Jumaat, 22 Mac 2013

JELAJAH PESTA FILEM MALAYSIA (JPFM-2013) KE PULAU PINANG DAPAT SAMBUTAN OLEH KHALAYAK BUKAN MELAYU.


…DAN SAYA TERSUNGKUR DI RUMAH KELAHIRAN P. RAMLEE.
Oleh Mansor Puteh



Persatuan Pengarah Filem Malaysia atau Fdam buat tahun kedua menganjur acara Jelajah Pesta Filem Malaysia, yang membawa satu bas peserta terdiri dari pengarah, pelakon dan penyanyi ke Kuantan, Ipoh dan Pulau Pinang dengan lawatan ke Perlis masih dalam perancangan.

Sebuah bas dua tingkat telah diguna untuk acara lawatan ketiga iaitu untuk ke Pulau Pinang selama dua hari.

Faizal Hussein yang baru menang anugerah pelakon lelaki terbaik dalam Pesta Filem Malaysia ke-25 turut hadir bersama Normah Damanhuri, yang menang anugerah pelakon wanita terbaik, dan Aznah Hamid, Sharifah Aminah, Yem Sofi Jikan, Hayati Tasrip dan peserta dari rancangan ‘Mentor’ dan lain-lain yang turut memberi persembahan kepada peminat masing-masing di Padang Kota Lama atau Esplanade, Restoran Bahtera Santai, Uptown Bayan Mutiara, Mydin di Bukit Jambul, disamping diraikan di Muzium Negeri dan Restoran butik Love Lane.

Acara akhir ialah lawatan ke Rumah Kelahiran P. Ramlee. Dan satu perkara yang saya tidak dapat lupakan dalam lawatan pertama saya ke sini ialah apabila saya pitam dan tersungkur ke atas jalan depan bangunan utama komplek ini yang menyebabkan saya cedera ringgan dengan kamera digital saya rosak.

Saya sangkakan simen di situ licin oleh sebab hujan renyai yang telah berlaku sebelum itu, tetapi saya dapat tahu kemudian yang saya telah pitam seketika.

Ini pertama kali saya dipelawa untuk menyertai acara ini yang saya mendapati dapat diguna untuk mengukur tahab penerimaan khalayak terhadap insan yang bergelar seniman dalam semua bidang.

Dan maklumat yang paling utama saya dapati ialah semasa acara di Padang Kota Lama atau Esplanade di Pulau Pinang yang berlaku pada malam 8 Mac lalu, yang menampakkan hampir 95% penonton terdiri dari orang Cina tempatan.

Memang mereka telah berada di padang itu untuk acara awal iaitu untuk menyambut Hari Wanita Sedunia, dan kemudiannya acara rasmi oleh kerajaan DAP, tetapi mereka tetap tunggu untuk persembahan dari rombongan JPFM dan tontonnya sehingga selesai, dengan bangun dari duduk dan pergi berdiri di hadapan pentas.

Kebanyakan orang Cina di Pulau Pinang faseh berbahasa Melayu berbanding dengan masyarakat Cina di negeri-negeri lain dan perhubungan mereka dengan masyarakat Melayu boleh dikatakan lebih akrab, seperti masyarakat Cina dan Melayu di Melaka.

Ternyata persembahan lawak-jenaka dan nyanyian serta tarian yang dilakukan oleh peserta JPFM menarik perhatian khalayak di situ yang telah sedia menunggu.

Ini semua memberi erti bahawa penonton filem, drama televisyen dan pendengar untuk filem dan muzik Melayu dikalangan bukan Melayu sebenarnya ada.

Tetapi yang malang atau sedihnya ialah, media Cina dan India tidak memberi mereka maklumat tentang kegiatan dalam perusahaan filem dan muzik tanahair.

Malah Pesta Filem Malaysia ke-25 yang berlaku pada 2 Mac lalu juga tidak diberi liputan oleh media bukan Melayu, kecuali akhbar Inggeris.

Mungkin ada sebabnya kenapa media Cina dan India enggan beri liputan kepada filem dan muzik Melayu.

Mereka begitu asyik dan ghairah sekali untuk memberi liputan luas kepada kegiatan seni dari Hong Kong, Taiwan dan Negara Cina dan India, termasuk dari Amerika dan barat.

Tetapi mereka sedikitpun tidak mahu beri liputan terhadap kegiatan seni tempatan, iaitu Melayu.

Malah sastera Melayu juga tidak diberi liputan bukan sahaja oleh media Cina dan India tetapi Inggeris.

Ini amat menyedihkan, lebih-lebih lagi apabila ada akhbar bahasa Inggeris beri liputan luas kepada sastera Inggeris.

Tetapi yang malangnya, pengkritik sastera mereka tidak peka, dan mereka hanya dapat beri pandangan dan pendapat tentang sastera Inggeris dan buku serta novel yang dinilai dengan mengikut kacamata Inggeris juga.

Malah, pengkritik filem mereka juga melihat filem-filem dari barat khususnya dari Hollywood dari kacamata orang Inggeris juga sehinggakan filem-filem yang mempunyai nilai anti-Islam yang mendapat sanjungan di barat, mereka tetap sanjung.

Akhbar bahasa Inggeris seperti tidak sedar bahawa pengaruh Hollywood diseluruh dunia termasuk Dunia Islam telah lama merundum, iaitu akibat dari tindakan pemimpin politik dan tentera mereka menghancurkan beberapa negara Arab dan Islam lain.

Jadi, apa sebabnya mesti media bahasa Inggeris dan bukan Melayu lain beria-ia mahu bantu selamatkan Hollywood dan sastera Inggeris di Malaysia, sedangkan penerimaannya dikalangan masyarakat Melayu dan juga bukan Melayu sudah berkurangan sekarang?

Dan tidak salah kalau kita dapatkan media bukan Melayu beri lebih tumpuan kepada perkembangan dalam bidang kesenian, kesusasteraan, filem dan muzik Melayu atau tempatan lain termasuk yang dibuat dalam bahasa Cina dan India, supaya sebuah perusahaan hiburan dan sastera baharu Malaysia dapat diperkembangkan.

Tujuannya ialah untuk lama-kelamaan, perusahaan hiburan dan sastera barat atau asing termasuk yang dari Hong Kong, Taiwan, Negara Cina dan India dapat dilenyapkan samasekali di Malaysia.

Cuma yang tidak ada dalam acara JPFM ialah sebuah forum yang sepatutnya boleh diadakan di Universiti Sains Malaysia (USM) atau mana-mana kampus dan akademi di Pulau Pinang atau dimana-mana tempat acara ini diadakan.

Jadi adalah diharapkan kalau JPFM diadakan di Perlis dalam masa terdekat, acara forum untuk membincangkan tentang perkara ini dapat diadakan.









Tiada ulasan: