Ahad, 1 Januari 2012

DARI HANTU KE HANTU – PERKEMBANGAN YANG MENAKUTKAN.

Oleh Mansor Puteh



Sejak kebelakangan ini ramai pengarah filem asyik membuat filem hantu, dan ia adalah hantu yang bermacam jenis.

Adakah ini yang mahu digalakkan oleh kerajaan, maksudnya kementerian kebudayaan, kesenian dan warisan (Kekkwa), Finas dan penonton filem Melayu semua?             Tidakkah salah kalau pengarah filem  ‘guna’ dan ‘minta’ hantu untuk menjayakan kerjaya mereka?

Salahkah kalau ada orang kata, seseorang pengarah filem itu berjaya dan mendapat kekayaan dengan atas ‘bantuan hantu’?

Ini tidak salah sebab inilah yang berlaku.

Sebenarnya perkembangan perusahaan filem Melayu masuk ke dalam ‘era hantu’ ini menghantui fikiran ramai orang di dalam dan di luar perusahaan filem itu sendiri, khususnya mereka yang lebih matang pemikiran dan tinggi pendidikan mereka.

Adakah ini sahaja yang dapat disajikan oleh pengarah filem tempatan?

Dimanakah peranan Kekkwa, yang sepatutnya mengalakkan filem-filem dan karya seni yang berasaskan kebudayan, kesenian dan nilai warisan – sebab inilah nama kementerian tersebut dan bukan ‘kementerian kebudayaan, kesenian dan warisan hantu’ atau Kekkwah.

Sepatutnya Kekkwa dan Finas tidak galak sesiapa untuk membuat filem jenis hantu sebab ia bukan fungsi mereka.

Fungsi Kekkwa dan Finas adalah untuk menggalakkan filem-filem yang bermutu yang mempunyai nilai kebudayaan, kesenian dan warisan. Dan warisan di sini tidak termasuk warisan ‘hantu’ kita, yang sepatutnya dipinggirkan dan kalau ada sesiapa yang masih berminat untuk menerbit filem jenis hantu, mereka mesti cari sumber pinjaman kewangan dari pihak lain.

Tugas Kekkwa lebih murni dan mulai dari itu; ia adalah kementerian yang telah dibentukkan untuk memain peranan yang lebih tinggi.

Saya harap filem-filem hantu tidak dapat diterima bertanding dalam pesta filem Malaysia akan datang. Dan walaupun ia menang anugerah di pesta filem luar negeri, ia boleh dianggap sebagai kejayaan sampingan yang tidak penting untuk kita. Ia hanya penting untuk pengarah filem itu sahaja.

Dan kalau ada filem-filem tempatan yang memaparkan kebudayaan picisan, ia juga tidak mesti dihebohkan. Filem-filem yang dimasukkan ialah jenis yang mencemar budaya dan yang telah diharamkan atau disuruh tapis oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF), sebab ia tidak boleh dianggap sebagai satu kejayaan yang harus dibanggakan.

Kejayaan seperti itu boleh disamakan dengan kejayaan mana-mana gadis Malaysia yang telah menang pertandingan Ratu Bogel Dunia. Mahukah kita rasa bangga dengan ‘kejayaan’ mereka itu, walaupun gadis itu telah menang anugerah di peringkat dunia dan mungkin mendapat ganjaran dalam bentuk kewangan yang besar?

Ada beberapa buah filem tempatan yang rata-rata tidak disenangi di Malaysia telah mendapat pengiktirafan murah di luar negeri dan ia telah juga digempar-gempur dan dihebohkan oleh Finas dan Kekkwa, seperti filem-filem yang memaparkan adengan separa lucah dan sebagainya.

Saya rasa ini tidak sesuai dilakukan sebab ia seperti membelakangkan kehendak masyarakat awam dan keputusan yang telah dibuat oleh LPF.

Kekkwa dan Finas cuma harus mengheboh dan rasa bangga dengan filem Melayu yang bermutu tinggi yang disanjung oleh masyarkat tempatan kalau ia turut mendapat pengiktirafan di luar negeri.

Berbalik kepada filem hantu yang sekarang ini dibuat dan ditayang dengan begitu kerap. Perlu diingatkan di sini bahawa ia bukanlah satu perkembangan yang sihat. Ia tidak menguntungkan perusahaan filem tempatan atau meluaskan pemikiran penonton. Jadi, adalah salah untuk Finas dan Kekkwa sokong pembuatan filem seperti ini.

Malah pengedarannya harus diberi keutamaan yang ke belakang berbanding dengan filem-filem lain dan masa tayangannnya pula diberi untuk masa-masa tertentu dan filem-filem seperti ini tidak boleh ditayangkan pada waktu siang hari.

Lebih dari itu semua filem hantu mesti mendapat sijil 18L, iaitu untuk penonton berumur lapan-belas tahun ke atas, sebab ia tidak baik untuk kanak-kanak.

1 ulasan:

the indie story berkata...

Tulisan yang sangat baik. Tulisan ini telah dibaca oleh aku. Tq Brother! Wassalam.