Ahad, 20 Januari 2013

KETENANGAN SELEPAS LEDAKAN DI KUTA, BALI 12 OKT 2002.


Oleh Mansor Puteh








Ketenangan boleh dilihat di sekelilling walaupun ia tidak sama seperti ketenangan yang saya nikmati kali terakhir saya berada di Pantai Kuta, Bali tujuh tahun dahulu. Keresahan masih dapat dirasai di seluruh kawasan ini walaupun ia tidak terukir pada wajah-wajah orang tempatan di sini yang masih asyik menjalankan pekerjaan dan perniagaan mereka -  menyewa papan lunsur, mencetak gambar dan menjual barang-barang kerja-tangan kepada pelancong.
          Hampir semua orang di sini fikir saya ‘orang Jepang’ –  dengan kamera pegun dan vidio membuat rakaman dan sekali-sekali membuat lakaran pemandangan, bangunan dan tempat menarik di mana-mana.
          Lautan bergelora dengan ombak sekencang seperti biasa, tetapi jumlah orang yang melunsur dan mereka yang berbaring di atas pantai begitu kecil. Jumlah mereka boleh dikira.
          Ini berbeza dengan suasana di Kuta, Bali sebelum Ledakan 12 Oktober 2002 dulu dimana terdapat lebih banyak pelancong dan kedai-kedai yang menjual bermacam jenis pakaian dan barang-barang kerja-tangan tempatan sesak dengan muzik Barat dan tradisional Bali bercampur-campur bersama pelancong asing dan orang tempatan yang sememangnya mempunyai perwatakan yang amat berbeza.
          Pemandangan dari luar jendela bas yang membawa saya ke sini dari Pekan Ubud di kawasan pendalaman awal pagi kelihatan seperti biasa – sebuah pusat pelancongan yang penting di Pulau Bali dan seluruh Indonesia.
          Sejak puluhan abad lagi pulau ini yang lebih dikenali dengan jolokan ‘Pulau Dewata’ telah berjaya menarik perhatian pelancong dari seluruh dunia, khususnya dari Australia yang merupakan jiran terdekat pulau ini sebab orang Bali yang tinggal di sini mempunyai falsafah dan cara hidup yang amat berbeza dengan orang lain termasuk ugama Hindu Dharma mereka.
          Semangat kejiranan dan persaudaraan mereka amat unik dan kuat dengan setiap mereka memegang dengan ‘Hukum Karma Pala’ ugama mereka yang bererti mereka yang melakukan perbuatan baik dan jahat itu akan dibalas juga akhirnya.
          Orang di Bali fikir, kalaulah pemimpin Amerika dan Barat dapat belajar tentang hukum ini dari orang Bali, tentu dunia akan menjadi lebih tenang dan selamat. Malangnya, mereka lebih gemar menunjukkan keangkuhan mereka, sebab mereka memilikki senjata pemusnah terbesar di dunia; maka mereka tidak perlu belajar tentang ‘Hukum Karma Pala’ dari orang Bali atau sesiapa.
          Oleh itu mereka tidak melakukan sebarang tindakan ganas sebaik sahaja ledakan yang berlaku di Kuta 12 Oktober 2002 dulu sebab pada pendapat mereka, semuanya yang telah berlaku itu telahpun ditakdirkan.   
          Mereka juga boleh ambil tindakan terhadap mereka yang telah bertanggung jawab memusnahkan kelab hiburan mereka yang meragut hampir 200 orang, tetapi tidak. Mereka bertenang. Inilah yang telah menyebabkan keadaan menjadi kurang resah dan cemas, walaupun perusahaan pelancongan mereka terjejas teruk dan masih belum pulih seperti sediakala walaupun terlihat ramai pelancong asing khususnya dari Barat yang sudah berani menjengokkan muka mereka di sini.
          Namun demikian ada seorang lelaki yang bekerja di sebuah rumah makan Padang di Pekan Ubud yang telah menyatakan kepada saya semasa saya makan malam sebelum menonton persembahan tarian Legong di Gedung Wantilan di tengah Pekan Ubud bahawa Mesjid Ubud telah dibom berikutan dari apa yang telah berlaku di Kuta, tetapi berita ini tidak dilaporkan.
          Sekarang umat Islam di sini masih mengguna mesjid ini untuk bersembahyang dan berkumpul, tetapi mereka tidak melaungkan azan seperti dulu.
          Namun demikian, kini terdapat lebih banyak mesjid di seluruh pulau ini berbanding dengan di masa-masa dulu dan rumah makanan halal yang dibuka oleh orang yang telah datang dari Padang di Pulau Sumatera yang boleh membuat pelancong berugama Islam rasa lebih selesa.
          Ia adalah bagi menampung ramainya penduduk berugama Islam dari pulau Jawa dan Madura yang telah berhijarah ke pulau ini untuk mencari rezeki. Ada yang telah berkahwin dengan wanita Bali yang dengan rela masuk Islam tanpa menghadapi tentangan dan halangan dari keluarga mereka.  
          Berada di Pantai Kuta, terasa seperti berada di Honolulu dengan orang membawa papan lunsur dan berpakaian seluar mandi berjalan berkaki ayam dengan tubuh badan mereka yang telah legam dibaham matahari terik di pantai Kuda.
          Di sekelilling adalah kedai-kedai minuman dan kelab hiburan yang dibuka sehingga lewat pagi. Inilah yang telah menarik pelancong dari Barat khususnya untuk datang berhibur, bersantai da menikmati keindahan alam semulajadi yang tidak terdapat di negara mereka.
          Dulu mereka boleh berbaring dan mandi di dalam laut dengan berbogel tanpa risau. Tetapi sekarang keadaan sudah berubah; tidak ramai – malah tidak ada sesiapa yang berbaring atau bersiar-siar secara berbogel di sini.
          Malah orang tempatan yang juga gemar memandi di dalam sungai dan longkang besar secara demikian tidak melakukannya. Mungkin ramai sudah boleh mendapat air dari paip di rumah sendiri dan mereka tidak perlu untuk pergi ke sungai atau longkang besar untuk mandi, mencuci pakaian dan kereta.
Bali sudah berubah. Hampir sepertiga penduduknya kini berugama Islam. Ramai dari mereka keturunan Jawa, Padang dan Madura yang telah berhijrah ke sini.
          Persembahan tarian Legong yang saya telah saksikan juga menampilkan penari wanita yang berpakaian yang lebih menutup tubuh badan, berbanding dengan pakaian cara kemban sempit yang mereka pakai dahulu.
          Dulu pelancong dari Barat tinggal di Ubud dan seluruh Bali untuk tempuh yang lama. Mereka tidak dianggap sebagai pelancong tetapi pelawat yang berminat bergaul dengan orang-orang kampung dan makan dengan tangan dan bersila bersama mereka.
          Faktor utama yang mendorong mereka berbuat demikian ialah mereka rasa senang di sini. Tambah pula nilai wang mereka tinggi dan mereka boleh hidup bermaharajah-lela di sini seperti mereka benar-benar berada di dalam syurga dunia sambil berhibur dalam kelab hiburan yang berbuka sehingga awal pagi!
          Ramai juga gadis Jepun dan asing lain yang sanggup untuk terus menetap di sini dengan berkahwin dengan keadaan sudah berubah walaupun pemuda yang mereka pilih itu tidak mempunyai pekerjaan yang lumayan, sekadar pekerja di pantai atau pemandu pelancong.
          Tidak hairanlah kenapa kenikmatan dan kemakmuran yang dirasai oleh penduduk di pulau ini yang rata-ratanya bergantung kepada perusahaan pelancongan terganggu pada 12 Oktober 2002 lalu dengan letupan yang telah berlaku kepada Sari Club dan Paddy’s Pub yang terletak di tengah-tengah kawasan Legian di Pantai Kuta.
          Walaupun banyak masa telah berlalu sehingga kini kesannya masih dirasai oleh orang di sini.
          Banyak kedai dikunci. Ia mempunyai papan tanda ‘Dikontrakkan’ atau ‘Disewakan’. Dan pelancong yang datang ke sini akan terus pergi ke papan tanda atau monumen yang telah didirikan berhampiran dengan Paddy’s Pub dan Sari Club di Legian untuk mengambil gambar kenangan. Ada yang tinggalkan sejambak bunga kepada rakan-rakan atau saudara mereka yang telah terkorban.
          Ada beberapa rakan saya yang dulunya membuat lukisan kini telah membuat pekerjaan lain. Galeri di mana dia bekerja dulu kini telah tutup. Jadi saya hampa sebab tidak dapat beli beberapa buah lukisan darinya sebagai kenangan.
          Saya juga tidak dapat beli baju batik Bali oleh sebab ia tidak dijual di mana-mana saya pergi di Ubud maupun di Kuta. Inilah sahaja barang yang saya mahu bawa balik ke Malaysia selain dari rakaman vidio dan gambar-gambar yang saya telah ambil sepanjang perjalanan ke sini.
          Tetapi barang-barang yang dijual adalah kemeja-T dan beg kulit berjenama antarabangsa tetapi tiruan.
          Kalau di masa-masa dulu, ramai pelancong boleh dilihat di mana-mana. Ramai tinggal di Ubud dan pekan-pekan lain beberapa minggu sebelum balik ke negara masing-masing. Kini mereka cuma bersinggah sebentar sahaja dengan menaikki bas dan bersinggah di tempat menarik sebelum pergi dengan barang-barang yang mereka telah beli dan gambar yang mereka telah ambil di pura dan puri usang.
          Pelancong yang paling ramai datang ke Bali sekarang bukan lagi orang dari Australia, Amerika atau Barat, tetapi dari Negeri Cina, Taiwan dan Jepun.
          Mereka boleh dihat di mana-mana di Ubud, khususnya membeli-belah da menonton persembahan tarian kesenian tempatan seperti Barong, Legong, Kecak dan lain-lain. Saya sudah menonton semuanya, jadi saya cuma pilih untuk menonton tarian Legong sekali lagi. Ia diadakan di Gedung Wantilan yang kini sudah diubahsuai dengan perbelanjaan oleh Bank Dunia. Ia terletak di hadapan Puri Ubud atau Istana Ubud.
          Namun demikian istana ini terbuka. Ia tidak pernah dikawal sebab raja-raja di Bali ini tidak mutlak dan mereka bergaul bebas bersama rakyat mereka.
          Persembahan itu terpaksa dipindahkan dari Puri Ubud ke gedung ini sebab ketika itu raja perempuan Ubud baru sahaja meninggal dunia dan mayatnya masih disimpan di dalam istana menanti hari yang baik untuk upacara pembakaran.
          Pelancong dari Barat masih ‘menikus’ takut dengan bayang-bayang sendiri angkara tindakan yang telah dibuat oleh pemimpin mereka. Mereka yang menjadi mangsa keangkuhan yang pemimpin mereka telah tunjukkan. 
          Apa yang membuat saya rasa gembira berada di Bali kali keempat ini ialah saya dapat bertemu dengan dua orang rakan saya yang saya sempat bertemu dan hidup bersama dalam lawatan pertama saya di sini genap tiga-puluh tahun dahulu. Mereka sudah berjaya dalam bidang masing-masing. Seorang pelukis keturunan Cina dari Blitar, Pulau Jawa kini melukis di rumahnya di Krobokan untuk pembeli tertentu sahaja. Dia beritau saya dia telah masuk Islam sejak 1993 dahulu.
          Semetara itu seorang lagi rakan saya keturunan Bali, anak jati Ubud kini sudah menjadi tuanpunya sebuah syarikat pembuatan barang-barang dari perak. Dia masih ingat saya lagi bila saya pergi ke rumahnya walaupun begitu lama tidak bertemu. 
          Inilah saja yang telah membuat lawatan saya baru-baru ini ke Bali lebih menggembirakan. Ia telah boleh membuat saya lenyapkan tentang apa yang telah berlaku di sini 12 Oktober 2002 dulu.
          Saya menetap di sebuah hotel di belakang tapak banguna Paddy’s Pub dan setiap kali saya pergi ke luar saya akan berjalan di sisi tapak ini. Ia lenggang. Yang terdapat cuma pokok pisang yang ditanam. Mengikut pendeta Hindu Dharma di pulau ini, tujuannya ialah membersihkan kawasan ini dari roh-roh yang berkeliaran akibat dari pengeboman dulu.
          Tapak ini cuma boleh dibangunkan semula sekira semua pokok pisang sudah berbuah. Kini cuma dua atau tiga pokok sahaja yang telah berbuah sementara yang lain masih kecil dan muda.
          Di satu pojok didirikan sebuah tokong kecil untuk orang di sini bersembahyang.
          Sementara di tapak bangunan Sari Club pula kawasannya lapang sahaja tanpa ditanam dengan pokok. Dan disebuah pojok terdapat tokong kecil.
          Paddy’s Pub kini sudah dibuka semula di sebuah tempat 200 meter dari tapak asal. Ia mengguna konsep terbuka untuk mengelak orang dari bersembunyi.











Tiada ulasan: