kebudayaan seperti ini yang boleh mengalakkan pertembungan minda dikalangan dari Malaysia dan Indonesia.

Kalau ini tidak dapat dilakukan, maka jangan terkejut kalau perbalahan remeh-temeh yang dicetuskan oleh pihak-pihak serpihan dan sampingan di Jakarta akan berlaku, iaitu apabila mereka yang lebih arif dalam bidang kenegaraan dan keilmuan dan sejarah dipinggirkan oleh sebab mereka tidak diberi ruang untuk menukar pendapat.

Masyarakat di Indonesia sebenarnya akrab dengan masyarakat di Malaysia yang mereka rasa adalah saudara serumpun dan juga, lebih dari itu, seugama.

Tetapi dengan bergantung dengan sentiment bangsa dan ugama sahaja, perhubungan diantara kedua buah negara tidak mungkin boleh berlaku.

Kegiatan seharian sekitar kebudayaan, kesenian dan juga perfilem mesti digalakkan supaya segala persamaan diantara kedua buah masyarakat dan negara dapat digembelingkan, untuk menghasilkan perhubungan yang lebih akrab dan intim.

Malaysia sememangnya telah mencorak langkah untuk mengalakkan perhubungan erat diantara kedua buah negara.

Finas, sebagai contoh telah sering menjemput para seniman terbilang dari Indonesia sejak dekad 1980an dahulu sehingga sekarang, tetapi kesemua mereka itu datang ke Kuala Lumpur hadir acara yang dijemput dan apabila mereka balik ke Indonesia mereka tidak mempengaruhi pemikiran masyarakat di sana dan lebih dari itu, mereka tidak memperolehi sebarang apa faedah yang boleh menggerakkan mereka untuk menghasil filem atau karya seni mereka yang baru yang diserapkan dengan pengelaman Malaysia.

Finas telah menjemput pengarah dan pelakon terkenal dari Indonesia seperti Teguh Karya, Ariffin C. Noer, Christine Hakim, Slamet Rhardjo, Eros Djarot, Garin Ngroho dan Alex Komang.

Ramai pelakon dari Indonesia pernah berlakun dalam filem Malaysia.

Dan ini tidak termasuk para ilmuan dan sasterawan dari Indonesia yang dijemput menyertai seminar dan forum di Kuala Lumpur dan seluruh negara.

Malangnya, mereka tidak memberi sebarang kesan kepada perhubungan diantara Malaysia dan Indonesia.

Pengaruh dari pengarah filem Indonesia adalah sama dengan pengaruh dari filem barat yang pengarah tempatan dapat tiru, seperti pengarah di Indonesia turut tiru, semata-mata sebab ramai pengarah filem Malaysia tergila-gila mahu mendapat pengiktirafan dari barat yang tidak kunjung datang.

Dan tidak menghairankan juga ialah pihak di Indonesia tidak pernah menjemput mana-mana pengarah atau pelakon filem dan para ilmuan dari Malaysia untuk menghadiri acara kebudayaan, kesenian dan keilmuan yang mereka anjurkan.

Tidak salah kalau kita katakan bahawa usaha untuk mengeratkan perhubungan diantara Malaysia dan Indonesia hanya dilakukan oleh pihak di Malaysia sahaja yang mahukannya, sedangkan pihak di Indonesia berpeluk tubuh.

Malaysia sahaja yang tergila-gila mahu siar siri drama televisyen atau ‘sinetron’ dari Indonesia sedangkan stesen televisyen mereka enggan siar rancangan kita, kecuali siri animasi kanak-kanak ‘Upin & Ipin’ yang mendapat sambutan luarbiasa di Indonesia.

Itupun ia diusahakan oleh syarikat persendirian dan bukan dilakukan diperingkat kerajaan atau kementerian.

Ini cuma beri makna bahawa kalau ada perhubungan yang lebih erat dan akhrab, sudah pasti banyak lagi rancangan dari Malaysia dan Indonesia dapat disiar oleh stesen televisyen di kedua buah negara termasuk muzik dan lagu. 

Jadi tidak hairanlah kalau ada kumpulan pinggiran di Jakarta yang sering cetuskan perbalahan dengan Malaysia dengan menunjuk perasaan di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, oleh sebab mereka tidak diberi maklumat yang tepat tentang Malaysia oleh pihak di Indonesia khususnya dari kalangan pengkarya seni dan media mereka.

Jadi cara menjemput pengarah filem dan pelakon serta para ilmuan dari Indonesia itu sebenarnya tidak mendatangkan kesan, sedangkan kosnya adalah begitu tinggi.

Cara baru harus dikemuka dan digunakan untuk merapatkan perhubungan diantara masyarakat di Malaysia dan Indonesia.

Satu cara yang paling berkesan ialah dengan membuka Pusat Kebudayaan Malaysia Tunku Abdul Rahman di Jakarta bertempat di tapak PPM di Jalan Budikemuliaan.

Tindakan satu ini boleh mencetuskan pelbagai kegiatan dalam bidang kebudayaan dan kesenian yang akhirnya boleh menggerakkan ramai orang dikedua buah negara terlibat sama untuk menwujudkan persefahaman dan keikhlasan dalam perhubungan.

Dengan cara ini strategi baru boleh digunakan iaitu dengan membawa para seniman dan ilmuan dari Malaysia untuk pergi ke Jakarta dan ke seluruh Indonesia berbincang dan bekerjasama dengan pihak di sana.

Saya tidak dapat lihat apa yang kerajaan Malaysia boleh guna dengan sebidang hartanah di Jakarta Pusat, selain dari untuk ia diguna sebagai tapak sebuah pusat kebudayaan dan punca segala kegiatan yang boleh mendatangkan faedah.

Sudahlah cukup berdiplomasi dalam hal yang melibatkan kehidupan dan kemasyarakatan; diplomasi yang mementingkan pencurahan citarasa dan emosi serta semangat berkobar-kobar tetapi ia sekadar diplomasi sahaja.


Apa yang diperlukan untuk mewujudkan persefahaman diantara masyarakat di Malaysia dengan di Indonesia khususnya dan seluruh Nusantara Melayu adalah usaha yang jelas, konkrit yang berterusan, tanpa mempunyai elemen angan-angan Mat Jenin yang suka berkhayal tetapi tidak berani bangun dari dunia khayal untuk melihat dunia yang nyata yang memerlukan usaha.  

Tiada ulasan: