Jumaat, 12 Oktober 2012

ERA ‘SAUDAGAR MIMPI’ BERAKHIR:


PENONTON SUDAH NAIK BOSAN DENGAN HIDANGAN MEREKA DENGAN SAMBUTAN DINGIN TERHADAP FILEM-FILEM YANG TIDAK BERTENAGA DAN MEMPUNYAI JIWA KOSONG – YANG MEMUPUK NILAI ANTI-ISLAM SECARA TERANG-TERANG.
Oleh Mansor Puteh



Memang ada sebabnya kenapa dulunya beberapa filem Melayu dulu mendapat sambutan dari penonton; ia memberi janji perusahaan filem Melayu ada masa depan.

Dan ada sebabnya juga kenapa sejak kebelakangannya, filem-filem Melayu yang dihidangkan ke khalayak ramai mendapat sambutan dingin; ia tidak lain penonton telah menjadi mual dan bosan atau jelak dengan hidangan yang sama dan serupa yang semuanya dibuat tanpa pemikiran mendalam atau tujuan tertentu selain untuk penerbit meraih keuntungan besar.

Malangnya, filem-filem yang diedar kebelakangan ini, hanya mendapat sambutan muram dari penonton, dan kemungkinan besar penerbitnya mengalami kerugian besar juga.

Ada puluhan lagi filem dalam jenis hantu dan mat rempit yang telah disiapkan yang masih belum lagi diedar di pawagam.

Apakah mereka juga akan mengalami masalah yang sama, tidak ada penonton dengan kutipan untuknya lebih teruk dari filem-filem yang baru sahaja diedar kebelakangan ini?

Jadi, jangkaan mereka, yang filem-filem yang mereka fikirkan boleh mendapat sambutan hangat dari penonton yang membolehkan mereka meraih keuntungan besar, jelas meleset.

Mereka perlu fikirkan apa formula lain yang mereka boleh guna, sebab ternyata formula lama itu yang berkesan dan yang menguntungkan sudah lapuk.

Ia adalah juga satu petanda jelas tentang penolakan mereka terhadap ‘saudagar mimpi’ (Dream Merchants) yang telah lama bertujuan dan berniat untuk melekakan penonton dengan membelai perasaan dan pemikiran mereka dengan juadah sinema yang tidak seberapa, yang lebih dari tiruan dari ketulenan; lebih dari syriknya, yang sehingga kini telah boleh memperdayakan penonton termasuk pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF) yang benarkan filem-filem tersebut diedarkan secara awam.

Walhal, kebanyakan filem-filem hantu yang dipanggil ‘seram’ adalah yang memaparkan adegan yang langsung tidak masuk akal; ia adalah usaha untuk mendewakan lembaga yang dianggap boleh mengugat iman umat Islam.

Tetapi Malaysia kini kian menjadi seperti Amerika, bila LPF dan para ulamak enggan dan takut memberi komen tentang filem-filem seperti itu,.sebab mereka takut dianggap sebagai kolot.

Seperti di Amerika, bila para paderi dan tokoh ugama mereka tidak berani kecam pengarah filem dan studio besar yang berani terbit filem-filem yang mempersendakan tokoh ugama mereka, sebab mereka dikatakan terletak di peringkat atas, dan kedudukan mereka sebagai pengkarya filem atau bidang seni lain terkawal oleh Perlembagaan di Amerika.

Oleh sebab itu nilai moral dan sosial di Amerika runtuh, dengan berkembangnya bidang penerbitan filem dan karya seni lain di negara ini.

Keadaan yang sama mahu diwujudkan di Malaysia, bila pengkarya filem dan cabang seni lain tuntut hak yang sama. Mereka anggap kedudukan mereka lebih mulia dan mereka tidak boleh dikecam.

Bagaimanapun, apa yang dilakukan oleh pengarah filem yang menerbit filem-filem yang mempunyai elemen syirik itu tidak boleh lari dengan kencaman dari penonton yang akhirnya sedar, dan mereka tolak filem-filem seperti itu setelah begitu lama dibelai olehnya.

Itulah salah satu sebab kenapa banyak filem-filem hantu – dan bukan seram – kini gagal di pawagam.

Yang amat menyedihkan lagi ilah kebanyakan filem-filem tempatan yang diterbit dan diedarkan sejak kebelakangan ini memupuk nilai anti-Islam dengan watak-watak utama dalamnya yang mirip orang Melayu yang berugama Islam, tetapi dalam filem-filem tersebut mereka tidak boleh dikatakan orang Melayu yang berugama Islam.

Mereka lebih berlagak seperti orang di barat, yang tidak berbudaya dan berugama.

Ini yang malangnya sebab perspektif ugama dan budaya tidak ditonjolkan sebagai latar kepada watak, perwatan dan suasana, jadi tidak hairan kalau ia beri gambaran kepada sarjana dan pengkritik filem tempatan maupun di luar negara bahawa filem-filem Melayu sekarang lebih gemar menonjolkan orang Melayu yang tidak berbudaya dan juga yang bukan berugama Islam.

Sebab tidak ada bukti yang watak-watak tersebut orang yang berbudaya dan yang berugama Islam.

Kita tidak boleh buat andaian yang ia filem tempatan, yang diterbitkan oleh orang Melayu, maka watak-wataknya adalah orang Melayu yang berugama Islam.

Mungkin kalau ada pengkritik dan sarjana filem yang mahu tanya apa buktinya watak-watak dalam filem-filem Melayu itu berugama Islam? Tidak ada bukti yang jelas, kalau kita tidak buat andaian dan lihat dan kaji apa yang disajikan dalam filem-filem tersebut.

Jadi tidak hairan kalau pihak di LPF dan ustaz yang turut keliru dan tidak dapat mengkaji aspek ini dalam filem tempatan, dan sanggup berdiam dan benarkan filem-filem seperti itu dari terus diterbit dan diedarkan.

Ia juga bukan filem-filem yang boleh dibanggakan oleh negara, Bangsa Melayu dan Umat Islam.

Malah, tidak sebuah pesta filem antarabangsapun yang berminat untuk menjemput mana-mana filem yang berkisar sekitar hantu dan anak-anak gampang, berlagak seperti remaja Amerika.

Jadi penolakan khalayak kebelakangan ini terhadap filem-filem yang mempunyai elemen yang dianggap syrik dan khurafat itu, memang ada sebabnya, dan ia bukan sahaja oleh sebab ia tidak mempunyai sesuatu yang baru, tetapi yang mempunyai elemen-elemen anti-Islam.

Ia mungkin merupakan satu tanda, perusahaan filem Melayu sudah benar-benar ada sebab untuk maju, sekiranya penonton sudah mula menjadi mual, jelak dan bosan dengan filem-filem tidak berbudaya dan tidak berugama yang lazim diterbit oleh ‘saudagar-saudagar mimpi’ yang sedia ada, yang belum bersedia untuk maju.

Masa yang bakal menentukan apakah ‘saudagar-saudagar mimpi’ yang ada itu, akan mula sedar bahawa mereka juga perlu mempertingkatkan pemikiran mereka dalam bidang filem dan teroka jenis filem lain yang memberi tempat kepada watak-watak yang bertamaddun dan berugama demi menjaga nama bangsa dan ugama, supaya ia tidak terus dicemar oleh mereka sendiri demi mahu terbit filem yang sepatutnya dikongkong oleh nilai budaya dan ugama dan tidak memcemarkannya.

Tiada ulasan: