Selasa, 26 Februari 2013

ETIKA PERILAKU ARTIS: NILA SETITIK…


Oleh Mansor Puteh






Sekarang, ini kerajaan begitu ghairah membicarakan tentang perilaku kaum artis. Dan satu garis panduan yang dipanggil etika perilaku artis akan ditulis untuk mengariskan tingkah-laku sopan mereka. Tujuannya ialah untuk mengawal agar artis tidak berkelakuan tidak sopan.
Tetapi kita semua tahu bahawa artis yang berkelakuan tidak sopan itu biasanya artis yang tidak profesional dan mempunyai keperibadian tinggi. Sedangkan jumlah besar yang lain mempunyai nilai moral dun keperibadian yang murni.
Jadi isiu tentang etika perilaku artis ini sebenarnya seperti membuat  tuduhan kepada semua artis. Ini adalah tidak munasabah samasekali. Dalam masyarakat kita sekarang terdapat halangan sosial dan keugamaan serta undang-undang yang boleh menyekat perbuatan tidak sopan artis. Dan perlu apa kita dengan sebuah etika yang khusus untuk artis?
Tentu apa yang ingin ditulis dalam etika itu tidak berbeza dengan peraturan maupun undang-undang negara seperti yang ada sekarang, seperti tingkah-laku dan pakaian.
Tetapi yang menghairankan ialah kenapa dalam hari-hari biasa seseorang itu, termasuk perempuan berugama Islam boleh memakai pakaian yang agak terdedah sedangkan dia tidak dibenarkan memakai pakaian seperti itu di atas pentas atau di televisyen?
Dan kita juga sering lihat persembahan dari kumpulan mak nyah yang diadakan secara terbuka di hotel dan di perkarangan Finas semasa ‘Malam Mesra’ anjuran lima persatuan perfileman kebangsaan.
Tabiat kaum mak nyah ini berpakaian seperti perempuan dan menari tarian yang agak tidak sopan tidak boleh dikatakan baik untuk masyarukat kita. Dan dari segi undang-undang ugama Islam ianya amat bertentangan. Tetapi persembahan mereka berlaku di perkarangan Finas sendiri, iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Penerangan.
Saya harap kementerian Penerangan tidak akan terburu-buru dan menuduh semua artis sebagai tidak bersopan, sedang yang membuat tahi cuma segolongan kecil. Itupun di kalangan artis yang tidak berpotensi. Dan kebanyakannya terdiri dari perempuan atau gadis remaja yang mahu masuk dalam bidang perfileman untuk bersuka-suka.
Mereka bukannya penting dan tidak mempunyai peranan yang teguh dalam perusahaan filem kita. Mereka cuma muncul dalam sekelip mata sahaja. Atau sehingga mereka dilamar oleh jutawan atau kerabat diraja.
Tetapi, dalam perusahaan filem kita serta dunia muzik, terdapat banyak artis yang mempunyai moraliti yang tinggi. Dan mereka mengharumkan nama baik perusahaan serta negara. Kementerian Penerangan harus juga mengambil kira akan kehadiran mereka. Dengan cuma bercakap tentang beberapa orang artis yang berkelakuan tidak sopan, bukan sahaja boleh menjatuhkan nama baik semua artis, tetapi, boleh memesongkan perhatian orang ramai dan masyarakat kepada isiu-isiu yang remea-temeh.
Mungkin isiu-isiu seperti amat disenangi oleh Kementerian Penerangan dan pegawainya. Ini disebabkan mereka boleh menunjukkan yang mereka mengambil berat tentang nilai moral dan sosial masyarakat. Atau lebih dari itu mereka boleh dianggap sebagai ketua perusahaan.
Artis di negara kita sering diperkecil-kecilkan oleh pihak tertentu. Dan suasana seperti ini telah berjaya menghalang pertumbuhan bidang kesenian di negara kita.
Kenapa pihak tersebut tidak boleh benarkan perusahaan filem dan muzik bertindak menurut kehendak mereka sendiri tanpa disekat atau dihalang?
Kita sudah mempunyai undang-undang bagi mengawal tingkah-laku dan kegiatan pelakon dan penyanyi dan sebagainya. Dan perlukah kita dengan sebuah etika khusus untuk mengawal perilaku artis?
Pihak kerajaan harus membiarkan perusahaan filem dan muzik kita bergerak mengikut undang-undang negara dan bukan mengikut selera dan perasaan seorang-dua dalam kementerian yang sering tidak menentu. Sebab tiap hari kita akan dapat arahan atau peraturan yang baru. Ini semua boleh membingungkan artis di negara sendiri.

Tiada ulasan: