Jumaat, 5 Julai 2013

KUMPULAN KEBUDAYAAN SAN PEDRO, JOE LAZAROO DAN WARISAN BUDAYA PORTUGIS-MELAKA…

Oleh Mansor Puteh




Kawasannya dulunya terpencil jauh dari Bandar Melaka. Ia adalah kawasan paya.

Maka tidak hairan kalau kawasan dimana terletaknya perkampungan ini dikenali dengan nama Ujong Pasir yang mana sesuai pula untuk kerja nelayan yang dilakukan oleh masyarakat Portugis dulu.

Malah pekerjaan menangkap ikan menjadi bidang pekerjaan ramai pemuda Portugis di perkampungan ini sehingga beberapa tahun lalu apabila kawasan pantainya telah ditambak dan bangunan baru dibangunkan di situ, yang menyebabkan banyak ikan dan udang yang mereka tangkap dengan banyak dulu, sudah tiada lagi.

Ini memaksa nelayan yang berjumlah kecil terpaksa pergi jauh ke Selat Melaka untuk menangkap ikan.

Dan ini juga memaksa anak-anak muda keturunan Portugis itu mencari pekerjaan dalam bidang lain dan di luar perkampungan itu, di seluruh Melaka dan Malaysia sehingga ada yang terpaksa bekerja di hotel di Singapura.

Dalam tahun 1960an dahulu, sebaik sahaja Merdeka, ada sekumpulan pemuda Portugis berpindah dan ambil kerakyatan Australia dan negara Inggeris lain. Kebanyakan mereka kini menetap bersama keluarga di Perth, Australia.

Namun, mereka masih tetap pulang ke Kampung Portugis itu untuk menziarahi sanak-saudara dan rakan mereka yang masih menetap di situ, walaupun jumlah mereka sudah berkurangan olehsebab ramai yang sudah tiada; dan yang ada hanyalah anak dan cucu atau cicit mereka.

Kaum Portugis yang meninggal dunia dulunya dikebumikan di Tanah Perkuburan Kristen di Bukit Serindit tetapi olehsebab ia sudah penuh, yang lain-lain itu dikebumikan di Jelutung pula.

Di Ujong Pasirlah dirasa sesuai oleh pihak Inggeris untuk ditempatkan sekumpulan masyarakat keturunan Portugis di Melaka supaya mereka dapat hidup ikut cara dan ugama mereka, jauh dari masyarakat terbanyak Melayu keturunan Islam dan lain-lain khususnya Cina, Baba dan Nyonya dan India.

Mereka dipisahkan dari masyarakat lain sebab cara hidup dan ugama mereka berbeza, walaupun masyarakat terbanyak terdiri dari Melayu berugama Islam tidak mengusik mereka; sebaliknya perhubungan intim diantara Melayu dan kaum Portugis tidak dapat dinafikan.

Lebih-lebih lagi apabila kaum Portugis dulu lebih mirip orang Melayu dari segi percakapan dan perbualan mereka dengan kesenian berpantun dan menyanyi dan berjoget rentak yang dibawa oleh Portugis dikongsi bersama.

Sekarang ini tidak mudah dapat melihat wanita keturunan Portugis yang mahu memakai baju kebaya labuh dengan sanggul yang dicocok dengan cucuk sanggul, kecuali bila ada perayaan.

Dunia kaum Portugis kini sudah banyak berbeza, dengan anak-anak mereka lebih gemar berlagak seperti anak-anak muda lain yang terpengaruh dengan kebudayaan barat.

Namun, boleh dikatakan bahawa anak-anak muda kaum Portugis itu masih boleh bercakap dalam Bahasa Melayu dengan baik, berbanding dengan kaum bukan-Melayu lain.

Dan ramai anak-anak muda kaum Portugis juga sudah tidak faseh berbahasa Portugis seperti emak dan nenek mereka dulu.

Jadi lambat-laun golong muda dan baru akan lupa dengan bahasa ibunda mereka oleh sebab mereka tidak diberi pendidikan dalam bahasa ini.

Penempatan atau Perkampungan Portugis (Portuguese Settlement) kelihatan seperti satu usaha untuk meminggirkan mereka, sama seperti masyarakat Cina yang telah ditempatkan oleh Inggeris semasa zaman komunis dulu supaya mereka tidak terpengaruh dengan Parti Komunis Malaya (PKM).

Tetapi jauh dari kesan yang telah mendorong pihak berkenaan mahu wujudkan penempatan untuk masyarakat Portugis, ia sebenarnya menjadi sesuatu yang menakjubkan, dengan kesan yang dapat dirasa sehingga sekarang.

Sebab tanpa Perkampungan Portugis ini, masyarakat mereka sudah pasti tidak akan wujud seperti sekarang, dan mungkin akan jadi seperti masyarakat keturunan Belanda yang pernah ada di Melaka.

Tetapi oleh sebab tidak ada penempatan khas untuk mereka, maka masyarakat keturunan Belanda di Melaka tidak wujud dengan orang keturunan Belanda hidup bersama masyarakat lain dan dengan perkahwinan campur, maka jatidiri dan kewujudan mereka tidak dapat dirasakan lagi.

Walhal, pemerintahan Belanda di Melaka tidak juga pendek dan berpengaruh berbanding dengan pengaruh penaklukan Portugis dari 1511 hingga 1641 atau selama 130 tahun.

Penaklukan Belanda pula berlangsung sehingga 1824 atau selama 183 tahun dengan termeterainya Perjanjian Inggeris-Belanda yang menyebabkan Nusantara Melayu dibahagikan kepada dua kuasa Eropah ketika itu, iaitu Inggeris dan Belanda.

Sekumpulan anak muda Portugis di Melaka telah dibawa oleh Belanda ke Pulau Jawa dan dipaksa tukar dari ugama Katholik ke Kristen atau Protestan.

Kini mereka berpusat di Kampung Tugu di Utara Jakarta.

Terdapat juga perkampungan Portugis di Aceh, tetapi ia telah dilenyapkan oleh Tsunami Aceh 26 Disember, 2004 dulu.  

Tetapi berbeza dengan masyarakat keturunan Portugis di Aceh, mereka rata-rata berugama Islam yang masih dikenali sebagai orang Portugis.

Timur Leste sahaja yang merupakan negara yang kini masih mengekalkan pengaruh Portugis dalam pemerintahan dan kenegaraan berbanding dengan kawasan-kawasan lain, termasuk Goa di India dan Macau di Negeri Cina yang merupakan tempat peninggalan pengaruh Portugis yang kekal.

Negeri Goa pula telah dirampas balik oleh India dalam tahun 1965 setelah Portugal enggan membenarkan Goa dikembalikan balik ke India setelah mereka tawannya dalam tahun 1509 dulu.

Namun kesan Portugis di Goa masih dapat dilihat dengan ramai penduduknya mempunyai darah kacukan Portugis dan berugama Katholik.

Dan di Utara Jakarta terdapat sekumpulan masyarakat keturunan Portugis di Kampung Tugu, yang terkenal dengan kumpulan keroncong yang dinama ‘Kerontjong Toegoe’ mereka.

Saya sempat bertemu dengan mereka dengan berbual dengan pemimpin kumpulan, Andre Michiels.

Dan kebetulan pula Jakarta menyambut ulangtahun ke-496 dan di Taman Fatahilah terdapat acara tertentu untuk merainya, khusus sebuah perarakan oleh ‘Imam Fatahilah’ mahu serang tentera Portugis diadakan.

Tetapi olehsebab pengaruh Portugis di dunia kini tidak sehebat seperti dulu dan bahasa Portugis pula tidak seluas digunakan, maka wilayah lama Portugis tidak dapat berkembang dan ia hanya tinggal sebagai kenangan penjajahan dan penaklukan Portugis ke atasnya, dengan penduduk di sini menjadi bahan rujukan pakar sejarah dan pencinta sejarah lain yang mempunyai tertarik dengan kisah pembentukan masyarakat Portugis di situ.



Tiada ulasan: