Oleh Mansor Puteh
Rencana ini ditulis berdasarkan kertas cadangan berjudul,
‘Muslim cinema as an anti-thesis to Hollyood’ atau ‘Sinema Muslim sebagai
pencabar Hollywood’ yang saya bentangkan semasa Persidangan Pertama Pengarah
Filem Muslim (First International Muslim Filmmakers’ Conference) yang diadakan
sempena Pesta Filem Fajr dalam bulan Februari, 1994 dulu yang telah menayang
filem saya berjudul, ‘Seman’ buat kali kedua dalam pesta filem tersebut.
Cadangan
ini mengambil kira banyak faktor, bukan sahaja ugama, tetapi ekonomi dan
lain-lain.
Pertamanya
tentang kenapa kita, sebagai Dunia Islam masih lagi tidak tergerak untuk
mengguna sinema (dan ini termasuk televisyen), untuk mendatangkan kebaikan. Ini
bermakna untuk menjadikannya bahan perhubungan diantara umat Islam di seluruh
Dunia Islam dan di luarnya, khususnya di negara-negara yang mempunyai kumpulan
orang Islam yang besar dan kian bertambah.
Saya telah
sempat melawat ke 33 buah negara seluruh dunia, dan banyak darinya adalah
negara Islam di Timur Tengah dan Kawasan Teluk. Saya mendapati bahawa Umat
Islam tidak mempunyai satupun sebab untuk bersatu. Mereka hanya hidup dengan
dipengaruhi oleh pengaruh kesenian dan kebudayaan tempatan.
Dan yan
lebih buruk sekali kalau kita lihat anak-anak muda di negara Islam yang hidup
terumbang-ambing mula berlagak seperti orang bukan Islam, dengan gaya dan cara mereka yang
seratus peratus dipengaruh oleh filem dan drama televisyen yang mereka tonton
setiap hari di televisyen. Jadi tidak hairan kalau mereka tahu siapa pelakon Hollywood zaman lampau bernama Merilyn Monroe yang telah
meninggal dunia lebih empat-puluh tahun lalu, dari Khalifah dan Nabi kita sendiri.
Salah
siapa? Saya tidak mahu salahkan mereka, sebab mereka dipengaruhi oleh filem dan
televisyen. Saya salahkan pemimpin yang tidak sedar dengan apa yang telah
berlaku dan akan terus berlaku. Merekalah yang tidak sedar bahawa pengaruh
filem dan televisyen itu penting dan ia boleh mengugat keimanan seseorang anak
berugama Islam.
Ada pula pemimpin negara
Islam yang terang-terang rasa bangga dengan menjemput penyanyi dari barat untuk
membuat persembahan di negara mereka sendiri dan di dalam kediaman rasmi mereka
dimana minuman keras dihidang.
Mereka ini
lebih gemar untuk menjadi penonton dan secara tidak langsung, menyokong
perkembangan sinema dari Hollywood atau
Amerika dan barat. Dan tidak puas dengan itu, kita juga rasa bangga menyokong
perkembangan sinema di India,
Hong Kong, Taiwan dan Negeri Cina.
Dan tidak cukup dengan ini, kita
juga rasa bangga kalau kita dapat membawa filem dan drama televisyen dari
negara lain seperti Jepun, Korea Selatan dan beberapa negara
di Amerika Selatan, yang saban hari kita dapat tonton di televisyen kita.
Adakah ini
sahaja yang kita mampu untuk melakukan – iaitu menjadi penonton untuk bahan hiburan asing, khususnya
Amerika sahaja? Tidakkah kita terfikir buat pertama kali bahawa, adalah lebih
baik kalau kita sendiri yang membuat filem-filem dan rancangan televisyen kita
sendiri dan siarnya di stesen televisyen kita dan di seluruh Dunia Islam,
supaya kita dapat menggalakkan pembuatan filem dan drama televisyen tentang
kita untuk penonton kita?
Kalau ini
tidak berlaku, semua kisah menarik tentang kita tidak akan dijadikan bahan
hiburan untuk umat Islam lain kongsi bersama.
Dan fikirkan: Kegiatan membuatan
filem dan rancangan televisyen ini merupakan satu perusahaan yang bernilai
beberapa billion dolar Amerika setiap tahun. Ia boleh juga memberi peluang
pekerjaan kepada pengkarya seni kita untuk terus berkarya, disamping mendapat
faedah darinya, iaitu dari segi mengelakkan bahan hiburan yang diserapkan
dengan nilai anti-Islam dari terus disebar ke seluruh Dunia Islam.
Malangnya,
pemimpin Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) tidak sedar tentang pentingnya
filem dan televisyen dan mereka tidak pernah menjadikannya satu isu penting
untuk dibawa ke persidangan mereka yang diadakan setiap dua tahun. Akhirnya
mereka tidak dapat menyelesaikan salah satu masalah utama yang dihadapi oleh
Umat Islam – iaitu, kita ketandusan bahan filem dan bahan hiburan untuk
televisyen yang boleh disebarkan ke seluruh Dunia Islam.
Dan lebih buruk dari itu kita
akan terus menjadi hamba kepada kuasa barat yang sememangnya mahu memupuk nilai
bukan Islam dan anti-Islam secara halus dan pelahan, sehingga kita kini dapat
melihat gelatat anak muda Islam bertabiat seperti mereka bukan berugama Islam.
Itulah
sebabnya kenapa saya tergerak untuk menulis sebuah kertas cadangan untuk
dibincangkan dalam persidangan itu. Malangnya, cadangan itu tidak dinilai dan
diteliti oleh pihak penganjur. Kalau ia dapat dilakukan dan tindakan sewajarnya
diambil, maka saya yakin, Dunia Islam akan berubah dengan mendesak, dan Umat
Islam seluruhnya akan rasa lebih bangga menjadi orang Islam dari sekarang.
Banyak
orang, termasuk pemimpin Dunia Islam, para intelek, pakar sejarah, saikologi,
sosiologi, politik dan ekonomi tidak sedar bahawa bidang pembuatan filem ini
bukan sebuah bidang untuk mereka yang lemah tahab inteleknya.
Pengkarya
filem boleh diangkat tarafnya untuk menjadi pemimpin masyarakat setempat supaya
akhirnya mereka boleh jadi contoh yang baik, untuk mengangkatkan taraf Umat
Islam seluruhnya.
Ini
dilakukan oleh mereka di barat yang telah mengangkat taraf bintang filem dan
pengkarya filem mereka ke suatu taraf, sehinggakan mereka dipuji dan dipuja,
walaupun ini bukan hasrat kita untuk menubuhkan sebuah Sinema Muslim, yang
sepatutnya melahirkan seniman yang berwibawa dan bertanggung jawab untuk
menyebar syiar Islam menerusi karya mereka.
Jadi apa yang diperlukan ialah
untuk kita sama-sama bangunkan sebuah bandar filem yang saya harap dapat
dipanggil Bandar Filem Melaka atau ‘Melaka
Film City’.
Ya, ia baik kalau dapat ditempatkan di Melaka.
Melaka ada
keajibannya dan ia boleh menjadi nama tersohor seluruh dunia dan bukan sahaja
di Dunia Islam, sebab ia adalah pusat perkembangan Islam di Tenggara Islam atau
Nusantara Melayu dalam abad ke-lima-belas dahulu.
Bayangkan:
Sebuah bandaraya baru, dengan mesjid besar lagi indah di tengah-tengahnya. Dan
ia pula dikelillingi dengan studio, bangunan pejabat dan kediaman bintang filem
dan pengkarya filem lain. Dan ada lebuhraya menyambungnya terus ke Lapangan
Terbang Kuala Lumpur (KLIA), atau ke Lapangan Terbang Antarabangsa Batu
Berendam di Melaka.
Bayangkan
lagi: Setiap tahun kita boleh menerbit ratusan filem dan ribuan bahan hiburan
dan maklumat untuk siaran di semua stesen televisyen di Dunia Islam, yang
akhirnya boleh melenyapkan filem dan bahan televisyen dari Amerika dan negara
lain. Biar ia disiar di negara sendiri dan tidak di Dunia Islam.
Dan setiap
tahun kita akan menganjur pesta filem khas bernama, Pesta Filem Dunia Islam
untuk memberi anugerah bernama Anugerah Nur Islam, kepada pengkarya,
pelakon, penulis skrip dan mereka yang
terlibat dengan penerbitan filem, supaya akhirnya Pesta Filem Academy Awards
dan anugerah ‘Oscar’ mereka tidak akan disanjungi oleh kita.
Kenapa
mesti kita mengagungkan filem dan rancangan televisyen mereka, dan anggapnya
penting? Cerita dan watak dalamnya semuanya bukan tentang Orang Islam dan Dunia
Islam. Dan kalau mereka kata filem mereka itu hebat, maka, ia hanya hebat untuk
mereka dan bukan untuk kita.
Saya
terkilan bila pengkritik dan sarjana filem kita sendiri mempunyai fikiran yang
sama dengan mereka di Amerika dan terima bulat-bulat apa yang didakwa mereka
sebagai filem terbaik seluruh dunia. Ia tidak termasuk Dunia Islam sebab kita
mempunyai cara menilai filem dan bahan seni dan hiburan yang lain.
Kebanyakan filem-filem dan bahan
hiburan terbitan di Amerika dan barat yang dikatakan baik atau hebat itu,
sememangnya mempunyai bahan yang anti-Islam seperti adegan ranjang dan
watak-watak dalam keadaan menjijikkan iaitu dalam keadaan berbogel atau separuh
bogel. Mahukah kita anggap ia juga sesuai dengan nilai ugama dan budaya kita?
Mahu tidak
mahu, sudah sampai masanya untuk kita sama-sama merangkakan satu pendekatan
untuk mulakan satu amalan pembuatan filem dan penghayatannya supaya kita dapat
menghasilkan ratusan, malahan ribuan jenis filem, drama televisyen dan bahan
hiburan lain yang mengangkat nilai ugama kita.
Sudah tiba masanya untuk Dunia
Islam, yang sebegitu luas menjangkau seluruh dunia, dengan jumlah umat
berjumlah 1.7 billion orang di semua negara di dunia ini dengan 57 buah negara
yang dianggap sebagai negara Islam, untuk memikir dengan masak untuk
menwujudkan sebuah sinema, iaitu Sinema Muslim atau ‘Islamic Cinema’. Ia bukan
untuk melekakan umat Islam, tetapi untuk mencelekkannya. Ia bukan untuk
mendewakan pelakon ke tahab ‘bintang’ atau ‘idola’ untuk disembah sebagai
keramat, tetapi untuk menjadikan mereka pemimpin baru dalam bidang kesenian dan
kebudayaan.
Yang sedihnya: Ia satu tindakan
yang tidak lain untuk membawa umat balik ke zaman jahilyah. Sayangnya, mungkin
ada sekelompok anak muda Muslim yang sudahpun tiba di zaman ini tanpa
disedarinya dan pihak berkuasa.
Sudah tiba
masanya untuk semua pemimpin Dunia Islam untuk tidak memandang serong tentang
bidang perfileman dan televisyen, dan segera menggunanya untuk kebaikan
bersama, iaitu untuk menyatukan Umat Islam dan menepikan pengaruh anti-Islam
yang sering disebarkan melalui filem dan bahan hiburan lain keluaran barat.
Pawagam,
stesen, akhbar dan penonton kita adalah untuk kegunaan kita, dan ia bukan untuk
kegunaan negara lain, khususnya Amerika, Hong Kong, Taiwan, Jepun, Korea
Selatan, India, Argentina untuk meluaskan pengaruh kebudayaan, kesenian dan
ugama mereka yang rata-rata bukan sama dengan nilai kesenian, kebudayaan dan
ugama kita.
Kalau ini
tidak dapat dilakukan maka kita akan dapat melihat bagaimana kemajuan semua
negara Islam itu menjadi keliru; dalam bidang lain, termasuk perkembangan
bandaraya, fasarana, bangunan, kita nampakkan kemajuan, tetapi dari segi
keugamaan dan kerohanian kita akan menampakkan kemerosotan.
Ini jelas
dapat dilihat di negara kita sekarang bila kita lihat anak-anak muda berugama
Islam meraikan upacara bukan ugama Islam termasuk Hari Padri Besar Valentine,
secara terbuka walaupun mereka memakai tudung.
Mereka
akan melenting-lenting menonton persembahan muzik di padang terbuka dengan rasa ghairah dan taksub
dengan ‘kehebatan’ bakat nyanyian beberapa watak.
Dan yang
amat menyedihkan lagi ialah apabila kita dapat lihat jauh dihadapan padang itu puncak menara
mesjid dan kedengaran dengan pelahan azan dilaungkan oleh muezin yang jerih
mahu tarik umat bersembahyang. Mereka ternyata telah dipesongkan oleh iklan
stesen televisyen yang tidak galak mereka bersembahyang tetapi untuk sama-sama
menjayakan acara hiburan anjuran mereka.
Ini semua
menggelirukan. Ia seperti ‘Islam di dalam; di luar bukan Islam’.
Akhir
sekali saya harap akan dapat sokongan dari kerajaan pusat dan negeri Melaka
untuk melaksanakan cadangan ini untuk membina Bandar Filem Melaka dan
memperkenalkan Sinema Muslim, khusus untuk menyatukan Umat Islam seluruh dunia
dan Bangsa Melayu di Malaysia dan Nusantara Melayu.
Kalau
barat ada Hollywood mereka yang telah menyatukan mereka; dan Bangsa Cina dan
India mempunyai pusat pembuatan filem mereka di Hong Kong dan Mumbai, tentu
Dunia Islam yang mempunyai lebih banyak umatnya turut harus mempunyai pusat
pembuatan filemnya iaitu di Melaka.
Selagi ini
tidak dapat dilakukan, maka Umat Islam dan Bangsa Melayu akan terus berpecah,
dan Dunia Islam dianggap tidak wujud.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan