Oleh Mansor Puteh
Saya keberatan untuk memuji dengan adanya Istana Budaya yang kini tersergam indah di Jalan Tun Razak. Adakah is cuma satu mercu tanda dan token kepada perkembangan teater sebagai sebuah perusahaan yang mantap, yang mana telah lama menjadi idaman semua karyawan teater di Kuala Lumpur, mahupun seluruh negara?
Oleh sebab ia telah dibina setelah lama wujud dalam perancangan, maka tidak salah kalau kita anggap bahawa perancangan dan konsep yang mahu dibawa oleh Istana Budaya tidak semestinya disokong oleh keperluan semasa sekarang.
Mungkin apa yang mahu dilakukan itu sesuai untuk masa konsep Istana Budaya ini difikirkan lebih dua-puluh tahun dulu.
Saya cuma ada kecaman yang berat sahaja untuk Istana Budaya. Saya sedih dengan persembahan yang telah diadakan sejak ia dibuka. Perancangan yang dilakukan oleh pentadbir Istana Budaya terlalu ad hoc – iaitu tanpa perancangan, seperti yang dapat kita rasakan.
Ia ternyata merupakan sebuah bangunan dan konsep yang terpinggir dari kesedaran umum, maupun kegiatan teater di Kuala Lumpur, jauh lagi untuk menjadi pencetus kepada perkembangan teater nasional.
Konsepnya terlalu elitis. Dan elit yang mahu ditarik cuma elit Melayu, yang tidak kunjung datang. Elit Melayu dan bukan Melayu lebih gemar untuk pergi ke Dewan Petronas di KLCC walaupun mereka mengenakan tiket yang jauh lebih mahal dari di Istana Budaya.
Dan saya juga kecam bahawa semua persembahan di Istana Budaya hanya jenis teater musikal.
Semua persembahan yang telah sempat diadakan tidak mendatangkan keuntungan. Setiap persembahan berlangsung beberapa hari sahaja. Dan cara ini tidak berbeza dengan persembahan yang pernah diadakan di dewan-dewan lain yang telah menarik perhatian umum.
Saya beranggapan bahawa persembahan di Istana Budaya boleh menarik lebih ramai penonton, dan memadai dengan kos penerbitannya yang tinggi, ia seharusnya boleh berlangsung selama satu bulan berturut-turut. Tetapi, ini tidak berlaku.
Masalahnya ialah, pentadbir Istana Budaya sendiri terlibat dengan penerbitan teater, walhal mereka cuma menjadi pentadbir, dan tidak giat.
Sesiapa yang mahu giat sebagai penerbit, pelakun dan pengarah, tidak boleh bekerja di Istana Budaya.
Kalau ini berlaku, Istana Budaya sudah pasti akan menjadi pusat untuk rakan-rakan sahaja, dan bukan untuk mereka yang benar-benar mahu berteater.
Dan saya rasa sedih, bahawa persembahan di Istana Budaya tidak memberi glamor kepada penerbit, pengarah dan pelakun.
Mereka tidak boleh berasa bangga walaupun sudah memberi persembahan di situ.
Berbeza dengan Sydney Opera House, sesiapa yang pernah menjejak kaki di atas pentasnya, sudah pasti akan dihormati oleh puak teater di seluruh Australia dan dunia.
Saya tidak yakin konsep elitis dan mercu tanda atau ‘landmark’ yang diguna untuk mendirikan Istana Budaya boleh mendatankan kesan positif.
Sehingga kini ia adalah sebuah istana hinggap untuk teater sahaja.
Di manakah salahnya?
Pertama konsepnya salah. Ia terlalu elitis.
Kedua, ia meniru bulat-bulat konsep mercu tanda yang menjadi kemegahan para akitek dan kontraktor.
Yang mendapat ganjaran dari projek Istana Budaya ini akhirnya akitek dan kontraktor dan sub-kontraktor dan pembekal peralatan lain.
Atau beberapa aktivis teater yang sudah hampir malap dari kegiatan teater tetapi kini diberi peluang untuk giat semula.
Sementara aktivis yang beria-ia selama satu tau dua dekad lalu, terus terpinggir.
Ya, Istana Budaya mahu dijadikan tempat untuk elit teater. Ia tidak bertujuan untuk menggalakkan pertumbuhan teater sebenarnya, dan memberi munafaat kepada semua, tidak kira jenis teater apa yang mereka mahu ceburi.
Kenyataan yang menyatakan bahawa Istana Budaya cuma mahu galakkan teater muzikal sahaja tidak memberi semangat kepada ramai aktivis teater yang tidak senang dengan teater seperti ini.
Jadi, tidak salah kalau kita katakan Istana Budaya telah dibina atas ihsan rakyat semata-mata untuk perkembangan teater musikal sahaja. Ini amat menghampakan, kalaulah kenyataan songsang ini benar.
Adakah konsep teater musikal ini telah dinyatakan awal-awal lagi, iaitu sebelum Istana Budaya mahu dibina dahulu?
Atau apakah ia cuma dinyatakan sebagai falsafah setelah bangunannya telah siap dan kini ditadbir oleh orang-orang yang menunjukkan kecenderungan terhadap teater musikal sahaja?
Kalaulah konsep teater musikal ini cuma difikirkan setelah bangunan Istana Budaya disiapkan, alangkah ini menyedihkan samasekali.
Ini bermakna bahawa keperluan untuk permentasan teater musikal tidak diambil kira dalam rekabentuk bangunan Istana Budaya, seperti pentas dan peralatan lain yang khusus untuk persembahan seperti ini.
Saya risau dengan pentadbir Istana Budaya yang tidak bercakap tentang teater secara menyeluruh; tetapi hanya teater musikal.
Adakah teater musikal itu lebih ulung atau ‘superior’ berbanding dengan jenis teater lain?
Atau apakah kementerian dan pihak Istana Budaya berfikiran sempit tentang teater?
Tidakkah boleh juga semua jenis persembahan pentas termasuk tradisional juga boleh dipersembahkan di Istana Budaya.
Apa yang saya dapat lihat di sini ialah, Istana Budaya sudahpun boleh dianggap sebagai gagal. Ia gagal segagalnya.
Konsep elitisnya tidak sesuai.
Dan rekabentuk serta ruang yang membazirkan membuat saya terfikir apakah perancangannya menepati konsep yang mahu diwujudkan.
Ruang kosong seperti ruang legar serta bumbung serta kawasan sekelilling Istana Budaya mengambil lebih separuh dari kos pembuatan bangunan atau komplek ini.
Dan yang amat menyedihkan ialah terdapat cuma satu pentas sahaja. Dan rekabentuk pentas ini memang tidak sesuai untuk teater musikal, tetapi opera.
Jadi, jikalau pentabir Istana Budaya mahu katakan bahawa mereka mahu galakkan pertumbuhan teater musikal di Istana Budaya, maka kenyataan ini tidak dapat diperkuatkan oleh sebab rekabentuk pentasnya semamangnya adalah bukan untuk teater musikal.
Tambahan pula saya lihat kepincangan asas yang banyak, seperti kekurangan ruang untuk latihan. Dan yang amat menjanggalkan ialah tidak terdapat pentas-pentas yang sederhana dan kecil untuk persembahan yang tidak memerlukan jumlah penonton atau kos yang besar.
Ruang di luar Istana Budaya juga tidak dijadikan ruang yang boleh menampung kehendak teater terbuka.
Tempat letak keretanya begitu luas, walhal apa yang seharusnya dilakukan ialah tempat letak kereta bertingkat didirikan untuk menjimatkan ruang.
Saya anggap bahawa perancangan Istana Budaya ini tidak mengikut kehendak teater sebenarnya. Ia cuma sebuah bangunan yang ditiru bulat-bulat dari Sydnay Opera House di Australia.
Peniruannya terlalu jelas, dan tidak mengambil kira yang Sydney Opera House itu didirikan untuk menampung kehendak dan perkembangan teater di Australia yang telah mantap.
Di Malaysia, keperluan asas teater masih belum diadakan lagi, dan kumpulan teater masih mencari ruang untuk membuat persembahan. Jadi, adalah menjadi tanggung jawab pihak kementerian berkenaan untuk mendirikan ruang-ruang tertentu untuk mereka.
Disamping itu, barang apa infrastruktur yang mahu dibangunkan ia mesti ambil kira bahawa kos penyewaannya tidak akan menjadi mahal, seperti yang berlaku di Istana Budaya yang mana kos penyewaan melambung ke RM30,000 satu hari.
Akhir sekali, saya berani menyataka bahawa tempat di mana Istana Budaya ini terletak adalah tidak sesuai sama sekali.
Konsepnya tidak berbeza dengan konsep teater Yunani dahulu, yang mahu menaikkan teater ke tahab dewa dan ugama. Oleh yang demikian semua bangunan untuk teater mereka terletak di bukit atau jauh dari awam.
Istana Budaya terletak jauh dari khalayak. Jadi, tidak hairan kalau khalayak menjauhkan diri darinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan