Oleh Mansor Puteh
Bandaraya Beijing terkenal seluruh dunia. Sejak negara Cina dibuka kepada masyarakat dunia, ia telah menerima berjuta-juta pelancong yang mahu datang dan lihat sejarah gemilang. Ramai juga masyarakat Malaysia tidak kira dari keturunan Cina maupun Melayu yang pernah melawatnya.
Negara Cina begitu besar, dan mempunyai jumlah penduduk yang banyak. Jadi tidak hairan kalau kita akan dapat melihat orang dengan begitu banyak sekali di mana-mana.
Setibanya di Lapangan Terbang Antrabangsa Capital di luar Bandaraya Beijing, kita akan melalui jalanraya utama untuk ke hotel di pusat bandar. Di kiri-kanan jalan kita akan dapat melihat orang mengayuh basikal di tepi jalan.
Suasana kelihatan seperti suatu keramaian atau cuti am, tetapi sebenarnya ia merupakan hari biasa sahaja di Beijing . Setiap hari beratus-ratus ribu, malah berjuga-juta penduduk di bandaraya ini akan melakukan pekerjaan masing-masing.
Kenderaan melunsur jalan dengan pelahan. Banyak juga diantaranya adalah kenderaan yang diimport. Ini melambangkan betapa meningkat majunya negara ini yang sanggup melahirkan jutawan baru serta usahawan.
Banyak lagi kenderaan buatan tempatan yang lebih gempal dan tidak mempunyai rekabentuk yang menarik.
Banyak bangunan pencakar langit sudah didirikan sejak negara ini dibuka kepada dunia. Disamping itu terdapat juga bangunan-bangunan lama dan bersejarah di merata tempat. Bangunan lama ini kelihatan usang.
Dan yang paling nyata sekali ialah jalanraya di bandaraya ini luas dan lurus. Ia teratur. Kebanyakannya telah dibina semasa zaman tertutup negeri Cina sementara ada yang baru dibina.
Negara Cina dan Bandaraya Beijing sekarang tidak banyak beza dengan negara-negara moden lain. Sejak negara ini dibuka kepada dunia, masyarakat di sini sudah pandai memakai pakaian moden.
Dalam sekilas pandang kita akan rasa seperti berada di Hong Kong, Taiwan atau Singapura. Silap pandang, kita akan rasa seperti berada di Jalan Petaling; cuma yang berbeza ialah rakyat Cina di negara ini lebih tinggi dan berwajah pucat. Ini disebabkan mereka hidup dalam cuaca yang sejuk dan mereka lebih berjalan dan berbasikal, jadi tidak hairan kalau mereka tegap dan lebih cerah.
Juga kita dapati mereka lebih mesra dengan pelancong asing; kecuali orang yang lebih dewasa yang masih melihat orang asing seperti pelancong sebagai ‘musuh’ mereka. Ini disebabkan mereka sudah lama disogokkan dengan propaganda pemerintah komunis yang tidak menggalak mereka bergaul dan bermesra dengan orang asing, yang dikatakan sebagai agen kuasa besar.
Untuk masyarakat Cina generasi sekarang, mereka tidak tertakluk dengan pemikiran demikian. Oleh yang demikian mereka lebih mesra dengan orang asing dan pelancong. Cuma yang menghalang perhubungan ialah mereka tidak faseh berbahasa Inggeris.
Saya juga perhatikan pelancong keturunan Cina dari Malaysia yang pergi ke sana jarang rasa bangga dapat pulang ke tanah asal datuk-nenek atau moyang mereka. Mereka rasa kekok berhubung dengan masyarakat Cina tempatan bukan sebab loghat mereka tidak sama dengan loghat Cina Malaysia, tetapi lebih dari itu.
Saya sudah lama mahu menjejakkan kaki di negara ini oleh sebab ia sebuah negara yang unik dan mempunyai kelainan tersendiri.
Saya pernah ke India beberapa kali sebelum ini dan Hong Kong atau Taiwan, walaupun setakat bersinggah di Lapangan Terbang Chiang Kai Shek lebih 10 kali. Jadi, saya mahu melihat negeri Cina dengan mata sendiri.
Tetapi, lebih dari itu, saya mahu melihat semua bangunan bersejarah yang sudah berusia beribu-ribu tahun yang masih kekal dipelihara oleh pihak pemerintah negeri ini. Sama seperti hasrat saya untuk melihat dengan mata sendiri bangunan piramid di luar bandaraya Kaherah di Mesir dulu yang sudah tercapai.
Tamaddun Cina menjangkau masa-masa atau zaman yang penuh warna, dengan tempuran hebat dari musuh-musuh mereka di utara. Tambahan pula sejarah negeri Cina ada kaitan rapat dengan sejarah kesultanan negeri Melaka negeri asal saya.
Kita semua tahu bahawa sultan dari Melaka sering ke negeri Cina untuk bertemu dengan raja mereka. Dan Sultan Mansur Shah pernah membawa seorang gadis Cina bernama Puteri Hang Li Po selepas mereka berkahwin.
Ramai juga orang dari negeri ini yang datang ke Melaka dan seluruh Semenanjung Malaysia dan Tenggara Asia untuk menguji nasib. Mereka tahu di kawasan yang subur ini mereka boleh mencari keuntungan yang boleh dibawa pulang ke negeri asal mereka.
Tambahan pula di selatan negeri Cina ketika itu berlaku muzim tengkujur. Ramai rakyatnya mati kebuluran. Jadi ramai di kalangan anak muda mereka terpaksa menaikki bot atau kapal layar ke selatan bersama angin dan tiba di Tenggara Asia.
Mereka akan ke Hong Kong terlebih dahulu, untuk mendapatkan kapal layar yang boleh bawa mereka ke sini. Mereka terpaksa tunggu beberapa minggu atau bulan di Hong Kong sementara angin bertukar haluan yang boleh bawa kapal layar ke daerah Tenggara Asia.
Yang pentingnya buat saya ialah, tentang kelainan yang terdapat di negeri ini. Ia adalah sebuah negara Asia dengan penduduk yang hampir seratus peratus keturunan Cina. Kebudayaannya kita kenal sangat.
Penggambara Itali, Marco Polo pertama kali tiba di bandaraya ini beritau bahawa namanya ketika itu ialah Khanbaliq atau Bandaraya Khan, ia terletak di tebing sebatang sungai yang lebar.
Tetapi sejarah menunjukkan bahawa bandaraya ini telah wujud sejak 500,000 tahun lama, dengan penemuan bahan-bahan bersejarah di beberapa tempat.
Bandaraya ini telah menjadi ibukota negara ini sejak tahun 1122 sebelum mesehi dibawah pemerintahan dinasti Yuan, Ming dan Qing dari 1285 hingga 1911 apabila raja yang berusia muda itu ditumbangkan dalam satu revolusi komunis.
Sudah pasti tempat yang pertama dikunjungi oleh pelawat ke bandaraya silam ini ialah Medan Tianamen.
Ia berukuran 500 kali800 meter persegi dan terletak di pusat bandaraya yang merupakan medan yang paling penting seluruh negara ini.
Sebenarnya medan ini tidak mempunyai sejarah yang lama. Ia telah dibina semasa zaman moden negara Cina. Banyak bangunan telah dirobohkan untuk meratakan tempat supaya menjadi suatu dataran yang luas dan menampung jutaan rakyat untuk upacara rasmi negara.
Di sinilah di mana berlaku peristiwa bersejarah zaman komunis dengan perarakan ketenteraan untuk menyambut hari republik iaitu satu tradisi yang telah dimulakan pada 1 Oktober 1949 apabila Pengerusi Parti Komunis Mao Zedong mengistiharkan pemerintahan komunis di negara ini dan kelahiran Republik Komunis Cina.
Terdapat banyak bangunan penting di sekelilling medan ini, termasuk Dewan Rakyat atau ‘Great Hall of the People’ di mana wakil rakyat datang dari seluruh pelusuk negara ini untuk bersidang.
Oleh sebab jumlahnya begitu ramai, wakil-wakil tersebut terpaksa dibawa dari hotel ke sana dengan menaikki bas khas. Pada hari persidangan pelancong boleh dapat melihat deretan bas tersebut terletak di sisi bangunan Dewan Rakyat ini, dan pegawai keselamatan menjaga kawasan ini dengan begitu rapi dan mereka tidak membenarkan pelancong mengambil gambar ke arahnya.
Selain dari itu terdapat juga Bandar Larangan atau ‘Forbidden City’ di mana terletaknya istana zaman silam. Ianya masih dijaga rapi. Pelancong boleh masuk ke dalamnya dengan membeli tiket.
Kawasan istana ini begitu luas dan pelancong terpaksa berjalan kaki dan menghabiskan beberapa jam, sebab dalam kawasan ini kenderaan tidak dibenarkan.
Bandar Larangan ini merupakan tempat kediaman rasmi kepada dua-puluh-empat maharajah dinasti Qing dan Ming. Ianya telah ditutup selama 500 tahun.
Kawasannya seluas 720,000 meter persegi dan mempunyai 800 bangunan dan 9,900 bilik semuanya.
Rekabentuk asal telah diilhamkan oleh maharaja Ming yang ketiga iaitu Yongle dalam tahun 1406 dan siap dalam tahun 1420.
Tetapi, apa yang dapat kita lihat sekarang adalah bangunan yang telah ditambah dan diubahsuai selepas abad kelapan-belas yang terpaksa dilakukan oleh sebab kebakaran yang telah meranapkan
banyak bangunan.
Terdapat sebuah kawasan dalam perkarangan istana silam ini yang begitu luas, sehinggakan ia dapat menampung 100,000 orang.
Setiap bahagian dalam kawasan istana ini dikepung dengan tembuk yang boleh dilalui oleh pintu masuk yang besar. Tempat-tempat tersebut adalah untuk acara khas yang kesemuanya dilarang oleh orang luar kecuali kerabat diraja dan pegawai-pegawai istana sahaja.
Di sini juga terletaknya singahsana atau takhta maharajah Cina. Kerusinya masih terletak di tempat asal di hadapan kawasan lapang itu.
Terdapat juga beberapa muzium yang telah didirikan untuk memperingati perjuangan parti komunis dan wira mereka.
Wajah pengerusi pertama parti komunis yang juga ketua negara, Mao Zedong tergantung di banyak tempat. Yang terbesar sekali terletak di atas pintu masuk ke Bandar Larangan.
Muzium yang paling utama sekali ialah khas untuk memperingati Mao. Mayatnya yang masih dikekalkan berbaring di dalamnya. Dan orang awam boleh menziarahinya. Terdapat barisan yang panjang pelancong tempatan maupun luar negeri yang mahu menjenggok ke dalam.
Disamping itu terdapat juga maklumat dan pameran tentang kehidupan pemimpin seangkatan dengan Mao yang telah meninggal dunia seperti Zhou Enlai, Zhou De, Li Shaoqui.
Oleh sebab tempat ini dianggap penting oleh negara Cina, pelancong tidak dibenar membawa masuk kamera dan orang awam juga tidak dibenarkan bercakap.
Selain dari itu tempat yang sama menarik ialah Istana Musim Panas atau ‘Summer Palace’ untuk maharaja Cina dan kerabatnya berihat semasa musim panas.
Istana ini telah digunakan oleh mereka selama 800 tahun lamanya. Tempat ini nyaman pada musim panas yang biasanya terik. Di sini terdapat Tasik Kunming di mana terletak sebuah kapal yang diperbuat daripada batu yang tidak bergerak. Ia dijadikan perhiasan dalam kawasan istana ini.
Semasa musim panas kerabat maharaja Cina berdayung sampan; dan tatkala musim sejuk, apabila air tasik beku, mereka boleh melunsur di atasnya.
Permaisuri Cixi begitu tertarik dengan istana ini sehinggakan dia menjadikannya istana rasminya, dan guna peruntukan untuk meningkatkan pasukan tentera laut kepada pembangunan istana ini.
Lawatan ke negera Cina tidak lengkap kalau kita tidak ke Tembuk Besar Negeri Cina atau ‘Great Wall of China’. Ia terletak agak jauh di utara bandaraya Beijing. Perjalanan dalam bas mengambil lebih satu jam.
Tembuk ini sepanjang 6,000 kilometer.
Maharajah Qin Shi Huangdi yang menjadi maharaja dari 221 hingga 210 sebelum mesehi telah mengarahkan pembinaan tembuk ini yang telah mengguna lebih 100,000 buruh. Banyak dari mereka telah mati akibat penyakit dan kurang makan.
Sekarang ini kebanyakan tembuk itu tidak berada dalam keadaan yang sempurna. Tembuk di Badaling sahaja yang telah diubahsuai dan perbaiki semula dan di sinilah di mana pelancong datang untuk melihat tembuk itu.
Di dalam tembuk ini terdapat sebuah bangunan yang boleh menempatkan 5,000 orang kesemuanya terdiri dari pasukan tentera yang ditugas untuk menjaga tembuk ini.
Selain dari itu terdapat makam diraja yang mengandingi 13 makan semanya, tetapi cuma beberapa sahaja dibuka kepada orang awam.
Di bandaraya ini juga terdapat mesjid yang pertama dibina iaitu Mesjid Nuijie. Ia telah dibina oleh Nazruddin dalam tahun 996.
Islam telah datang ke negera ini semasa pemeringahan Dinasti Tang yang bertakhta dari 610 hingga 906.
Kini terdapat lapan-puluh buah mesjid semuanya di bandaraya ini. Rekabentuk mesjid di bandaraya ini merupakan percampuran senireka Arab dan Cina. Dan di sekelillingnya terdapat banyak bangunan yang didiami oleh masyarakat Islam. Di sini juga tempatnya mereka berniaga barangan halal dan mendidik anak-anak mereka mengaji Koran.
Tidak hairan dengan jumlah penduduk begitu ramai, dan pendedahan mereka kepada Islam lebih awal dari masyarakat Melayu, jumlah penganut Islam di negeri Cina ini dianggarkan sebanyak enam-puluh juta orang atau lebih.
Dalam masa cuma lima hari sahaja berada di sini seseorang itu sudah pasti tidak akan dapat peluang untuk mengkaji dan memahami sejarah dan kebudayaan negara ini. Sudah tentu masa yang lebih lama dari itu diperlukan untuk kita mengenalinya dengan lebih rapat.
Tetapi, walaupun kesuntukan masa, seseorang pelancong khususnya dari Malaysia berketurunan Melayu, sudah pasti akan dapat memaham sedikit-sebanyak tentang latarbelakang bandaraya Beijing dan boleh rasa puas hati sebab dapat peluang membuat lawatan yang singkat ke sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan