– SISA PENINGGALAM ZAMAN KONFRONTASI DIANTARA MALAYSIA DAN INDONESIA ?
Oleh Mansor Puteh
Semasa saya menyertai pesta filem antarabangsa Fajr di Tehran, Iran dalam bulan Februari, 1994 dulu saya telah duduk semeja dengan pengarah dari Indonesia bernama Eros Djarot bersama beberapa rakan dari Iran. Kedua kami telah dijemput untuk menayang filem kami iaitu ‘Seman’ dan ‘Tji Nya Dhoen’ serta membentang kertas kerja dalam Persidangan Pengarah Filem Muslim Pertama yang diadakan sempena pesta filem itu.
Eros bertanya saya berasal dari mana? Dia tidak tahu yang saya berasal dari Malaysia berketurunan Melayu dan saya sengaja bertutur dengannya dalam bahasa Inggeris seketika.
Kemudian saya beritau dia saya dari Malaysia . Dia agak hairan, seperti peserta lain dari banyak negara yang turut menghadiri pesta dan persidangan itu.
Dan sayapun mula bercakap dalam Bahasa Melayu dengan Eros. Saya ingin melihat tindakan dari orang lain. Ternyata sekali ini memeranjatkan rakan kami dari Iran yang rasa agak pelik kenapa orang dari Malaysia dan Indonesia boleh bertutur dalam satu bahasa yang sama, walhal kami berasal dari dua buah negara berlainan.
Apa yang mereka tidak tahu ialah Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia sebenarnya sama – Bahasa Melayu.
Mereka juga tidak tahu bahawa Dunia Melayu meliputi beberapa negara di Tenggara Asia . Dan mereka bukan orang di Barat seperti di Eropah atau Amerika, tetapi di Dunia Islam sendiri. Pada saya, ini mencerminkan betapa kurang pengetahuannya umat Islam tentang Dunia Islam kita sendiri.
Malah, tidak ramai orang Arab sendiri tahu bahawa Melaka merupakan pusat perkembangan Islam yang paling penting di Nusantara Melayu atau Tenggara Asia pada satu ketika dahulu. Sejarah ini langsung tidak diketahui oleh mereka. Mungkin juga ramai orang Arab dan Iran tidak sedar orang Melayu di Malaysia dan Indonesia berugama Islam.
Tapi saya percaya ramai mereka tahu siapakah pereka fesyen, penyanyi dan pelakon utama di Hollywood , walaupun mereka tidak dapat menonton filem-filem mereka di pawagam tempatan.
Malaysia dan Indonesia tidak mengguna nama Bahasa Melayu, tapi panggilnya Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia mengikut tuntutan kebangsaan tesendiri mereka tanpa menghiraukan akan tuntutan bahasa dan sejarah serga bangsa, dan ia dilakukan oleh pemimpin kanan kedua buah negara untuk menghasilkan kesan tertentu iaitu merapatkan rakyat negara masing-masing.
Malangnya, tindakan ini telah mengakibatkan perpecahan dalam Bangsa Melayu itu sendiri sehinggakan orang di Barat khususnya, tidak kenal siapa atau apakah Bangsa Melayu itu. Mereka tidak tahu tentang Rumpun Melayu dan Nusantara Melayu.
Ini juga sudah pasti amat mengelirukan orang lain yang tidak tahu kenapa perkara seperti ini berlaku.
Tentu sekali orang Melayu di Singapura dan Brunei pula sudah pasti tidak akan berkata mereka bertutur dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Indonesia tetapi Bahasa Melayu sahaja.
Apa yang dikatakan Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia itu adalah terminology politik; ia diperkenalkan oleh kedua buah negara semata-mata untuk membezakan bahasa tersebut seperti merekalah yang melahirkannya, walhal ia adalah satu perbalahan yang songsang.
Indonesia memperkenalkan Bahasa Indonesia mereka dalam tahun 1947 semasa negara itu mencapai kemerdekaan dari Belanda sementara Malaysia memperkenalkan Bahasa Malaysia dalam tahun 1963 bila negara baru bernama Malaysia ditubuh dengan menerima kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura.
Tetapi perkara ini kurang mendapat penerimaan dengan begitu tegar lagi sehinggalah tercetusnya perbalahan politik dan fahaman atau ideologi diantara Malaysia dan Indonesia yang dikenali dengan singkatan ‘Konfrontasi’ atau ‘confrontation’.
Penggunaan sebutan atau terminologi Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia ini menjadi lebih tegar oleh sebab kedua buah negara mahu membezakan kedudukan mereka sesama sendiri.
