Oleh Mansor Puteh
Saya seperti ramai rakyat Malaysia tentunya rasa bangga dengan pembinaan bangunan Menara berkembar Petronas di KLCC, dan menunggu penyiapannya dengan penuh debaran. Tentu sekali rakyat Malaysia bangga yang kita kini mempunyai menara berkembar tertinggi seluruh dunia.
Dan sebahagian dari komplek bangunan berprestij ini telahpun siap dan dibuka kepada orangramai, khususnya pembeli di komplek membeli-belah Suria KLCC.
Tetapi, perasaan bangga itu lupus, dan yang menggantinya ialah kehampaan.
Di luar memang kita boleh rasa megah dengan tersergamnya bangunan KLCC itu, tetapi apabila kita masuk ke dalam, kita terasa seperti berada di luar negeri.
Sedikitpun tidak terdapat identiti Melayu yang kita bangga-banggakan dalam senireka dan senibenuk. Apa yang kita dapat lihat ialah tidak bebeza dengan komplek membeli-belah lain seperti Utama 1, Petronas Sogo dan The Mall, dan lain-lain.
Malah bahasa yang diguna untuk membuat pengumuman di Suria KLCC adalah Inggeris, tanpa dimulakan dengan Bahasa Melayu.
Jadi, tidak hairanlah kalau kita terasa seperti berada di luar negeri dan bukan di negara sendiri, walaupun menara itu kebanggaan kita.
Dan yang paling mengeciwakan ialah suatu menara kebanggaan kita, menjual barangan dengan jenama asing. Kenapa mesti barangan luar negeri diutamakan dalam kompleks penuh bermakna seperti itu?
Syarikat Isetan milikki orang Jepun menjadi penghuni terbesar di Suria KLCC dan ia menjual barangan berjenama Jepun, sedangkan kedai-kedai lain pula menjual barangan dari negara lain.
Sepatutnya, Suria KLCC cuma menjual barangan tempatan, untuk menggalakkan orangramai membelinya. Sebab komplek Menara Berkembar Petronas, atau KLCC ini merupakan sesuatu projek kebanggaan kita, dan adalah tidak kena kalau ia diguna untuk penjualan barangan asing.
Jadi, keunikan KLCC untuk rakyat Malaysia cuma sekadar luarannya sahaja,sedangkan di dalamnya, ia tidak berbeza dengan komplek membeli-belah lain.
Akhirnya, saya berpendapat KLCC itu seperti ‘indah khabar dari rupa’. Dan saya tidak rasa bangga dengannya. Lawatan pertama saya ke sana baru-baru ini amat menghampakan saya, sebab saya telah mengharapkan kesenian dan reka-bentuk Melayu atau Malaysia digunakan disamping Bahasa Melayu, dan kedai-kedainya menjual dan mempromosi barangan tempatan, tetapi ini tidak berlaku.
Sepatutnya pihak kerajaan menggalakan tuan punya kedai-kedai khususnya di Suria KLCC dan lain-lain pusat membeli-belah menyuruh pekerja mereka memakai pakaian tempatan atau batik untuk mewujudkann satu identiti tempatan. Pelancong asing sudah tentu akan tertarik dengan ini.
Dan rekabentuk yang digunakan itu mestilah jenis tempatan, supaya ia berbeza dengan pusat membelibelah di luar negeri. Malah kalau kita ke Indonesia , misalnya, kita akan melihat juru-jualnya memakai pakaian tempatan, dan sebanyak mungkin senireka dalam (interior design) menunjuk ciri-ciri tempatan.
Ini dengan secara tidak langsung menggalakkan jurujual memakai pakaian dan kain tempatan jenis batik, yang sekaligus menggalakkan perkembangan perusahaan batik.
Yang sedihnya ialah ramai pelancong yang gemar memakai pakaian batikdari orang tempatan.
Contoh yang paling baik ialah jurujual di kedai-kedai di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz di Subang yang mana memakai pakaian tempatan diperbuat dari kain batik.
Tentu sekali Suria KLCC boleh mengadakan peraturan bagi menggalakkan jurujual di kedai-kedai di pusat membeli-belah ini memakai pakaian tempatan. Dan muzik yang dimainkan mestilah muzik tempatan, dan tidak muzik Barat.
Dan adalah diharapkan agar syarikat makanan segara dari Amerika tidak digalak membuka kedai cawangan mereka di Suria KLCC dan kedai-kedai menghidangkan makanan tempatan dibenar berniaga.
Selagi ini tidak dapat dilaksanakan, maka saya anggap Suria KLCC tidak berbeza dengan pusat membeli-belah lain di Kuala Lumpur yang tidak mempunyai identiti Melayu atau Malaysia .
Tiada ulasan:
Catat Ulasan