Rabu, 14 November 2012

RUMAH DI GRANGE ROAD, CAMBRIDGE – DIMANA TUNKU ABDUL RAHMAN MULA TERFIKIR UNTUK USIR INGGERIS DARI TANAH MELAYU.


…JADIKAN BANGUNAN INI BANGUNAN WARISAN MALAYSIA DI ENGLAND BERSAMA BANGUNAN THE OLD RECTORY DI LITTLE STUKELEY.



Tan Sri Mubin Sheppard, rakan karib Tunku Abdul Rahman ada menulis tentangnya, dalam buku riwayat hidup Tunku berjudul, ‘Tunku: His Life and Times – the authorized biography of Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj’ terbitan Pelanduk Publications dalam tahun 1995 dulu.

Tetapi mungkin Mubin ada cuma percakapan atau perbualannya dengan Tunku semasa kedua mereka masih hidup.

Tetapi saya telah sempat membuat rakaman dengan Tunku di kediamannya di Bukit Tunku, bilamana Tunku beritau saya bahawa pengelamannya belajar di Universiti Cambridge dulu telah memberi kesedaran kepada beliau untuk mengusir Inggeris dari Tanah Melayu.

Satu peristiwa yang Tunku tidak dapat lupakan sepanjang umurnya ialah bagaimana beliau, sebagai pelajar asing di England dan di universiti itu telah tidak dibenar menginap dalam asrama bersama pelajar-pelajar Inggeris lain.

Ini memaksa beliau mencari kediaman sendiri iaitu di Grange Road, yang terletak tidak jauh dari kampus Universiti Cambridge.

Dan di sinilah dimana Tunku menyewa sebuah bilik untuk menginap dan belajar di St. Catherine’s College, yang terletak tidak jauh dari rumah sewanya.

Tunku telah datang ke England dalam usia yang agak muda, iaitu enam-belas tahun, untuk belajar bahasa Inggeris dengan padri di Little Stukeley di daerah Cambridgeshire.

Beliau mendapat pendidikan dari paderi dan menginap di bangunan yang dipanggil Old Rectory.

Dan beberapa tahun kemudian, beliau telah mendapat tempat untuk menyambungkan pelajaran di St. Catharine’s College di Universiti Cambridge sehinggalah tamat pengajian dengan memperolehi ijazah sarjana muda dalam bidang undang-undang.

Kehidupan Tunku dalam episod ini juga dapat dilihat dalam buku riwayat Tunku oleh Ramlah Adam berjudul, ‘Biografi Politik Tunku Abdul Rahman’ terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam tahun 2005 dan ‘The Untold Biography - The Great Patriot’ oleh Sharif Ahmad terbitan Pustaka Antara dalam tahun 1993.

Saya juga mendapat maklumat tambahan tentang Tunku langsung dari anak saudaranya, Tunku Ismail Jewa yang telah beri saya satu salinan naskah ‘Letters – with reference to Tunku Abdul Rahman Putra’ sebelum beliau (Tunku Ismail) meninggal dulu.

Dalam ‘Letters’ Tunku Ismail ada cetak gambar-gambar yang beliau sendiri rakam yang menunjukkan bapa saudaranya tinggalkan kediaman rasmi Perdana Menteri ketika itu yang dikenali sebagai Residensi (atau The Residency) yang terletak dihujung Jalan Dato’ Onn.

Saya telah dipanggil untuk bertemu dengan Tunku di kediamannya di Bukit Tunku bagi merakam temuramah saya dengan beliau dimana beliau telah menceritakan tentang pelbagai perkara, termasuk pengelaman beliau belajar di Cambridge.

Dan beliau menyatakan betapa terharunya beliau bila diberitau bahawa beliau tidak layak mendapat tempat menginap di asrama bersama pelajar lain.

Beliaupun menyewa bilik di Grange Road dan bergaul dengan pelajar-pelajar lain dan di sinilah dimana beliau memupuk semangat cintakan negara setelah lama tinggal jauh darinya.

Dan di sinilah dimana Tunku menunjukkan minat dalam bidang sokan dan sosial, termasuk akhirnya minat untuk membebaskan Tanah Melayu dari penjajahan Inggeris.

Tidak dapat dinafikan bahawa mint Tunku terhadap acara sokan lumba kuda boleh dikatakan dipupuk oleh sebab tidak jauh dari rumah sewa pertamanya di Little Stukeley, terdapat sebuah ladang lumba kuda.

Dan di Grange Road pula ada sebuah padang bola sepak untuk pasukan Universiti Cambridge, dimana telah menarik perhatian Tunku untuk turut sama terlibat dengannya.

Jadi tidak hairan kalau orang anggap minat Tunku terhadap acara sokan bola sepak terpengaruh dengan keadaan dan tempat dimana beliau berada di situ.

Kalau terdapat padan hoki terletak dekat dengan rumah sewanya, sudah pasti, Tunku juga akan tertarik dengan acara ini. Tetapi ini tidak berlaku.

Jadi dalam tahun 1986, sayapun pergi ke Bukit Tunku bersama rakan saya, Hassan Muthalib untuk membuat temuramah dengan Tunku.

Ia telah diuruskan oleh kakak saya, Rokiah binti Puteh yang telah tinggal di Residensi setelah berkahwin dengan anak saudara/anak angkat Tunku, Syed Abdullah Barakhbah pada 16 November, 1963 dulu.

Dan Rokiah anggap apa yang saya telah katakana dengan hasrat untuk bertemu dengan Tunku sebagai sesuatu yang serius, sedangkan saya hanya bercakap-cakap sahaja.

Jadi saya agak terkejut bila beliau menalipon dan beritau Tunku mahu jumpa.

Sayapun talipon Hassan yang ketika itu bekerja di Filem Negara Malaysia (FNM) untuk ikut sama dengan membawa pita rakaman.

Sebab saya tidak mahu buat temuramah dengan Tunku tanpa merakamnya. Ia boleh membuat ramai orang berfikir saya ada niat tidak baik dengan sengaja mahu menulis tentang Tunku dengan memberi ungkapan darinya yang tidak dapat dibukti.

Mujur saya masih ada lagi pita rakamnya dan sebahagian darinya telah diguna dalam dokumentari ‘Bertahun di Residensi’ atau ‘The Residency Years’ yang diterbit oleh Finas dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), yang telah disiar dalam bulan Mac, 2010 dan Ogos, 2010 dahulu.

Dalam dokumentari ini saya telah menunjukkan juga gambar-gambar peribadi yang diambil oleh Syed Abdullah dalam Residensi tentang kehidupan seharian keluarga Tunku, termasuk kunjungan dari kenamaan dari dalam dan luar negara, yang mana tidak dirakam oleh sesiapa.

Ini disebabkan ketika itu bidang penyiaran dan laporan berita tidak sehebat berbabing dengan sekarang, bila setiap gerak perdana menteri dirakam.

Jadi, Syed Abdullah boleh dianggap sebagai jurugambar tidak rasmi Tunku, sebab tanpanya banyak kegiatan Tunku sekeluarga di Residensi tidak dapat dirakam.

Gambar-gambar dalam koleksi Syed Abdullah telah juga dicetak dalam buku khas berjudul ‘The Residensi Years’ dengan pameran sebanyak 106 gambar dengan judul sama diadakan di R A Gallery di Jalan Aman dekat Jalan Tun Razak dalam bulan September, 2009 dulu.

Kemungkinan besar buku ini dalam edisi Melayu akan diterbit dengan judul ‘Bertahun di Residensi’ akan berlaku tidak lama lagi.

Tunku beritau saya bahawa beliau telah membuat aduan kepada Residen Inggeris di Kedah tentang layanan buruk oleh pihak Universiti Cambridge, dan apabila Residen itu pergi ke kampus, beliau telah beritau mereka siapa Tunku – seorang anak raja di Negeri Kedah di Tanah Melayu.

Pihak universiti terkejut dengan pendedahan ini, dan lantas beri Tunku bilik di asrama.

Tunku beritau mereka beliau tidak dapat terima tawaran itu sebab beliaupun sudah tidak lama lagi akan tamat pengajian.

Tetapi episod ini telah mencetuskan satu perasaan dalam diri dan pemikiran Tunku sehinggakan beliau berkata beliau mahu usir Inggeris dari Tanah Melayu.

Dan bila Tunku akhirnya masuk dalam bidang kepimpinan negara atau politik, dan dalam masa Tanah Melayu mahu cari penyelesaian untuk mengusir Inggeris dari Tanah Melayu, perasaan yang beliau rasai semasa belajar di Universiti Cambridge itulah yang telah mendorong beliau untuk teruskan usaha beliau.

Mujur Tunku belajar di England. Mujur Tunku berpendidikan tinggi. Mujur Tunku terdiri dari kerabat diRaja yang paling tua di Tanah Melayu.

Mujurlah juga Tunku mempunyai akal yang jauh dan pemikiran yang tajam. Oleh sebab itu, Tanah Melayu dapat dibebaskan dengan cara mudah tanpa melihatkan pertarungan. Dan dalam kata-kata Tunku, ‘Tanah Melayu dapat dibebaskan dari penjajahan Inggeris – tanpa setitik darahpun mengalir’.

Ini bukan satu kejayaan yang kecil.

Pemimpin kebebasan atau kemerdekaan India, Mahatma Gandhi yang mahu capai kemerdekaan untuk negaranya secara aman juga akhirnya gagal, bila orang India bertempur dengan pihak Inggeris yang menyebabkan ramai orang awam terbunuh.

Di Tanah Melayu perkara ini tidak berlaku dan Inggeris diusir dengan lemah-lembut tetapi tegas dengan mengguna cara diplomasi dan lengok bahasa istana yang orang Inggeris sebenarnya gemar mendengar, berbanding dengan kata-kata kasar yang mampu oleh sekumpulan puak yang mahu desak Inggeris ‘mengambus’ dari Tanah Melayu secara paksa dengan mengguna kekerasan.

Jadi, apa yang boleh dibuat dengan bangunan di Grange Road di Cambridge itu?

Saya telah sempat ke sana beberapa kali dan bertemu dengan pemiliknya, seorang lelaki Inggeris yang dulunya penduduk Afrika Selatan, yang kini menetap di England.

Beliau kelihatan terharu dengan pendedahan bahawa Tunku pernah menginap di dalam bangunan ini.

Tidakkah sesuai kalau kerajaan beri sedikit penghargaan kepada bangunan ini dan anggapnya sebagai sebuah bangunan warisan negara, walaupun di England?

Ia bukan bangunan sebarangan. Ia adalah bangunan dimana Tunku mendapat ilham membebaskan negara dari penjajah Inggeris.

Mungkin ada baik kalau bangunan ini dibeli oleh kerajaan dan dijadikan Memorial Tunku Abdul Rahman di England dengan mendapat kerjasama dengan St. Catharine’s College.

Macam-macam kemungkinan boleh dilakukan dengan pemilikan bangunan di Grange Road ini, dan sudah pasti ia boleh diguna untuk kebaikan bersama diantara Malaysia dan England.

Tetapi setidak-tidaknya, bangunan di Grange Road dan juga di Little Stukeley itu boleh diberi pengiktirafan oleh kerajaan sebagai bangunan warisan Malaysia di England dan pemiliknya diberi penghargaan yang setimpal dengannya sebab merekalah yang telah menjaga warisan Malaysia di England.

Bilik sewa Tunku di London ialah di Barkston Gardens, semasa beliau balik ke England untuk menyambungkan pelajarnnya dalam tahun 1940an dahulu.

1 ulasan:

shake berkata...

Ada tak foto sulsiman hin abdul rahman ?anak angkat tunku kemana perginye?