Dan sekarang pakar boleh terima hakikat dengan berkata bahawa pengunaan sebutan ini sudah lapuk. Ia tidak lain merupakan sisa peninggalan zaman konfrontasi diantara Malaysia dan Indonesia dahulu. Dan sisa ini harus dibuang.
Ia adalah punca ‘perbalahan’ atau ‘konfrontasi’ baru yang telah lama wujud diantara kedua buah negara dan rakyat.
Bangsa Melayu tidak boleh dikatakan bersatu kalau perkara tentang Bahasa Melayu ini tidak dapat diselaraskan, supaya Orang Melayu itu sendiri tahu dan sedar bahawa mereka Orang Melayu sebenarnya dan bukan yang lain, walaupun mereka mempunyai kerakyatan berbeza; dan bahasa yang diguna itu adalah satu, iaitu Bahasa Melayu.
Dengan cara ini baru boleh kita mulakan usaha untuk merapatkan perhubungan seluruh Rumpun Melayu dan galak seluruh dunia mengiktiraf bangsa ini sebagai salah sebuah bangsa ulung di dunia.
Sekarang ini Bangsa Melayu tidak wujud dikalangan masyarakat dunia. Orang di Barat tidak kenal dengan Bangsa Melayu maupun Bahasa Melayu.
Oleh itu kita perlu dan harus teruskan ‘perbalahan’ bersifat bahasa atau linguistik ini sehingga sekarang?
Konfrontasi diantara Malaysia dan Indonesia telah lama berlalu dan masalah dulu yang dialami oleh rakyat dan pemimpin kedua buah sudah lama dapat dilupakan diatas dasar persefahaman.
Untuk ramai anak muda sekarang, mereka sudah pasti tidak sedar bahawa kedua buah negara kita, Malaysia dan Indonesia pernah berbalah satu ketika dahulu dan ini telah mengakibatkan kematian ramai askar di kedua pihak.
Secara tidak sedar rakyat di Malaysia dan Indonesia , khususnya tahu kita ‘berbalah’. Orang di Indonesia mahu percaya Bahasa Indonesia mereka lebih unggul dan utama serta maju berbanding dengan Bahasa Malaysia .
Oleh itu perkembangan bahasa ini terganggu oleh sebab kedua buah negara dan rakyat mempunyai cara tersendiri untuk memajukannya, dengan orang di Indonesia menggunanya mengikut cara sendiri dan orang Melayu di Malaysia pula guna cara yang lain.
Setelah lama kedua-dua buah negara mencapai kemerdekaan dan ‘konfrontasi’ itu lenyap, tapi kita masih belum setuju untuk sama-sama memajukan Bahasa Melayu.
Kita kena ikut contoh orang Amerika dan Inggeris yang mengguna bahasa Inggeris yang sama walaupun loghat mereka berbeza; tapi mereka bersama-sama bangun dan kembangkan bahasa itu sehingga kedua-dua rakyat dapat terimanya.
Saya masih ingat ramai askar Indonesia yang telah ditangkap setelah berjaya menceroboh masuk ke Melaka. Dan ramai orang Malaysia suka beranggapan bahawa orang di Indonesia yang begitu miskin sehingga ramai rakyat mereka ‘terpaksa makan tikus’ walaupun anggapan seperti ini tidak benar, dan hanya merupakan propaganda sahaja.
Tetapi yang benarnya ialah Malaysia dan Indonesia berbalah satu ketika dahulu sebelum masalah itu diatasi.
Sorakan ‘Ganyang Malaysia !’ dan ‘Ganyang Indonesia !’ atau ‘Ganyang Tunku!’ dan ‘Ganyang Sukarno!’ sudah lama dilenyapkan dari ingatan sejarah kita.
Tapi kenapa Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia mesti diteruskan? Tidakkah ini bermakna walaupun kita sudah bersatu hati dalam semua hal, tetapi kita masih ‘berbalah’ tentang perkara bahasa atau isiu linguistik?
Perkara Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia ini sebenarnya boleh dianggap sebagai satu halangan kepada perhubungan erat yang sepatutnya telah lama terjalin sejak konfrontasi berakhir.
Ia telah mula diperkenalkan oleh kedua negara bila sebagai alat untuk menyatukan umat di negara masing-masing.
Sebenarnya tindakan yang diambil oleh pemimpin kanan kedua buah negara itu langsung tidak kena-mengena dengan tindakan atau tuntutan bahasa dan perbahasaan, tetapi politik.
Indonesia tidak mahu guna Bahasa Melayu sebab ia adalah bahasa yang berasal dari sebahagian daerah di Pulau Sumatera sahaja, sedangkan orang bukan Melayu di Malaysia pula tidak mahu dikatakan ‘dipaksa’ belajar bahasa yang bukan bahasa ibunda mereka sendiri. Namun, mereka dengan rela hatinya belajar bahasa Inggeris tanpa segan-silu sehingga ramai mereka yang bermimpi dalam bahasa itu.
Usaha kerajaan untuk menggalakkan pengunaan Bahasa Melayu, yang mahu dianggap sebagai Bahasa Malaysia supaya ia lebih sedap didengar dan diterima oleh bukan Melayu masih dapat tentangan dari mereka.
Lebih-lebih lagi sekarang, dalam zaman baru ini, bila orang menganggap pengunaan bahasa Inggeris itu penting. Ya, ia penting, tetapi buat saya ia hanya penting untuk timba ilmu dan bukan untuk perhubungan seharian yang masih memerlukan Bahasa Melayu.
Lihat sahaja pemuda-pemudi dari Bangladesh , Myanmar , Pakistan , Vietnam , Nepal dan lain-lain yang datang untuk bekerja di kilang-kilang di seluruh negara, mereka lebih gemar bertutur dalam Bahasa Melayu dengan pekerja dari negara lain dan orang tempatan. Jadi tidak hairan kalau dalam masa dua tahun, mereka sudah boleh bertutur dengan baik dalam bahasa ini.
Ini berbanding dengan ramai orang bukan Melayu lain yang telah dilahirkan di Malaysia dan kini sudah lanjut usia, tetapi masih sukar bertutur dalam Bahasa Melayu. Ramai pemimpin bukan Melayu yang masih bercakap dalam bahasa ini dengan loghat yang pekat sehingga kebanyakan apa yang mereka mahu katakana itu sukar difaham.
Dan mereka tidak rasa malu kerana masih bertutur dalam Bahasa Melayu dengan ‘teruk’ berbanding dengan anak-anak bukan Melayu yang lebih faseh bertutur dalam bahasa ini.
Saya percaya sudah tiba masanya untuk Malaysia dan Indonesia pilih untuk mengguna Bahasa Melayu sahaja dan lupakan Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia. Sebab ia adalah punca ‘perbalahan’ baru yang wujud diantara rakyat kedua buah negara.
Tidakkah boleh Indonesia , misalnya, cuba menggunakan sistem pengejaan huruf Inggeris dan tidak Belanda?
Dan tidak bolehkah juga drama dan filem terbitan mereka mengguna Bahasa Melayu sahaja dan tidak dalam loghat Jakarta dan Jawa yang begitu pekat sehinggakan bila drama televisyen mereka mahu ditayang oleh stesen televisyen Malaysia , ia harus ditulis dengan sarikata?
Tetapi kenapa bila penyanyi Indonesia menyanyi, mereka guna Bahasa Melayu yang diterima atau standard, tanpa mengguna ayat, perkataan dan loghat Jawa atau Jakarta, kecuali untuk laju-laju jenaka?
Dalam tahun awal 1970an dahulu, Indonesia telah bersetuju untuk menukar sistem pengejaan yang mereka telah guna sejak zaman pemerintahan Belanda dahulu bila Jakarta dieja seperti Djakarta; Jogjakarta seperti Djogjakarta; Cilacap seperti Tjlacap dan sebagainya.
Rakyat Indonesia mudah terima perubahan ini. Tetapi kenapa mereka tidak juga boleh disuruh untuk bertutur dalam Bahasa Melayu yang sama supaya rakyat di Malaysia dan Indonesia , khususnya boleh sama-sama membangunkan dan memperkembangkan bahasa ini bersama?
Tetapi ini tidak berlaku. Kita masih rasa orang di Indonesia anggap mereka lebih hebat dalam segi bahasa dan kita pula rasa kitalah jaguh Bahasa Melayu.
Akhirnya, rakyat atau Bangsa Melayu di kedua buah negara utama Dunia Melayu berpecah dan Bangsa Melayu itu sendiri dianggap ‘berpecah’ dan tidak bersatu.
Tidak hairan juga sehingga sekarang orang asing di luar Nusantara Melayu dan ramai di negara di Tenggara Asia tidak sedar bahawa Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia sama; cuma yang berbeza ialah loghat dan pengaruh tempatan yang telah membuat perhubungan diantara rakyat biasa di kedua buah negara agak renggang.
Saya mahu lihat orang di Malaysia dan Indonesia mengguna Bahasa Melayu yang sama termasuk loghatnya sekali, dan semua rancangan televisyen, radio dan filem mengguna bahasa ini dan bukan dalam loghat tempatan yang begitu pekat.
Kita yang rugi, sebab kita tidak dapat munafaatkan penghasilan sastera, bahasa dan ini juga boleh menjejaskan perkembangan Bangsa Melayu dan bahasanya di masa-masa depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan