Sabtu, 18 Disember 2021

TIMES SQUARE DAN BROADWAY KEMBALI RANCAK DI BANDARAYA YANG SUDAH BANYAK BERUBAH…DAN PEMBUNUHAN JOHN LENNON

4. CATATAN KEEMPAT: 

(Pada 8 Disember ini genap empat-puluh tahun penyanyi utama kumpulan The Beatles, John Lennon ditembak mati di hadapan bangunan The Dakota di mana dia tinggal. Saya kebetulan sedang menonton televisyen sambil makan apabila sebuah berita laluan (crawler) yang baru sahaja diperkenalkan oleh stesen televisyen di Amerika mengumumkan yang beliau baharu sahaja ditembak mati. 

Keesokan harinya saya beli akhbar The New York Post dengan berita muka depan tentang kejadian itu, yang saya simpan sehingga sekarang.)

* * * * * * *

Pada tahun 1978 dulu, daerah hiburan dan teater yang paling terkenal di seluruh dunia terletak di New York bernama Broadway, kelihatan comot; dan banyak kedai di sini jual barang-barang lucah dengan pawagam tayang filem-filem lucah dengan lelaki jual dadah secara terang-terang. Dan jenis pelancong yang berkunjung di sini adalah yang dewasa.

Tetapi tidak lama kemudian mulai dalam dekad 1980an Datuk Bandaraya New York ambil tindakan untuk bersihkan seluruh kawasan ini dari ia dikenali sebagai 'pusat hibura orang dewasa' kepada 'pusat hiburan keluarg' dan semua kedai yang menjual barang-barang lucah dan pawagam yang menayang filem lucah juga ditutup dan tempatnya diambilalih oleh perniagaan biasa.

Dengan daerah Broadway yang terletak di dalamnya, Times Square atau Medan Times berjaya bertukar corak dengan sekarang ini menjadi pusat tumpuan ramai orang yang datang ke sini semata-mata olehsebab namanya, sedangkan apa yang ada di sini sebenarnya hanya ruang kosong yang tidak begitu luas dengan kedai menjual barang berjenama dan puluhan dewan untuk persembahan teater Broadway.

Saya sempat menonton drama 'Evita' dalam tahun 1981 dahulu dan itupun untuk persembahan matinee pada hujung minggu yang menjual tiket dengan harga yang rendah tetapi mengguna pelakun sampingan, sebab pada masa itu pelakun utama berihat.

Pernah berlaku Duta Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Zain Azraai buat sedikit kecoh apabila dia dengan sengaja tinggalkan kereta rasminya di Times Square beberapa hari sehinggakan pihak media siar gambar kereta itu dengan bertanya, kenapa ia terletak di situ.

Zain Azraai dengan sikap yang pelik yang disengajakan beritahu ia adalah helah untuk mendapatkan publisiti untuk negara di media di New York.

Dan berbeza dengan dulu, sekarang ini juga terdapat banyak restoran yang menghidang makanan halal dan juga trak makanan halal dihampir semua simpang di seluruh bandaraya ini; dan saya dapat tahu orang yang memilikki perniagaan ini ialah seorang lelaki Bangladesh.

Dulu langsung tidak orang dari Bangladesh di New York tetapi sekarang mereka ada di mana-mana.

Dan kalau dulu cuma ada dua buah masjid yang terletak di dalam ruang kedai, tetapi sekarang sudah ada lima ratus masjid di seluruh bandar dengan beberapa kawasan di semua daerah di New York mempunyai daerah Arab, Bangladesh dan masyarakat Islam termasuk di Astoria di daerah Queens di mana saya menetap dahulu.

Malahan kita juga akan lihat semua perniagaan menjual buah-buahan dan pengedaran suratkhabar dan majalah juga dikuasai oleh orang Bangladesh.

Saya juga dapat melihat lelaki dan juga perempuan Bangladesh menjadi pegwai polis. Kebanyakan mereka datang ke sini dengan mendapat 'kad hijau' atau 'green card' yang diberi kepada mereka yang menang dalam cabutan beruah yang dijalankan oleh pihak berkuasa di Amerika.

Jadi tidak hairan, ada beberapa orang Bangladesh di Malaysia yang saya kenal bekerja di stesen minyak selalu tanya kalau saya boleh bantu mereka untuk pergi ke Amerika. 

Pemandangan yang paling memberangsangkan pada saya ialah bila Hari Raya Puasa, masyarakat Islam di sini bersembahyang di jalan mengisi setiap ruang yang ada sebab jumlah mereka begitu ramai sekarang.

Saya teringat pertama kali datang ke New York pada hujung Ramadan dan pergi sembahyang Hari Raya yang diadakan dalam dewan sebuah hotel utama di sini iaitu Wardorf-Astoria Hotel dan jumlah masyarakat Islam ketika itu tidak besar sangat.

Satu sahaja yang saya mahu lihat berlaku di Broadway dan Times Square ialah untuk melihat sebuah persembahan teater tentang pengelaman Melayu dipersembahkan sebab tentu ada banyak bahan tentang sejarah dan kisah orang Melayu yang dapat dijadikan persembahan pentas di Broadway untuk bakat senilakon dan pengarahan dan penulisan skrip bergabung untuk menghasilaknnya; sama juga dengan mereka yang terlibat dalam bidang perfileman mendapat tempat di Hollywood menerbit dan mengarah filem di situ.

Tidakkah baik juga kalau kita mempunyai sebuah daerah teater dan hiburan umum di Kuala Lumpur? Saya nampak ada sebuah tempat yang sesuai untuk dibangunkan daerah ini yang terletak berhampiran dengan dua stesen keretapi dan monorel.

























(Panggung di mana persembahan teater 'Evita' diadakan pada tahun 1980an dulu di daerah Broadway/Times Square dan daerah sama sekarang dan Times Square pada tahun 1978.)






Tiada ulasan: