Rabu, 12 September 2012

TEATER BAHASA INGGERIS RELIK ZAMAN PENJAJAHAN?


Oleh Mansor Puteh







Kegiatan persembahan teater atau sebarang jenis persembahan pentas dengan menggunakan Bahasa Inggeris di Kuala Lumpur dan di mana-mana bandar utama negara kita, sebenarnya bermula sejak zaman penjajahan Inggeris dulu. 
          Di Kuala Lumpur, misalnya, ia dimulakan oleh pegawai penjajahan Inggeris yang membawa keluarga mereka, termasuk sekumpulan masyarakat Inggeris yang bergiat dalam bidang pentadbiran dan perniagaan.
          Mereka menganjorkan persembahan teater di dewan khas di Bangunan Sultan Abdul Samad yang tidak lama dulu dimusnahkan dalam satu kebakaran.
          Dan kegiatan teater Bahasa Inggeris lain juga dipersembahkan sebagai matapelajaran di Sultan Idris Training College (SITC) yang kini dikenali sebagai Universiti Pendidikan bertempat di Tanjong Malim.  Sementara itu maktab terkenal ketika zaman penjajahan inggeris seperti Malay College Kuala Kangsar (MCKK) atau kini dikenali dengan nama Maktab Melayu Kuala Kangsar turut menggalakkkan penuntut-penuntut bergiat dalam bidang teater Bahasa Inggeris.
          Malah sekolah-sekolah yang ditubuhkan oleh pihak penjajah Inggeris seperti Victoria Institute, St. John’s Institution, St. Francis’ Institution juga mempunyai aktiviti seperti itu.
          Penuntut-penuntut SITC misalnya sering membuat persembahan teater Shakespeare dalam Bahasa Inggeris.
          Tujuannya ialah untuk menggalakkan mereka untuk menyukai hikayat karya Shakespeare, disamping bertutur dalam Bahasa Inggeris seharian, untuk lama-kelamaan menjadikan bahasa Inggeris ini seperti bahasa ibunda sendiri.
          Dan apabila Universiti Malaya ditubuhkan, penuntut-penuntut jurusan Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris terpaksa mengambil kursus teater di mana mereka mempersembahkan teater dalam bahasa.
          Kelab-kelab teater khusus untuk persembahan teater Bahasa Inggeris ditubuhkan oleh penuntut-penuntut di Universiti Malaya sehinggakan ia menjadi kegemaran mereka. Dan apabila penuntut-penuntut jurusan bahasa itu lulus dari pengajian, merekalah yang teruskan perjuangan mereka untuk mementaskan teater Inggeris di Kuala Lumpr.
          Di bandar-bandar lain, kegiatan teater Bahasa Inggeris ini tidak begitu giat, sebab tidak terdapat pemimpin yang gemar dengan teater Inggeris, maupun teater Bahasa Melayu, walaupun berbanding dengan teater Inggeris, teater Melayu nampaknya lebih giat.
          Tetapi, apa yang harus diingatkan di sini ialah, pihak penjajah Inggeris sedar sejak awal lagi bahawa usaha mereka untuk menggalakkan anak tempatan, yakni anak Melayu, Cina dan India untuk mengguna Bahasa Inggeris sebagai bahasa harian tidak akan berkesan sekiranya mereka tidak ‘dipaksa’ menggunakan bahasa itu setiap hari.
          Jadi, cara yang diguna oleh pihak penjajah ini ialah dengan memupukkan semangat cintakan teater Bahasa Inggeris dengan harapan mereka akan mengguna bahasa asing itu sebagai bahasa sendiri. Dan dengan cara ini juga, mereka akan terikut-ikut meniru carahidup dan serapkan nilai budaya Inggeris, dan secara tidak langsung, menolak carahidup dan nilai budaya sendiri.
          Sebenarnya usaha pihak penjajah Inggeris ini boleh dikatakan berjaya, kalau kita lihat betapa giat dan gah sekumpulan masyarakat bangsa Malaysia dari keturunan Melayu, Cina dan India bergiat membuat persembahan teater dan persembahan pentas lain dengan mengguna Bahasa Inggeris.
          Ini menakjubkan sebab Bahasa Inggeris itu adalah bahasa penjajah dan bahasa asing bagi kita, tetapi ia telah berjaya diserapkan ke dalam jiwa sekumpulan masyarakat negara kita, sehingga mereka tidak rasa segan dan silu membuat persembahan teater atau permentasan dalam Bahasa Inggeris yang asing itu, bagaikan bahasa ini adalah bahasa ibunda (mother tongue) mereka sendiri.
          Dan tabiat mengguna Bahasa Inggeris ini telah terbawa-bawa sehingga mereka cuma bertutur dalam bahasa asing saban hari, dan menolak Bahasa Melayu iaitu bahasa kebangsaan.  Malah ada masyarakat Melayu, Cina dan India rasa kekok bertutur dalam Bahasa Melayu, maupun bahasa ibunda lain seperti Mandarin, Kantonis, Hokkien atau Tamil.
          Ada sekumpulan orang Melayu yang langsung tidak gemar Bahasa Melayu, dan yang membuat mereka itu ganjil pada pandangan masyarakat Melayu umumnya ialah apabila mereka tidak tahu berbahasa Melayu, dan meniru carahidup, gaya dan nilai budaya Inggeris atau Barat.
          Tidak hairan juga kalau mereka sengaja mahu merasa ‘tinggi diri’ atau mempunyai komplek megah dengan loghat British atau Amerika dan nama Inggeris atau cara mereka memakai pakaian Barat yang terdedah, dan mencelupkan rambut untuk kelihatan seperti ‘blonde’.
          Pengunaan Bahasa Inggeris ini di kalangan sekumpulan kecil masyarakat Malaysia ini, telah menwujdukan satu kumpulan ‘sub-culture’ yang anih di dalam masyarakat kita.
          Kegiatan teater Bahasa Inggeris di Kuala Lumpur yang ada sekarang, sebenarnya merupakan satu relik peninggalan zaman penjajahan Inggeris. Ia tidak berbeza dengan peninggalan bangunan lama sepeti ‘A Famosa’ dan bangunan-bangunan lama serta nama-nama jalanraya di seluruh Kuala Lumpur dan negara yang mempunyai nama tokoh penjajah Inggeris seperti Jalan Maxwell, Jalan Campbell, Jalan Mountbatten dan Georgetown dan lain-lain.
Mujur pihak kerajaan kita telah berjaya menukar kebanyakan nama-nama Inggeris ini kepada nama Melayu, untuk menunjukkan bahawa kita sudah merdeka dan nama-nama yang diagongkan oleh pihak penjajah Inggeris juga mesti dikikis sebab mereka tidak sesuai diberikan kepada nama jalanraya, bandar dan tempat-tempat penting di seluruh negara kita.
          Dan saya anggap bahawa kegiatan teater Bahasa Inggeris ini sebagai satu kejanggalan.
          Kita sudah merdeka selama empat-puluh-satu tahun, dan kehadiran teater bahasa Inggeris, dan penggunaan bahasa asing atau penjajah ini secara terang-terang cuma boleh memberi andaian bahawa ada kelompok kecil dalam masyrakat kita yang masih belum merdeka dari kuasa Inggeris.
          Sebab kenapa mesti diagong-agongkan bahasa Inggeris atau bahasa penjajah itu sehingga sekarang? Tidakkah kita mempunyai bahasa ibunda dan bahasa kebangsaan sendiri iaitu Bahasa Melayu yang kita boleh guna dalam semua hal perhubungan, termasuk dalam bidang teater?
          Dan yang menganehkan lagi ialah, mereka yang beria-ia mahu membuat persembahan dalam bahasa Inggeris bukannya orang Inggeris yang menetap di negara kita, tetapi orang Melayu, Cina dan India yang telah menjadikan bahasa Inggeris seperti bahasa ibunda mereka sendiri.
          Sedangkan apa yang mereka persembahkan itu memang boleh dipersembahkan dalam Bahasa Melayu, walaupun ia drama pentas karya Shakespeare.
          Tetapi, pengunaan Bahasa Inggeris ini tidak lain disebabkan mereka rasa begitu selesa bertutur dalam bahasa ini disamping, mereka boleh rasa seperti mereka ini adalah ‘orang putih’ (Inggeris), walaupun bukan orang Inggeris tulen tetapi celup!
          Yang menggelikan hati ialah walaupun mereka giat bergiat dalam bidang teater bahasa Inggeris tetapi kehadiran mereka cuma sekadar di sekitar Kuala Lumpur atau di beberapa tempat di negara kita. Mereka tidak berani membuat persembahan di luar negeri. Atau apakah orang Inggeris di Britain dan Amerika akan senang dengan kehadiran mereka?
          Sudah pasti masyarakat di Britain dan Amerika atau Australia akan rasa janggal melihat persembahan teater oleh rakyat Malaysia yang dipersembahkan dalam bahasa Inggeris, dan tidak dalam bahasa ibunda mereka sendiri ialah Bahasa Melayu.
          Mungkin, mereka yang beria-ia bergiat dalam persembahan teater bahasa Inggeris itu ‘perasan’ dan rasa diri mereka itu lebih hebat dan lebih segala-galanya, sebab mereka faseh berbahasa Inggeris dan di samping itu mereka rasa bangga sebab kurang faseh berbahasa Melayu.
          Walaupun saya menuntut dalam aliran Inggeris sejak Darjah Satu, hingga ke peringkat sarjana di Amerika, tetapi saya tidak teringin untuk bergiat dalam teater Inggeris di Kuala Lumpur. 
          Sebabnya ialah bahasa ini tetap asing bagi saya. Dan kalau saya menulis skrip teater dalam Bahasa Inggeris, tujuannya ialah untuk mempersembahkannya di England atau Amerika.
          Mungkin orang teater lain mahu membuat persembahan teater dalam Bahasa Inggeris di Kuala Lumpur, khususnya semata-mata mereka mahu berlagak, lebih dari mahu menunjukkan yang mereka berbakat untuk menulis sebuah skrip yang baik, dan membuat persembahan yang bermutu tinggi.
          Berbanding dengan teater Bahasa Inggeris, saya beranggapan bahawa teater Bahasa Melayu di Kuala Lumpur jauh lebih bermutu.
          Cuma yang membuat kita rasa ragu akan tahab persembahannya ialah oleh sebab kita sendiri tidak mahu mengangkat tahab pencapaian kita ke suatu tahab yang sempurna, dan sering menganggap bahawa tahabnya tidak setinggi mana.
          Lain pula dengan teater Bahasa Inggeris, yang mana pada umumnya tidak bermutu tinggi, tetapi oleh sebab ia diadakan dalam bahasa asing itu, mereka sendiri rasa berpuas hati, dan menganggapnya berjaya dan berbanding dengan teater Bahasa Melayu, persembahan mereka lebih bermutu.
          Ini semua adalah tidak benar, sebab teater Bahasa Inggeris di Kuala Lumpur tidaklah sebaik mana. Sebab kalau tidak kenapa sehingga kini tidak terdapat seorang pelakon, penulis skrip atau pengarah dari kumpulan mereka yang diiktiraf dari pengiat teater di Britain atau Amerika dan Australia.
          Malah kalau hendak diperkatakan lebih banyak pengiat teater Bahasa Melayu dari negara kita yang sering mendapat jemputan untuk membuat persembahan di luar negeri, termasuk persembahan tradisional seperti Mak Yong, Gamelan dan Ghazal dan lain-lain.
          Sudah tiba masanya untuk media Bahasa Melayu dan pengiat teater bahasa ibunda kita menaikkan imej teater Bahasa Melayu ke tahab pencapaian yang sewajarnya agar ia tidak akan terus dibebankan dengan perasaan ‘rendah diri’.
          Kalau kegiatan teater Bahasa Melayu dikatakan mundur berbanding dengan teater Bahasa Inggeris, ini cuma memberi makna bahawa kerajaan atau kementerian berkenaan gagal untuk berbuat sesuatu untuk memajukan kegiatan teater Bahasa Melayu agar ia diterima oleh penonton Melayu dan bukan Melayu.
          Tentu ada caranya untuk kerajaan memajukan kegiatan teater Melayu supaya ia dijadikan satu perusahaan dan tidak sahaja satu kegiatan seni yang dilakukan oleh mereka yang terlibat dalam bidang ini secara sampingan atau suka-suka.
          Zaman berteater secara suka-suka atau sampingan sudah berlaku, dan kerajaan harus berfikir panjang dan cara jalan tentang bagaimana mahu dimajukan perusahaan teater Melayu atau nasional.
         

Tiada ulasan: