Isnin, 3 Disember 2012

PARTI PAS: YANG SUDAH LAMA ISLAM, MAHU DITENTANG DAN TENDANG.


…YANG BELUM DAN TIDAK MAHU MASUK ISLAM DAN YANG TERANG-TERANG TENTANG HUKUM HUDUD, PULA MAHU DISANJUNG DAN PUJI.
Oleh Mansor Puteh



Parti PAS kononnya ditubuhkan untuk menyebar Syiar Islam. Ini hasrat yang bagus dan murni. Tapi bagaimana mereka itu boleh anggap pengasas Umno dulu tidak begitu Islam dan tidak mahu perjuangkan Islam di Tanah Melayu?

Dan apa untungnya Melayu dan Islam dengan adanya PAS?

Apa yang ketara ialah PAS hanya boleh dan telahpun pecah-belahkan Orang Melayu dan Umat Islam di Tanah Melayu, sehinggakan Orang Melayu terpaksa melutut kepada pengundi bukan-Melayu dan bukan-Islam sebab ia mahu menang kerusi, walaupun usaha ini telahpun memecah-belah Orang Melayu dan Umat Islam di Tanah Melayu.

Sepatutnya PAS sudah lama dibubarkan sebab perjuangan mereka sia-sia; mereka tidak boleh dapat sokongan padu Orang Melayu dan Umat Islam. Mereka hanya boleh untungkan elemen bukan-Melayu dan bukan-Islam di Tanah Melayu.

Tetapi sejak ia ditubuhkan, strateginya tidak lain mahu tumbangkan sebuah parti Melayu lain, iaitu Umno yang juga mahu dan telahpun menunjukkan kesungguhan mereka untuk berbuat demikian.

Tapi dari mahu bergabung dengan Umno, PAS tentang mereka pula, dengan alasan Umno tidak Islam; Umno tidak itu dan tidak ini.

Tapi lihat sahaja apa yang PAS telah lakukan: Berapa ramai orang bukan-Islam yang mereka telah pujuk untuk terima Islam? Tidak seorangpun. Kenapa?

Sebab mereka tidak berusaha untuk menarik perhatian bukan-Islam ke Islam, tetapi hanya dengan usaha untuk meruntuhkan sebuah parti Melayu dan Islam lain yang sudah lama kukuh.

Jadi tidak hairanlah kalau Parti PAS sebuah parti yang teramat anih. Pemimpin mereka yang turut pelik.

Orang yang sudah lama Islam dan pegang teguh kepada ajaran Islam, mahu dikeji, mahu diperbetulkan.

Tetapi yang bukan Islam, dan yang belum atau yang tidak mungkin masuk Islam pula yang mahu disanjung dan puji.

Umno telah banyak sebar syiar Islam; dan ramai bukan Islam telah masuk Islam dengan rela hati mereka.

Perkim telah ditubuhkan lama dulu, melihatkan ramai bukan-Melayu diIslamkan.

Dan perdana menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman, sendiri semasa perdana menteri dan selepas telah banyak masukkan ke dalam Islam mereka yang bukan-Islam, sendiri.

Malangnya, penggantinya, tidak pernah dilihat melakukan pekerjaan seperti ini.

Dan yang lebih malangnya, tidak seorang pemimpin PAS yang telah dikatakan dan dilaporkan telah memasukkan orang bukan-Islam ke Islam.

Dan Parti PAS yang mengaku mereka pegang teguh kepada ajaran Islam dan mahu sebar syiar Islam, tetapi tidak ada satu acarapun dimana mereka masukkan bukan-Islam ke Islam.

Saya tidak pasti samada Musyidul Am mereka, Nik Aziz sendiri telah memasukkan sesiapa bukan-Islam ke dalam Islam.

Jadi, soalannya ialah: Parti Melayu mana yang beria-ia mahu sebarakan syiar Islam – PAS atau Umno?

Kalau PAS yakin mereka lebih Islam dari Umno, jadi kenapa orang bukan-Islam tidak pergi kepada mereka untuk masuk Islam?

Siapa yang tubuhkan perbankan Islam? Siapa yang adakan acara-acara ceramah Islam di seluruh negara dan di televisyen?

Dan siapa pula yang menanjurkan acara Tilawah Al-Koran?

Banyak lagi yang telah lama dilakukan oleh Umno termasuk mencapai Kemerdekaan. Ia bukan dicapai atau diusahakan oleh pemimpin PAS.

Mungkin pemimpin PAS dengki dan malu semua kejayaan ini dilakukan oleh Umno dan bukan oleh mereka.

Mereka tahu sudah terlambat untuk mereka mencapai kemerdekaan sebab ia sudahpun tercapai, jadi mereka cuba untuk memerdekakan Malaysia dan Orang Melayu di Malaysia dari Umno pula.

Cara mereka ialah dengan mengata Umno tidak tinggi sanjungannya terhadap Islam, berbanding dengan mereka walaupun ini tidak betul.

Ini amat menakjubkan samasekali sebab perjuangan PAS kini tidak dihargai oleh ramai Orang Melayu dan Umat Islam.

Ia hanya boleh menjadi agen perpecahan Bangsa Melayu dan Umat Islam di Malaysia, selagi mereka ambil sikap bahawa mereka ‘lebih Islam’ berbanding dengan Umno.

Dan mereka berusaha mahu laksanakan Hukum Hudud di Malaysia, walaupun Umno dengan sendirinya tidak tentang dengan hasrat ini, kecuali dengan cara hukum itu seperti yang mereka mahu laksanakan yang dianggap oleh pemimpin Umno sebagai Hukum Hudud PAS.

Tapi yang amat anihnya ialah kenapa pula PAS mahu bergabung dengan parti yang anti-Hudud seperti DAP yang awal-awal lagi kata mereka tentang dengan hasrat ini?

Kenapa pula PAS sanggup bersekongkolan dengan DAP untuk kalahkan Umno dan Barisan Nasional?

Tidakkah PAS tahu bahawa untuk orang yang mengaku dirinya Orang Islam, ia adalah satu kesalahan besar dan berdosa kalau mereka mahu pecahkan perpaduan Bangsa Melayu dan Umat Islam.

Pemimpin PAS seperti tidak faham, bahawa elemen-elemen anti-Islam ada disemua negara Islam, dan tujuan mereka ialah untuk memecah-belahkan Umat Islam dengan cara apapun, termasuk mengguna proses politik.

Dan cara Zionis mahu menyebabkan negara Islam pecah ialah dengan mereka menjalankan usaha tidak langsung, dengan mengguna orang Islam dalam negara itu sendiri untuk menentang sekeras-kerasnya usaha negara dan kerajaan itu sendiri.

Lihat sahaja negara-negara Arab yang ada termasuk Palestin, dimana tidak ada perpaduan, dan inilah punca kenapa negara ini tidak berjaya dibebaskan dari cengkaman Zionis.

Inilah sebabnya kenapa Zionis masih menguasi tanah Palestin; ia bukan olehsebab Zionis kuat. Ia adalah olehsebab rakyat Palestin dan Arab di negara-negara lain lemah dan berpecah.

Pemimpin PAS mesti sedar dan keluar dari sikap buruk mereka dan mahu tentang sebuah kerajaan Melayu yang Islam dan tidak mahukan ia berpecah.

Perpecahan diantara Orang Melayu di Malaysia menguntungkan bangsa lain yang kini menjadi-jadi, sehinggakan mereka boleh tuntut itu dan ini, selagi yang mereka mahu.

Dan PAS dan PKRlah yang boleh dikatakan membenarkan bangsa asing itu menjadi angkuh dan tidak sedar diri sedangkan mereka adalah kaum yang tidak berjumlah besar dan generasi pendatang sahaja.

Akhir sekali, tidakkah pemimpin PAS dan Melayu dalam PKR, sedar bahawa mereka berdosa kalau mereka mahu sebabkan perpecahan Bangsa Melayu dan Umat Islam dengan mendapat sokongan dan bersekongkolan dengan bukan-Melayu dan bukan-Islam yang juga mempunya hasrat sama seperti mereka?

Jangan teruskan sikap mereka untuk tentang orang yang sudah lama Islam, dan bersekongkolan dengan orang yang tidak mahu masuk Islam.

Tiada ulasan: