Selasa, 17 Januari 2012

AMMAN, BANDARAYA BANYAK MENYIMPAN PENINGGLAN ZAMAN SILAM.

Oleh Mansor Puteh




Sebuah panggung terbuka lama (ampitheater) tersergam luar jendela hotel saya di bahagian selatan bandaraya.  Ia mirip rekabentuk panggung terbuka lama seperti yang terdapat di Bandaraya Rom di Itali, seperti Panggung Coliseum yang terkenal seluruh dunia itu.  Tetapi, yang anihnya, saya bukan berada di bandaraya Itali ini, tetapi di Bandaraya Amman, ibunegara Jordan di Timur Tengah.

Tersentak juga sebab ia kelihatan seperti janggal dan tidak kena pada tempatnya.  Sebab masakan sebuah binaan zaman Rom boleh terletak di tengah-tengah Bandaraya Amman yang rata-rata mempunyai pengaruh Islam, tanya hati saya.

Saya tidak perasaankan kewujudan bangunan zaman silam Rom itu yang terletak berhampiran dengan hotel di mana saya menginap, walaupun saya sudah berada di sini beberapa hari. 

Saya cuma perasaankannya apabila saya mendongak ke atas bumbung dan terlihat imej panggung itu. Ketika itu pula matahari bersinar dengan kuat, dan pantolan cahaya dari batu-batu bangunan itu menarik perhatian.  Baru saya sedar bahawa saya berhadapan dengan sebuah binaan yang unik dan lain dari yang lain.

Jadi, sayapun berbungkas keluar dan pergi ke panggung itu di seberang jalan.  Saya rasa hairan dan kagum melihat binaan beribu-ribu tahun zaman kerajaan Rom yang masih terletak dalam keadaan yang begitu baik sekali.

Matahari menyinar dengan kuat hari itu dan suhu cuaca agak tinggi, sama seperti di negara kita.  Tetapi, oleh sebab kadar ‘humidity’ tidak begitu tinggi, kita kurang berpeluh walaupun berjalan dengan rancak.

Inilah cuaca di Amman sekarang, iaitu ia sudah melepasi musim panas (summer) dan kini berada di hujung musim gugur (autumn atau fall).  Tidak beberapa minggu lagi musim sejuk akan muncul dan seluruh kawasan akan disaluti kabus sehingga suhu turun ke paras sejuk.  Ketika ini juga, mungkin salji akan jatuh ke bumi seperti biasanya berlaku.

Di panggung terbuka it terdapat kerja-kerja ubah pulih yang telah dijalankan, dan ini memberi kesan yang baik sehinggakan panggung itu sebenarnya masih diguna oleh kumpulan kesenian dan kebudayaan negara ini khusus untuk pelancung yang datang berduyun-duyun untuk melihat kesan peninggalan kerajaan Rom itu.

Pelancung dari seluru pelusuk dunia dan negara ini juga bersiar-siar sambil mengambil gambar. Ada yang sedang duduk bersenangan sesama sendiri.

Bangunan ini merupakan bangunan yang paling menarik sekali untuk mewakilli zaman Roman yang masih ada di Jordan sekarang.

Ia mempunyai tempat duduk untuk 6,000 penonton. Dan seluruh panggung lama ini telah dibina di lereng sebuah bukit yang mana telah diukir sedemikian rupa.

Dan di bahagian depan terdapat sebuah pentas di mana gambar Raja Abdullah yang baru sahaja menaikki takhta kerajaan Jordan diletakkan. Ia berukuran besar dan berwarna. Raja Abdullah mengambil alih teraju pemerintahan kerajaan Jordan akibat kemangkatan ayahandanya allahyarhum Raja Hussein beberapa bulan lalu.

Di sebelahnya terdapat sebuah panggung kecil untuk 500 orang penonton.  Panggung ini diberi nama Odeon, sudah dipulih seluruhnya dan diguna untuk persembahan kebudayaan. Ia dibina dalam tahun 200 selepas mesihi atau A.D.

Di tepi panggung lama ini juga terdapat sebuah Muzium Kesenian Jordan di mana banyak pakaian, alat muzik dan kerjatangan lama dipamir.

Tidak jauh dari panggung Rom ini yang dikenali dengan nama ‘Roman Ampitheater’ di kawasan ‘downtown’ atau selatan Bandaraya Amman, iaitu di suatu daerah lama, terletak pejabat pelancungan.

Dan di hujung lain pula terdapat sebuah muzium lain iaitu Muzium Tradisi Popular Jordan. Di sini terdapat perhiasan badan dan sulaman serta barang-barang rumah dan jubin (atau mosaic) dari bandaraya Madaba yang terkenal dengan berbagai jenis jubin dan rekabentuk yang diperbuat dari jubin-jubin untuk menggambarkan kisah-kisah serta tokoh zaman silam.

Jadi, sayapun pergi ke situ untuk mendapat maklumat dan risalah tentang panggung lama Rom itu. Baru saya sedar bahawa sebenarnya negara Jordan, malah seluruh kawasan Timur Tengah ini sebenarnya pernah ditakluki oleh kerajaan Rom beribu-ribu tahun lalu.

Tetapi, pemerintahan kerajaan Rom tidak dapat bertahan dan ia terjatuh kepada kerajaan Islam sehingga sekarang.

Dan di sebelah sana, di atas puncak bukit berhadapan dengan panggung lama Rom itu kelihatan kesan peninggalan bangunan atau rumah sembahyang lama Rom. Malah, boleh dikatakan seluruh kawasan selatan Amman ini sebenarnya merupakan pusat kerajaan Rom dulu-kala.

Tetapi, kebanyakan bangunannya telah runtuh dan yang tinggal cuma panggung lama dan kuil mereka, yang dikenali dengan nama ‘Citadel’ atau Rumah Kuil Hercules yang telah semasa zaman pemerintahan Marcus Aurelius dan Lucius Verus diantara tahun 161 hingga 169 A.D. atau selepas mesihi.

Walaupun ia tidak nyata, tetapi ia dianggap sebagai Rumah Kuil Hercules oleh pengkaji sejarah.

Ia sebenarnya dikelillingi oleh sebuah benteng yang telah wujud sejak Zaman Pertengahan Tembaga (Middle Bronze Age) iaitu 2,000 sebelum mesihi atau B.C. dan Zaman Besi pada 8,000 B.C. hingga ke zaman Rom dan Islam.

Tidak hairankanlah kalau dalam kawasan benteng ini terdapat bangunan peninggalan dari semua zaman tersebut, termasuk ‘Citadel’ dan mesjid serta istana sultan Islam.  Kesemua bangunan ini masih terdapat dalam bentuk yang jelas.

Istana Omayyad masih kelihatan kesannya.  Malah ia kelihatan lebih kukuh dari semua bangunan yang terdapat di situ.  Ia dibina dalam tahun 720 A.D. semasa zaman pemerintahan kaum Arab.

Fungsi bangunan ini sebenarnya tidak begitu nyata, tetapi dari rupabentuk bangunan ini ia adalah sebuah istana.

Cuma bangunan ‘Citadel’ itu sahaja yang kelihatan agak usang; dan apa yang dapat dilihat cuma tiang-tiang bahagian depan bangunan dan dinding-dinding yang tidak ketara bentuknya.

Sementara itu, bangunan mesjid masih mempunyai kubah dan ia termasuk bangunan istana lama lebih kukuh. 

Kerja-kerja restorasi dijangka akan mengambil beberapa tahun sehingga semua bangunan di dalam kawasan ini dipulih semula.

Selain dari itu, terdapat juga sebuah Muzium Arkeologi Jordan di dalam kawasan ini. Dan di sini terdapat barang-barang peninggalan zaman silam semua pemerintahan, dan ia dibuka untuk pelancong.

Diantara barang-barang penting dan menarik terdapat di dalam muzium ini ialah Tulisan Lautan Mati atau lebih dikenali dengan nama ‘Dead Sea Scroll’ yang telah dijumpai dalam tahun 1952 di Lautan Mati.  Ianya mengisahkan tentang khazanah yang tersimpan di Tebing Barat Sungai Jordan dan lain-lain.

Dari bawah lagi, kita sudah boleh dapat melihat benteng yang menglillingi puncak bukit. Oleh sebab ia diperbuat daripada batu, maka ia dapat bertahan masa.

Jadi, sayapun mendapatkan teksi dan daki bukit itu yang mempunyai nama Bukit Qallah di mana terdapat Rumah Ibadat atau ‘Citadel’ Hercules dengan beberapa tiang bangunan terpacak ke udara.  Ia dapat dilihat dari jauh, dan merupakan mercu tanda untuk kawasan ini.

Tidak sampai lima minit saya sudah tiba di puncak bukit itu.  Oleh sebab bukit itu agak curam, jadi saya tidak sanggup untuk mendakinya, walaupun perjalananya tidak begitu jauh.

Setibanya di puncak bukit di mana terdapat bangunan ‘Citadel’ itu, saya dapat perhatikan betapa luasnya kawasan itu.

Sememangnya tembuk yang mengelilling kawasan ini begitu luas.  Dan ia merupakan satu komplek sejarah lama, yang mempunyai banyak bangunan disamping ‘Citadel’ itu. Ada juga sebuah mesjid lama dan istana sultan zaman lampau.

Kerja-kerja pengubahsuaian sedang giat dilakukan. Dan saya dapat melihat pekerja-pekerja Arab asyik mengali dan menyusun batu-batu untuk membentukan semula bangunan-bangunan lama yang berusia beribu-ribu tahun.

Dari sudut atas ini, kita dapat melihat pemandangan di selatan Amman dan di sekitarnya.

Sebenarnya Bandaraya Amman terletak di suatu kawasan di mana terdapat 19 bukit atau ‘jebel’ dalam Bahasa Arab.

Cuaca ketika itu begitu nyaman sekali dan saya dapat melihat sehingga ke horizon. Rumah-rumah kediaman yang diperbuat daripada batu terletak di lereng bukit dengan jalan-jalan menjalar di tepi-tepinya.

Inilah agaknya pemandangan di sini yang tidak banyak berubah sejak zaman lampau. Cuma sekarang ini, saya diberitau terdapat lebih banyak rumah kediaman dan pejabat. Dan kerja-kerja pembuatan rumah dan bangunan pejabat serta hotel dapat dilihat dilakukan.

Walaupun Bandaraya Amman tidak begitu besar, tetapi jumlah penduduknya boleh dikatakan agak besar juga, iaitu 1.4 juga orang.  Ini berbanding dengan jumlah penduduk seluruh negara Jordan sebanyak 4.5 juta orang.

Nama asal Amman sebenarnya seperti yang terdapat dalam rekod tertulis ialah Rabbath-Ammon, iaitu ibunegara bangsa Ammon lebihkurang 1200 B.C. sebelum mesihi. Bagaimanapun, kesan-kesan peningalan zaman itu tidak banyak dapat diperolehi lagi. Ini disebabkan kebanyakan bangunan telah runtuh semasa gempa bumi atau dimusnahkan oleh kerajaan lain yang menaklukki mereka.

Semasa zaman pemerintahan Ptolemy Philadelphus diantara 283-246 B.C. bandaraya ini telah dibangunkan semula dan diberi nama Philadelphia sempena nama pemerintahnya.

Apabila bandaraya ini ditakluki pula oleh Raja Herod dalam tahun 30 B.C. pula, ia menjadi sebahagian daripada Empayar Roman.

Oleh sebab itu bandaraya Philadelphia termasuk diantara 10 buah bandaraya Greco-Roman termasuk bandaraya-bandaraya lain seperti Damascus, Pella, Gerasa (yang dikenali dengan nama Jerasli sekarang) dan Gadara (Um Qeis sekarang).

Kawasan bandaraya sejarah ini sebenarnya seluas tujuh bukit sahaja.  Tetapi, sekarang ini ia sudah seluas sembilan-belas bukit semuanya dengan penambahan penduduk akibat dari penghijrahan oleh penduduk luar bandar dan kedatanan penduduk Palestin yang telah diusir dari mereka sendiri oleh Israel, dan pertumbuhan ekonomi.

Disamping peninggalan dari zaman Yunani, Rom dan lain-lain, terdapat juga bangunan lama yang telah didirikan semasa zaman Islam seperti Mesjid Raja Abdullah yang telah diubahpulih dalam tahun1987 dulu. 

Sebenarnya mesjid ini terletak di tapak sebuah mesjid lama yang telah didirikan semasa pemerintahan Khalifah Kedua Islam Omar Ibn al-Khattab dalam tahun 640 A.D. dulu. 

Inilah Bandaraya Amman di Negara Jordan yang sudah berusia beribu-ribu tahun, tetapi tidak menunjukkan keuzuran usianya, sebab sebenarnya bandaraya ini moden. Ia mempunyai bangunan pejabat dan komplek serta bangunan penginapan yang kelihatan baru, tetapi sebenanya kebanyakannya sudah berusia lanjut.

Kalau kita mempunyai banyak masa, sudah pasti kita boleh menerokai lebih banyak kawasan yang menarik seluruh Amman dan dapat mengetahui akan sejarah gemilang bandaraya ini yang pernah diperintah oleh beberapa kerajaan, sehingga ke kerajaan Islam yang kekal sehingga kini.

Dan yang membuat kita rasa aman dan tenang di bandaraya ini ialah, penduduknya begitu ramah dan tidak menganggu orang asing terutama sekali pelancung. Dan kadar jenayah juga begitu rendah.  Kita tidak takut untuk bersiar-siar seorang diri walaupun kita tidak faham berbahasa Arab.

Saya tidak kuatir bersiar walaupun lewat malam. Khususnya di kawasan sejarah di selatan bandaraya ini, suasana begitu terang walaupun sudah lewat hari. Ada sahaja orang bersiar-siar di kaki-lima.

Lagu-lagu Arab moden dan tradisional kedengaran dan ini turut memberi ketenangan dan keamanan.  

Tiada ulasan: